Salah Ancam

Mac 10, 2009

Tulis sebuah cerita tentang satu peristiwa yang hampir-hampir mengancam persahabatan yang telah lama wujud antara kamu dengan sahabat kamu.

SALAH ANCAM oleh CG Karmin Bin Abbas

Seperti biasa kami berada di tempat itu pada waktu rehat. Aku menghulurkan sepuntung rokok kepada Rizal. Tidak seperti biasa, Rizal menolaknya.

” Aku dah tak nak hisap lagi Jad,”

” Pasal apa Rizal? Aku lihat kau dah berubah lah,”

” Aku mesti berubah Jad. Untuk kebaikan kita berdua, aku mesti berubah. Kau teruskan, Aku harus ke pejabat sekolah sekarang. Ada temu janji dengan Cikgu Rahim.”

Rizal meninggalkan aku yang tercengang keseorangan. Fikiranku berbaur antara curiga, ingin tahu dan gementar. Siapa yang tidak gementar jika perbuatan aku merokok dilaporkan ke pihak sekolah. Mampus aku. Jad bin Latiff!

Semalam aku nampak Rizal masuk ke pejabat sekolah lagi. Hari ini aku tidak akan lepaskan dia.

Aku bersemuka dengan Rizal ketika waktu rehat. Yang inginku tahu cuma satu. Apa yang Rizal buat di pejabat sekolah semalam? Apa dia dah tak endahkan jalinan persahabatan antara kami berdua kah? Persahabatan selama 9 tahun ini akan ditentukan ketika itu. Terus atau putus? Aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang menghasutku berfikiran sebegini. Bagaikan terasuk oleh iblis, kemarahan yang mendidih dan membuak-buak di kawah hatiku ini mengambil alih kawalan emosi dan fikiranku sekaligus!

“Zal, kau pergi jumpa Cikgu Rahim tadi kan? Kau laporkan pasal aku ya? ” Kutarik bahagian depan kolar baju Rizal. Kini mukanya bertentangan dengan muka ku. Berdengung suaraku di segenap penjuru tandas lelaki di tingkat empat.

Pada mulanya Rizal tidak melawan sungguhpun dia lebih besar dan lebih kuat daripada aku. Mungkin dia tahu dia bersalah. Dengan tenang, Rizal memberitahu ku bahawa dia ada suatu masalah besar yang sedang dikongsinya dengan Guru Besar.

Mendengar perkataan Guru Besar aku jadi lebih gelabah. Kini, genggaman dan tarikan di kolar Rizal semakin kuat dan ketat. Ini amaranku agar dia menutup mulutnya tentang pebuatan aku merokok di dalam tandas sekolah.

Tanpa ku duga. Rizal bertindak pantas! Dengan mudah dia meleraikan cengkamanku lalu mengenakan kunci di leherku. Nafasku tersekat. Sejurus selepas itu dia lepaskan aku.

“Kalau kau bukan kawan baik aku, dah aku patahkan leher kau tadi. Nampaknya kau tak tahu berapa besarnya erti persahabatan antara kita.”

Persahabatan kami sudah tidak bererti lagi selepas itu. Aku bencikan Rizal. Aku bencikan segala-galanya yang ada kena mengena dengan Rizal.

Kesakitan cengkaman Rizal di leherku meninggalkan bekas. Ayahku perasan lebam di leherku. Aku berbohong pada ayah. Kataku, aku tercedera ketika bermain ragbi dalam pelajaran latihan jasmani. Mana ada program ragbi di sekolah aku!

Segala-galanya berubah sebulan selepas itu. Pagi itu aku lihat Rizal terburu-buru meninggalkan kelas setelah Cikgu Rahim memberitahunya sesuatu, Tanda tanya menyelubungi kelas 3NT8. Pada mulanya aku mengesyaki Rizal akan ke pejabat sekolah lagi untuk membuat laporan perbuatan aku merokok di sekolah. Namun setelah berfikir dua kali, tebakan ku berubah. Jika itulah yang dilakukan oleh Rizal, sudah lama aku dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah. Kekesalan juga mengetuk-ngetuk pintu hatiku. Mungkin aku bersalah kerana menuduh Rizal tanpa usul periksa.

Dua hari kemudian. Pagi Minggu.

Upacara pengebumian ayah Rizal sedang berlangsung di Pusara Abadi. Rizal dan aku sedang bertinggung sambil menadah tangan. Aku berasa begitu pilu. Kekesalan jua mengisi segenap ruang hatinya. Pilu kerana sahabatku kehilangan seseorang yang amat dia sayangi. Menyesal kerana aku mencurigakan kesetiaan Rizal terhadapku. Seharusnya sebagai seorang sahabat, aku sepatutnya mengambil tahu perihal Rizal. Ini tidak, kepentingan diri sendiri dan perbuatan yang sangat bodoh dan membahayakan kesihatan yang kupertahankan; merokok! Persahabatan aku dan Rizal hampir terancam dek salah sangka.

“Zal, maafkan aku kerana buruk sangka terhadap kau,” dengan tulus lidahku melafazkan kekhilafan dan kedaifanku kerana menyangka yang bukan-bukan tentang dirinya.

“Jad, sudah lama aku maafkan kau kerana aku tahu kebenaran akan timbul jua.”

Aku lega kerana Rizal memaafkanku. Dalam perjalanan pulang menaiki bas khairat kematian dari Pusara Abadi, aku bertekad untuk menghentikan tabiat buruk yang kusangka menyeronokkan itu. Malam ini aku akan buang puntung-puntung celaka itu, Malam ini juga aku akan berbincang dengan ayah. Aku mahu ayah membasmi ketagihan merokok. Ayah aku sayangkan mu.

Persahabatan kami sejak di darjah satu hampir terancam kerana salah sangka; kerana aku pentingkan diri sendiri. Rizal adalah manusia yang hebat. Dia tabah menghadapi dugaan hidup. Kehilangan bapanya akibat barah paru-paru kerana merokok bertahun-tahun tentu satu kehilangan yang besar dan mencabar baginya. Rizal kehilangan seorang ayah hari ini. Aku pula menemui semula seorang sahabat yang setia. Terima kasih Rizal!





Sepatu Lusuh Ini

Mac 9, 2009

Tema: Tekanan Perasaan Remaja

Sinopsis: Alam remaja adalah alam mengenal antara salah dengan benar. Malangnya, proses pembelajaran diketepikan. Yang penting ialah proses mengenal pasti kesilapan. Lebih banyak silap yang dilakukan remaja,
lebih buruklah sangkaan orang terhadapnya. Sungguhpun, remaja tersebut meminta ikhsan agar diberikan peluang untuk berbincang bagi menemukan aau menyatakan kebenaran.

Angin pun tak peduli
Merenggut bahang tengahari
Sepatu putih lusuh ini
Tak kah mungkin berseri lagi?

Menunggu bukan di hentian
Mengharap bukannya harapan
Masa mengengsot kepasrahan

Sunyi pun tidak peduli
Tercubit hawa nan dingin
Sepatu putih berjenama
tak daya pulih percaya

Retakan sangsi membelah
Mengguris harap yang mendamba
Masa mengengsot kepasrahan
Pasrah………..

Kekerdilan makin kerdil
dalam usia nan akil
Kebahthilan paling jingga

Kenyahan terasa zalim
Bagai watan tak bermukim
Di sini aku tiada………

Lirik & Lagu: CG Karmin Abbas

Lagu Terakhir

Februari 24, 2009

Judul : Lagu terakhir

Watak : Samri, Rafi dan teman-teman

Sinopsis : Samri mencari kemewahan dan menemuinya. Malang baginya, kemewahan menyebabkan dia terjurumus di kawah kemaksiatan. Kini dia menanti saat-saat akhir hidupnya. Rafi temannya sejak kecil lagi. Rafi sedang menantikan sesuatu. Sesuatu yang dramatik.

Jalur Cerita : Keburu nafsu – sesat – sukar untuk kembali pulang – terpasung nasib tak terbela – di kantin hospital – dikunjungi teman-teman – lagu-lagu popular di carta – yang dinantikan sebenarnya.

Teknik Imbasan : Kisah bermula dengan peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu sehingga ‘Terpasung nasib tak terbela’. Kemudian kisah kembali ke masa kini

Kosa Kata & Frasa:

kemewahan    keadaan mewah; kesenangan

berfoya-foya        bersuka-suka, beria-ria, berpesta-pesta (dgn menghabiskan masa dan wang)
pasir selut    pasir jerlus,  terperlus, terperosok (ke dlm lubang dll)

ketagih    dlm keadaan ketagih

yang liar     buas, terbiar, gelisah, ganas, biadab, galak, garang, cabul, jahat, culas, melata, rakus, kejam, bengis, zalim, kacau, gila, berang, baran, kotor, mabuk

bernafsu buas    keinginan yg kuat (keras); dorongan hati, kehendak hati yg kuat utk melakukan sesuatu yg kurang baik (spt berseronok-seronok antara lelaki dgn perempuan secara haram dll)

kebiasaannya    sesuatu yg sudah biasa; hal yg biasa dilakukan

keterlanjuran    melakukan sesuatu yang melebehi batas

merana    menderita kerana menghidapi penyakit

menyeksakan    yang menyakitkan

terlantar    terletak di: berbulan¬-bulan lamanya di rumah sakit
mengaibkan

dikecapinya    merasa, mengalami keadaan

terpasung    terpasang alat yang menahan seseorang daripada melarikan diri

kawah     lubang atau bahagian yang besar

kemaksiatan    pelbagai perbuatan (hal dsb) yg bersifat maksiat, segala-gala (perbuatan dll) yg berdosa

pasungan    alat drpd kayu berlubang dll yg dipasang pd kaki (tangan, leher) orang salah (gila) sbg hukuman atau supaya jangan lari;

tak terbela     terjaga, terasuh dengan baik

nasib    perihal takdir, untung, habuan, malang, rezeki, hak, bahagian, suratan, ketentuan, tuah, qada dan qadar, bintang

sasar    menujukan; menghalakan.

keburu nafsu    terdorong oleh nafsu, terburu-buru (tidak berfikir panjang terlebih dahulu);

berkumandang     bergema, bergaung: dr dlm dewan hotel terdengar lagu irama

CETERPEN: Lagu Terakhir

Keburu nafsu……..

Samri tidak fikir panjang. Matlamat hidupnya cuma satu iaitu mencari kemewahan. Salah, dua sebenarnya. Samri juga impikan gaya hidup yang mewah. Inilah yang dikecapinya kini. Samri seronok berfoya-foya bila-bila sahaja yang dia mahukan.

Sesat…………

Kemewahan yang dikecapi Samri rupa-rupanya kolam pasir selut. Lama-kelamaan, pemuda berusia dua pulu lapan tahun ini menjadi ketagih arak dan dadah. Gaya hidupnya yang liar juga menjadikan Samri seekor jantan yang bernafsu buas. Bertukar-tukar pasangan bagai kebiasannya menyalin pakaian.

Sukar untuk kembali pulang……..

Akibat keterlanjurannya, Samri menghadapi beberapa komplikasi kesihatan yang serius. Beberapa tahun kebelakangan ini, Samri merana beberapa penyakit yang menyeksakan. Apabila kesihatannya sampai ke tahap kritikal, kini, Samri terlantar di Unit Jagaan Rapi – ICU. Hatinya rosak dek arak. Tubuhnya kurus kering dek ketagihan heroin. Yang lebih mengaibkan, Samri dijangkiti penyakit kelamin. Kemewahan yang dikecapinya adalah kawah kemaksiatan.

Terpasung nasib tak terbela…….

Sepanjang hidupnya, Samri buta agama dan didikan akhlak yang mulia. Samri tidak pernah diingatkan oleh ibu dan ayahnya, yang terdekat dengannya atau sesiapapun yang sepatutnya menyanyangi Samri. Ingatan bahawa maksiat membawa padah yang buruk. Bahawa maksiat itu bagai pasungan nasib yang bukan saja buruk tetapi celaka. Tak terbela nasib andai terpasung maksiat.

Kini, Samri terlantar seorang diri di tingkat dua Hospital Besar Singapura. Sedang dia menanti saat-saat akhir hayatnya, sebuah lagu popular berkumandang……..

Di kantin hospital

“Wahai teman dengar tanyaku,
Ke manakah tujuan yang kau inginkan,
Arah yang kau sasar telah hilang……..hilang”.

Rafi menghayati setiap bait lirik lagu ‘Pesankan’ dendangan Fino. Fino ialah seorang penyanyi baru yang sedang meningkat popularitinya.

Kantin di HBS lengang…..

Sejak sebelum dinahari Rafi di situ. Sebentar lagi, teman-temannya akan datang.

Dikunjungi teman-teman………

“Usah bersusah tanyai aku
Ku pernah sesat di situ
Di situ keburu nafsu yang belenggu”.

Alunan lagu dan lirik yang menjadi santapan halwa pendegaran itu menengkam jiwa Rafi.

Tiba-tiba bahunya di sentuh. Teman-temannya telah tiba. Namun, bukan kehadiran mereka yang Rafi nantikan.

“Dengar RIA, 89.7. Lagu Samri sedang berkumandang.” Rafi separuh berbisik.

Lewat dinihari itu, mereka menghayati lagu terakhir ciptaan Samri.

Dengarlah……….

“Sukar, untuk kau kembali pulang,
terpasung nasib tak terbela.

Dengarlah kataku, dengarlah….
Jagalah langkahmu jagalah….

Lagu ini terakhir dariku untukmu.”

Lagu popular di carta………….

“Itulah lagu dendangan Fino yang menduduki tangga teratas dalam senarai carta lagu-lagu paling popular di RIA, 89.7!” juruhebah bereloteh pada waktu dinihari itu.

“Semoga pencipta lagu hits ini lekas sembuh. Samri,kami doakan agar anda cepat sembuh,” kata juruhebah itu lagi.

Yang dinantikan sebenarnya…………..

Telefon bimbit Rafi bergetar. Rafi menjawab panggilan itu.

“Innalillahi……, Samri dan tiada lagi,” Rafi mengumumkan kepada rakan-rakannya.

Inilah yang dinantikan Rafi sejak tadi.

Lagu:    Addy
Lirik:    CG Karmin
CETERPEN: CG Karmin

BAT – Lipas

November 12, 2008

Benar atau tidak?

Benar atau tidak?

Dengar lagu ‘Limerik Bazaar Geylang Serai’

Latar belakang:

Ramai pelajar dan guru-guru pernah bertanya kepada CG Karmin tentang apakah itu karangan deskriptif sebenarnya. Untuk menjawab pertanyaan mereka, UMBARA mengambil keputusan mendendangkan sebuah karangan deskriptif yang merakamkan suasana ‘Bazaar Geylang Serai’ ketika bulan Ramadan. Ciri utama karangan deskriptif ialah gambaran suasana sesebuah tempat.

Karangan Deskriptif Berlagu:

Dari barat. Dari timur, selatan dan utara. Ramai orang berbondong-bondong ke destinasi yang sama. Dari pagi ke petang hingga ke lepas dinihari. Berasak-asak dalam bahang biar bau peluh basi. Keinginan yang kuat tak sedikit pun menjera.

Tiap sudut tiap gerai ada saja tarikannya.Lirik mata menjeling, mengacu, menembak setepat-tepatnya. Harap-harap ada sesuatu yang mengena perhatian. Andai hati terpaut pasti akan jadi rebutan. Kata seorang pegerai selera pembeli ikut minggu bulan puasa.

Minggu pertama pengunjung suka bersama teman-teman. Dari pangkal hingga hujung mereka cuma jalan-jalan. Kata orang putih mereka mahu ‘window shopping’ saja. Belek itu belek ini tidak henti duga harga. Pembeli masa kini bijak menaksir perbelanjaan. Kata pakar kewangan “Rancang Dulu Beli Kemudian”.

Dari sebuah gerai kelihatan seorang pegerai yang sedang duduk di atas sebuah tangga. Pegerai itu melaung:

” Mari teman mari handai. Tidak kira apa bangsa. Kita naik mrt, bas, motor, lori atau kereta. Jalan kaki pun boleh asal kita berhati-hati. Yok, ke bazaar yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.”

Minggu kedua pengunjung akan bertukar selera. Kaki tangan pemerintah tersenyum selebar-lebarnya. 12 hari bulan masuk gaji menerusi GIRO. Penuh sesak ‘Joo Chiat Complex’ bak ada tawaran IPO. Dendangan lagu hari raya mula rancak bergema.

Minggu ketiga Geylang makin dibanjiri manusia. Lepas terawih makin rancak makin hangat suasana. Pegerai tambah mesra melayani semua pelanggan. Maklumlah, persaingan sengit, tinggi pula harga sewaan. Cukup andai balik modal. Jika untung bonus namanya.

Pegerai di atas tangga masih melaungkan:

“Mari teman mari handai. Tidak kira apa bangsa. Kita naik mrt, bas, motor, lori atau kereta. Jalan kaki pun boleh asal kita berhati-hati. Yok, ke bazaar tahun ini kalau tidak bilakah lagi?”

Minggu keempat demam hari raya mula melanda. Lampu ‘lap-lip’ terpancar di kekisi tiap jendela. Rumah pangsa Geylang Serai bak letusan bunga api. Kesesakan jalan raya hingga pukul satu pagi. Manakan tidak, semua barang turun harga!

Hari terakhir Ramadhan pasar Geylang jadi tumpuan. Suri rumah beli bekalan hidangan hari raya. Lembu, kambing, ayam segar tetap menu utama. Janur, tahu dan tempeh tinggi kadar permintaannya. Semalaman bersiap kerana esok HARI RAYA!!!!

Pegerai di atas tangga mengeluarkan alat penguat suara lalu melaung dengan sekuat-kuat hatinya:

“Selamat Hari Raya. Ampun maaf pun dipinta. Miskin kaya bergembira. Sambut dengan sederhana. Jangan lupa berjemaah. Biar sunnah besar berkahnya. Pulang kelak makan semeja. Tambah mesra sekeluarga. Hah mari ya, Selamat.Hah Hari Raya ya, Hari Raya. Sekali lagi, Selamat, Hari Raya okay, Hari Raya.”

Karangan ini dihasilkan semasa Program LAP (Language Achievement Programme) yang telah diadakan baru-baru ini oleh NUDA Limited di bawah bimbingan CG Karmin Abbas, (Konsultan Utama NUDA). Karangan ini tidak diedit untuk mengekalkan bentuknya yang asal.

                Keadaan di kolong blok itu sunyi sepi. Kedengaran burung berkicauan pagi itu. Aku melihat jam tanganku. “Sudah 6.45. Mana Hasyim? Kalau lambat, nanti dimarahi cikgu lagi,”desis hatiku. Sudah hampir lima belas minit aku menunggunya.

“Mungkin, aku lewat. Dah pergi dah Hasyim ke sekolah agaknya. Kurang ajarnya dia! Kawan apa ni?” kemarahanku semakin mendidih. Dahiku mula berkerut. Tanpa menanti lagi, aku terus ke sekolah.

Sejurus sahaja aku sampai di gerebang sekolah, aku tiba-tiba terjenguk ke tingkat dua. Alangkah terpernjatnya aku apabila aku ternampak Hasyim. “Hasyim!” aku memanggilnya sambil melonjak-lonjak kegembiraan. Hasyim melambai-lambai sambil tersenyum dan tanpa berlengah-lengah lagi, aku menaiki tangga untuk mengejarnya. Aku sudah sedia untuk melepaskan geramku dan memarahinya kerana datang tanpa menungguku. Apabila sampai di tingkat dua, aku ternampak Hasyim melarikan dirinya dariku lalu memasuki sebuah kelas. Aku bercadang untuk mengekorinya. Sejurus sahaja sampai di kelas itu, aku mencari-cari  Hasyim yang tiba-tiba hilang. “Eh, mana si Hasyim ni? Nak main sembunyi-sembunyi ke?” aku tertanya-tanya sama sendiri. Pada hari itu, Hasyim tidak kelihatan pada waktu kelas.

Begitu riuh-rendah sekali suasana petang itu selepas sekolah sehingga aku terhimpit dan susah bernafas apabila hendak keluar dari gerebang sekolah. Aku bercadang untuk ke rumah Hasyim petang itu. Aku tertanya-tanya mengapa dia tidak kelihatan di sekolah. “Ding dong!” bunyi loceng yang ditekanku apabila sampai di rumah Hisyam. Ibu Hisyam, Cik Sarah membuka pintu. Mukanya kelihatan begitu merah sekali. Dia menjemputku masuk. Aku menanyakannya mana Hasyim dan mengapa dia tidak hadiri sekolah hari itu.  Alangkah terkejutnya aku apabila dibeitahu bahawa jenazahnya sedang dikebumikan di Pusara Abadi. “Pagi tadi, dia bangun lewat. Dia kelam-kabut lalu apabila sedang turun tangga, dia tersungkur lalu tergolek dan apabila jatuh, kepalanya terhentak dengan kuat di sebuah paip besi. Dia dijumpai sejam kemudian apabila seorang jiran nhendak ke pasar,” kata Cik Sarah. Air matanya meleleh ke pipi dan berkumpul di dagu lalu memberat dan jatuh setitis demi setitis.  Aku cuba menenangkannya tetapi aku sedar bahawa aku tidak boleh menahan tangisanku sendiri. Aku menatap sebuah gambar  yang jelas kelihatan wajahnya. Ia disusun rapi di rak-rak di dalam kamarku itu. Itulah persahabatan yang begitu akrab sehingga dia sanggup mengambil risiko yang bahaya. Hisyam akan berada di dalam hatiku untuk selama-lamanya. Dia tidak pernah mungkir janji.

 

Bunuh Rokok Bina Persahabatan

Terkial-kial juga saya dibuatnya ketika memikirkan cerita berdasarkan tajuk karangan di bawah. Semalam saya bersama dengan para pelajar sekolah menengah Eastview dalam bengkel Olimpian Bahasa. Dalam masa kurang 15 minit, saya harus tunjukkan kepada mereka cara menulis karangan naratif berdasarkan soalan karangan pertengahan tahun yang baru mereka duduki. Di bawah ialah hasilnya.

Selepas mengarang timbul pula idea sebuah poster. Biasanya kita lihat “Smoke Kills!”. Saya beranggapan sebaliknya: “Bunuh Rokok Bina Persahabatan!”.

Saya mengambil keputusan untuk menjadikan laman ini sebagai laman peluahan pendapat dan perakam proses penulisan ceterpen yang baru. Lebih 2 bulan saya eram sebuah cerita. Bila ianya akan menetas, saya tidak boleh tentukan. Ianya berlaku di sekitar alam nusantara. Kisahnya agak menggegarkan. Ceterpen yang mudah tetapi kompleks dari sesi isu sosialnya. Kita biasa mendengar kisah anak remaja yang durhaka. Ibunya pula biasanya mengalah, lantas menjadi mangsa kemarahan anaknya. Ceterpen ‘Ikhsan Nusantara’ pula melanggar kebiasaan. Bersambung………..

Masuri

Mac 20, 2008

      Berarak mega di angkasa. Sayang tiada berseri lagi. 
      Pemergianmu ditatahi nisan, tak kembali .

      Jasad Masuri baru dikebumikan. Talqin sedang bergema. Bergema seperti deraman guruh sebelum petir memancar dan ribut melanda. Masuri meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Kehilangan yang aku rasakan sukar diisi kembali. Berbaur kesepian dan kesedihan dalam hatiku.


      Semalam aku bersama Masuri di Muzium Tamadun Asia. Aku duduk di sisi Masuri dengan fail-fail rakaman foto dan karya-karyanya yang menjadi bahan rujukan. Apabila wartawan meminta, aku akan suguhkan bahan-bahan yang diperlukan. Baru dua bulan aku menjadi pembantu peribadi Masuri S.N. 

     Masuri ialah pelopor puisi moden Singapura. Karya-karya Masuri sewaktu pendudukan Jepun amat dikenali sehingga hari ini. Masuri begitu ceria ketika menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh wartawan Berita Harian. Ketika wartawan menanyakan soalan tentang karyanya sewaktu pendudukan Jepun, tiba-tiba Masuri menekap dadanya dengan telapak tangan kanan.      Terhampar kewarna-warnian. Namun tiada gemilang lagi. 
     Kehilanganmu susutlah khazanah, bangsaku.


      Dua minit kemudian, bangsanya kehilangan seorang tokoh kesusasteraan yang hebat. Pendudukan Jepun mula karyanya, pendudukan Jepun juga titik akhir perjuangannya. Sepi akhirnya irama batinmu. Kelmarin masih lekat di jejari.

      Di Arts House.  Faizal Tehrani dan Pak Samad Said berada di sisiku.  Aku rindukan kehadiran Masuri. Biasanya dalam seminar sebegini, Masuri diundang untuk menarajuinya. Masuri akan membentangkan kisah hidup dan pengkaryaannya yang tidak jelak-jelak didengari. Pak Samad dan Faisal tidak lupa mengucapkan takziah di atas pemergian Masuri. Mereka tahu aku rapat dengan Masuri.      “Morshid, Masuri tiada penggantinya , tetapi kita harus meneruskan perjuangannya.” bisik Faisal Tehrani, penulis prolifik dari Malaysia. 


     “Kita kenang Masuri dan kita hidupkan karyanya di mana-mana.” Terpantul suara garau Pak Samad sambil mengenggam keras tanganku selepas seminar setengah hari itu.       Petang itu selepas selesai seminar, aku meninjau kuburan bertatah nisan di lot 25. Mataku mencari-cari sesuatu.  Pusara Abadi lengang petang itu. Matahari redup.  Seorang anak muda kelihatan sedang berteleku di sisi pusara Masuri. Siapakah anak muda itu? 

    “Saya Haikal. Saya suka karya-karya Pak Masuri.” 

    Bibirku menguntum senyuman.

    Dadaku dipenuhi harapan.

SO LATe

Julai 23, 2007

Di perut kereta

Dah pukul 1. Pukul berapa waktu zohor? Ahh, dah tak jauh lagi. Jika aku dapat ruang letak kereta di pinggir ‘Kelab SAFRA’, tentu aku sempat dengar khutbah solat Jumaat.

Di dewan Solat

Seorang lelaki tiba-tiba muncul di balik mimbar lalu berdiri di kaki tangga sambil memandang para jemaah. Pelbagai pertanyaan timbul di benak para jemaah. Mereka tidak berani berkata-kata atau mengambil sebarang tindakan kerana menyangkakan pihak masjid akan berbuat sesuatu.

 


Lelaki itu berseluar jeans biru dan berjaket hitam yang tidak berzip di depan. Seluarnya juga terlondeh. Apa yang patut aku lakukan. Hah, nanti lepas solat aku cari dia dan ajak dia berbual. Kalau aku bangun ketika khutbah dan berbual dengan dia tentu tak elok di pandang mata. Hilang pulak pahala! Setiap jemaah hanya memerhatikan sahaja. Ada yang langsung tidak mempedulikannya kerana tidak mahu ibadat mereka terganggu. Tentu pihak masjid tahu apa yang harus dilakukan terhadap lelaki tersebut.

 


Seusai solat

Sejurus selepas iqamat dilaungkan, lelaki itu melangkah beberapa saf. Ada satu ruang kosong di tepi tiang yang berdekatan dengan tingkap besar di bahagian tepi dewan. Lelaki itu bersedia untuk bersolat bersama-sama.

 


Pada rakaat yang terakhir ketika rukuk, ruang itu kosong kembali. Lelaki itu tiada di situ. Selesai memberi salam kedua, kelihatan lelaki itu sedang jalan berlenggang di saf. Para jemaah membiarkannya sahaja. Lelaki itu berjalan di depanku. Dia berbau arak. Seorang pegawai masjid lantas berdiri kerana khuatirkan tabung-tabung yang berisi derma akan diambil oleh lelaki yang kini sudah berada di saf belakang. Selesai solat, aku segera meninggalkan dewan solat untuk mengesan lelaki tersebut. Tujuanku ialah untuk mengajaknya berbual dan mengetahui masalahnya. Ini bukan kerjaku tapi sekurang-kurangnya aku dapat membantu serba sedikit. Lelaki itu tidak aku temui. Lantas, aku pulang ke rumah. Mana perginya pemuda tadi? Mungkinkah ada orang lain yang telah membantunya?

 


Blok 546, Chua Chu Kang

Hujung minggu. Aku berada di Chua Chu Kang kerana meraikan majlis hari jadi bapa mertuaku yang ke lapan puluh tujuh. Aku menghampiri Halim. Halim biasa sembahyang di Masjid Al-Amin setiap hari Jumaat. Aku berbual dengan Halim tentang lelaki tersebut.

” Halim nampak lelaki yang berdiri di tepi mimbar?
” Nampak. Patut ada orang di pihak masjid yang membantu lelaki itu.”
” Betul, aku cari dia lepas solat. Ingat nak ajak berbual.”
” Itu yang sepatutnya. Kenapa kau tak cari sampai jumpa?”
” Terlalu ramai jemaah di luar masjid. Apabila tak kelihatan aku terus pulang.”
” Patut kau cari sampai dapat.”
” Pasal apa? “
” Petang itu orang jumpa dia di kaki blok 19. “
“Dia tinggal kat situ? “
“Dia dijumpai mati di situ. Kata orang dia jatuh.”

” Subhanallah! “

 


Isnin, di depan komputer

Aku tidak sabar untuk ke Masjid Al-Amin petang nanti. Aku mahu bersolat Asar di sana. Memang ‘Nasi sudah menjadi bubur’. Dah terlambat. Tetapi ini satu pengajaran bagi semua jemaah agar tidak mementingkan diri sendiri. Di masjid nanti, aku akan mainkan semula episod ‘pemuda di tepi mimbar’. Kemudian aku akan bayangkan beberapa orang jemaah bingkas bangun untuk menghulurkan bantuan; termasuk diriku. Kata orang, dengan latihan baharulah kita dapat laksanakan sesuatu tugas dengan berkesan. Ramai orang yang memerlukan bantuan tetapi tidak pandai menyatakannya. Pemuda itu mencari bantuan di masjid tetapi tidak seorangpun jemaah yang dapat membaca hajatnya. Mereka perlukan latihan.