Dengar lagu ‘Limerik Bazaar Geylang Serai’
Latar belakang:
Ramai pelajar dan guru-guru pernah bertanya kepada CG Karmin tentang apakah itu karangan deskriptif sebenarnya. Untuk menjawab pertanyaan mereka, UMBARA mengambil keputusan mendendangkan sebuah karangan deskriptif yang merakamkan suasana ‘Bazaar Geylang Serai’ ketika bulan Ramadan. Ciri utama karangan deskriptif ialah gambaran suasana sesebuah tempat.
Karangan Deskriptif Berlagu:
Dari barat. Dari timur, selatan dan utara. Ramai orang berbondong-bondong ke destinasi yang sama. Dari pagi ke petang hingga ke lepas dinihari. Berasak-asak dalam bahang biar bau peluh basi. Keinginan yang kuat tak sedikit pun menjera.
Tiap sudut tiap gerai ada saja tarikannya.Lirik mata menjeling, mengacu, menembak setepat-tepatnya. Harap-harap ada sesuatu yang mengena perhatian. Andai hati terpaut pasti akan jadi rebutan. Kata seorang pegerai selera pembeli ikut minggu bulan puasa.
Minggu pertama pengunjung suka bersama teman-teman. Dari pangkal hingga hujung mereka cuma jalan-jalan. Kata orang putih mereka mahu ‘window shopping’ saja. Belek itu belek ini tidak henti duga harga. Pembeli masa kini bijak menaksir perbelanjaan. Kata pakar kewangan “Rancang Dulu Beli Kemudian”.
Dari sebuah gerai kelihatan seorang pegerai yang sedang duduk di atas sebuah tangga. Pegerai itu melaung:
” Mari teman mari handai. Tidak kira apa bangsa. Kita naik mrt, bas, motor, lori atau kereta. Jalan kaki pun boleh asal kita berhati-hati. Yok, ke bazaar yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.”
Minggu kedua pengunjung akan bertukar selera. Kaki tangan pemerintah tersenyum selebar-lebarnya. 12 hari bulan masuk gaji menerusi GIRO. Penuh sesak ‘Joo Chiat Complex’ bak ada tawaran IPO. Dendangan lagu hari raya mula rancak bergema.
Minggu ketiga Geylang makin dibanjiri manusia. Lepas terawih makin rancak makin hangat suasana. Pegerai tambah mesra melayani semua pelanggan. Maklumlah, persaingan sengit, tinggi pula harga sewaan. Cukup andai balik modal. Jika untung bonus namanya.
Pegerai di atas tangga masih melaungkan:
“Mari teman mari handai. Tidak kira apa bangsa. Kita naik mrt, bas, motor, lori atau kereta. Jalan kaki pun boleh asal kita berhati-hati. Yok, ke bazaar tahun ini kalau tidak bilakah lagi?”
Minggu keempat demam hari raya mula melanda. Lampu ‘lap-lip’ terpancar di kekisi tiap jendela. Rumah pangsa Geylang Serai bak letusan bunga api. Kesesakan jalan raya hingga pukul satu pagi. Manakan tidak, semua barang turun harga!
Hari terakhir Ramadhan pasar Geylang jadi tumpuan. Suri rumah beli bekalan hidangan hari raya. Lembu, kambing, ayam segar tetap menu utama. Janur, tahu dan tempeh tinggi kadar permintaannya. Semalaman bersiap kerana esok HARI RAYA!!!!
Pegerai di atas tangga mengeluarkan alat penguat suara lalu melaung dengan sekuat-kuat hatinya:
“Selamat Hari Raya. Ampun maaf pun dipinta. Miskin kaya bergembira. Sambut dengan sederhana. Jangan lupa berjemaah. Biar sunnah besar berkahnya. Pulang kelak makan semeja. Tambah mesra sekeluarga. Hah mari ya, Selamat.Hah Hari Raya ya, Hari Raya. Sekali lagi, Selamat, Hari Raya okay, Hari Raya.”



