Nasi Bungkus
April 4, 2009
CETERPEN D’Saku
Nasi Bungkus
Nasi bungkus menemukan aku dengan cinta. Mungkin engkau juga mahu mencuba.
Di balik wajah itu
selendang menari-nari
melindungi rahsia diri
membuka hijab hati.
Cinta itu membutakan dan juga mencelikkan. Cinta mematikan dan juga menghidupkan. Ini cinta yang luar biasa. Namun, keluarbiasaan itu sebenarnya biasa. Di pinggir Changi Road cinta ini bertemu. Sepasang mata di balik kaca mata binar itu seakan menusuk kalbu. Selendang ungu yang menutup kepalanya itu menjadi wajah kewanitaan.
Detakan jantung dan bisikan hati
mendera ingauan mencari
angan yang bernyawa.
Perutku belum lagi diisi sejak pagi tadi. Kelaparan membelit perutku. Aku berjalan ke kedai makan itu untuk membeli nasi bungkus. Aku akan makan di rumah nanti. Sebaik sahaja melihat penjual nasi bungkus di kedai itu, tubuhku seolah-olah didakap satu perasaan sejuk. Mata kami bertentangan. Aku menghurkan senyuman. Dia membalas senyuman itu dengan sebuah senyuman yang manis. “Nasi bungkus satu…”
Sinar kerlingan mata itu
menambat sukma ini
menunggu alamat takdir
mengungkapkan segala rasa.
Setelah memilih lauk, dia bertanya jika itu sahaja yang aku mahu. “Ya, kalau sudi, bungkuskan sekali dengan nombor handphone awak.” Dia tersenyum. Aku menahan ketawa. Dia mengambil sehelai kertas kecil dan mencatit nombor telefonnya serta namanya. Namanya, aku tak boleh beritahu. Aku membayar sambil mengucapkan terima kasih. Wajahnya semakin manis dengan terbentuknya lesung pipit di pipi tatkala dia senyum sekali lagi. Aku berjaya! Perutku seolah-olah tidak rasa lapar lagi. Ia kini diisi dengan harapan dan cinta.
Cinta yang mewangi
lebih harum dari bunga
mekar di taman sari
menjadi pelantaran dwiraga.
Masa memang tidak menunggu sesiapa. Kini, setiap hari Sabtu, aku akan membeli nasi bungkus di kedai itu. Selepas membelinya, aku akan menunggu di kedai itu selama beberapa minit. Aku menunggu gadis yang berselendang ungu itu. Hari ini dia berselendang hitam. Namanya masih tak dapat kuberitahu. Kami akan pulang bersama. Minggu lalu, kami baru sahaja bertunang. Harapan itu telah menjadi kenyataan.
Berdetap mimpi-mimpi
yang menemani malam
mengabadikan kisah bahagia
di secarik kain sejarah
berwarna biru.
Aku memberitahu kisahku kepada rakan karibku, Jamal. Dia teruja dan mahu mencuba. Semalam Jamal menelefonku. Dia telah mencuba teknikku memikat wanita. Di kedai makan di Jurong East, Jamal mencuba. “Nasi bungkus satu. Bungkuskan dengan nombornya sekali boleh?” Mungkin waktu itu Jamal sedang tersengih-sengih. Lelaki di sebelah wanita itu memandang Jamal. “Kau nak nombor dia? Dia isteri aku! Aku tak nak tengok muka kau di sini! Pergi! Gatal punya jantan!” Aku ketawa geli hati mendengar kisah Jamal. Nasib kami berbeza.
***
“Itu sahaja?” dia bertanya. “Ya, kalau sudi, bungkuskan sekali dengan nombor handphone awak.” Dialog itu akan aku ingat sampai bila-bila. Takdir menemukan dan menentukan. Selendang itu wajah kewanitaan. Nasi bungkus menemukan aku dengan cinta. Mungkin engkau juga mahu mencuba.
Karya Alhaque



