Remlah

Januari 7, 2007

Remlah berada di dewan menunggu untuk membayar cukai jalan. Dewan menunggu di LTA digegarkan oleh suara seorang lelaki Cina tua yang  menengking-nengking ketika berbual di telefon. Dia marahkan seseorang dengan berbahasa Melayu pasar. Kemarahan dan kemahuannya jelas sekali.

“Lu kasi gua manyak susah! Latuk nenek mati. Sikalang sapa mati? Lu yangan ini maciam lah. Cakap mutut-mutut belapa lu mau bayar. Sikit pun takla apa. Yanyi lu kasi. Takla main-main. Lu ala paham ka??”  sedikitpun dia tidak mempedulikan reaksi orang-ramai di sekelilingnya.

Orang-ramai di dewan menoleh ke arah lelaki Cina tua itu. Remlah berasa tidak kena pada mulanya. Namun begitu lama-kelamaan perasaan tidak kena itu luput. Perasaan itu berganti dengan perasaan lain. Remlah terasa satu suntikan semangat . Rasa rendah diri dan sikap pemalunya luntur sama sekali.

Nombor beraturnya – 213  berkelip-kelip di papan pemberitahu. Remlah ke kaunter dan benar-benar tahu kemahuannya. Aku akan buat apa yang perlu hari ini bisik hati kecil Remlah yang mendapat semangat baru.

“Saya tidak dapat kepingan cukai jalan raya. Ini mungkin berkaitan dengan siasatan berkenaan IU kereta suami saya. Tempohari, pegawai yang menyiasat telah padam semua saman yang dikeluarkan kerana ini memang salah LTA. Tapi, mereka lupa padamkan masukan saman di pangkalan data. Sebab itu saya tidak boleh bayar semalam. Mereka suruh saya datang hari ini. Malangnya saya dikenakan saman 40 dolar kerana lambat bayar sehari. Kelambatan ini bukan saya sengajakan,” bergema suara Remlah di dewan menunggu LTA di Sin Ming itu.

Tidak seperti biasa, Remlah sengaja menguatkan suaranya. Remlah sendiri kagum dengan nada keberanian yang bersalun dalam getaran suaranya. Timbul keberanian yang selama ini tersumbat di saluran perasaannya. Remlah menyatakan betul-betul apa yang terlintas di kepalanya. Tidak ada satu pun buah fikirannya yang tidak terpantul dari bibirnya. “Puan kena bayar dulu kemudian……”

“Saya dah buat keputusan. Saya akan bayar saman ini dulu dan kemudian saya akan mohon saman ini ditarik-balik. Saya juga akan buat aduan tentang kelecehan yag disebabkan oleh jabatan anda.” Remlah meninggalkan dewan itu sejurus selesai urusannya di situ.

Dalam perjalanan ke tempat meletak kereta, mata Remlah mencari-cari lelaki Cina tua tadi. Remlah menemuinya di tempat meletak kereta. Tanpa berlengah Remlah menjabat tangan lelaki itu.

“Encik, terima kasih kerana mengajar saya erti berani berterus-terang,”

“Apa lu cakap?” Lelaki Cina tua itu termangu sambil tersenyum tipis.  

Teka-Teki

Disember 14, 2006

Masuk ini sudah dua kali kami terkena. Antoni memang bijak berteka-teki.

“Mengapa Amerika menggugurkan bom atom di Hiroshima dan
Nagasaki?”

“Sebab di Tokyo ada ‘Ultraman’!” Berdekah-dekah kami ketawa. Antoni memang lucu. Bas dikenderai melewati kelok 44. Dengan erti yang lain, ada 44 buah selekoh yang harus dilepasi. Bukan tugas yang mudah bagi para pemandu. Bukan juga tugas yang mudah bagi para penumpang yang tidak tahan terhoyong-hayang. Dengan teka-teki itu sekurang-kurangnya hilang rasa mual.

Setibanya di selekoh terakhir, bas berhenti di sebuah kedai runcit. Di celah-celah pagar manusia aku terjengket-jengket. Terjengok-jengok untuk melihat sendiri kacang Minang terenak itu. Tentu hebat kacang yang dijual di sini. Tentu enak sekali!

“Kita akan berhenti di sini selama 15 minit. Anda patut mencuba kacang bakar bumi Minang yang paling sedap.”

Apabila aku menginjakkan kaki ke tanah, kedai runcit itu telah dikerumuni orang.

Aku mendapat ilham. Sebuah teka-teki tiba-tiba muncul di benak fikiranku. Kini giliran Antoni untuk menjawab. Pemandu pelancung berbangsa Minang ini memang lucu dan pandai berjenaka. Kini aku ingin mengujinya. Bolehkah Antoni menerima apabila dia yang menjadi bahan jenaka.

Antoni sedang berbual dengan seorang lagi pemandu pelancong dari bas nombor satu. Aku tidak menunjukkan sebarang riak keghairahan. Teka-teki ini akan aku kemukakan dengan berselamba agar Antoni tidak mengesyaki apa-apa.

“Antoni, memang hebat kacang Minang. Sedap sekali,” aku mencuri perhatian Antoni.

“Ia kah Pak?” tanya Antoni. Dia sentiasa menampilkan keramahannya.

“Betul-betul enak!” aku sengaja tinggikan suara.

“Tapi tahukah Antoni apakah kacang Minang yang paling sedap?” tanpa berlengah aku mengajukan pertanyaan.

“Kurang pasti Pak.”

“Tolong kopekkan kacang ini,” aku menghulurkan sebiji kacang berkulit.

“Ini Pak,” Antoni menyerahkan kacang yang telah dikopeknya kepada ku.

“Hah, inilah kacang Minang yang paling sedap,” aku menampilkan sebiji isi kacang.

“Maksudnya Pak?” ternyata Antoni kehairanan.

“Kacang Minang yang paling enak ialah yang dikopek oleh orang lain untuk kita!”

Kesunyian suasana di pinggir kedai runcit itu pecah dek ketawa yang berderai-derai. Hendry, Antoni dan aku berdekah-dekah. Sambil ketawa aku jeling raut wajah Antoni. Ternyata dia boleh menerima gurauan.  

Remaja 4D

Ogos 15, 2006

Ikmal bergegas menuju ke Seven Eleven. Dia ada janji dengan Siddiq pagi itu. Dari situ mereka akan terus ke madrasah hujung minggu di masjid A-l Amin.
“Kau bawak senarai tu tak?” Siddiq separuh berbisik.
“Ada,” ringkas sahaja jawapan Ikmal. Suaranya mendatar.
“Berapa banyak?”
“Lapan”

Mereka berdua duduk di bangku besi merah pulasan yang panjang di depan francais paling dikenali di Singpura. Tangan kiri Ikmal memegang sekeping nota kecil. Dua remaja itu tidak sabar untuk melihat senarai 4D di kertas itu.

“Semua pasti kena. Pasti menjadi. Setiap 4D dalam senarai tu benar-benar belaka,”
“Kita tidak boleh menafikannya,”
“Baiklah Siddiq, kau salin sekarang. Cepatlah kita ada 15 minit lagi ni,”
“Okay tunggu aku keluarkan kertas dan pen.”

Siddiq mula mencatatkan senarai tersebut di buku catatan kecilnya. Kelihatan banyak nombor 4D di setiap muka surat yang dibukanya. Dia sedang membelek-belek untuk mencari muka surat kosong.

Siddiq mula menulis:

1870
5811
0232
0762

Tanpa mereka sedari, sepasang mata tajam melirik ke arah mereka. Empunya sepasang mata itu kehairanan melihat dua orang pelajar berpakaian madrasah dengan nombor 4D di tangan; di depan ‘Seven Eleven’! Namun dia tidak mahu membuat sebarang andaian yang negatif.

“Boleh berikan atuk nombor-nombor tu?” kini Haji Tamsir berada betul-betul di depan Ikmal dan Siddiq. Wajahnya lembut dan tenang. Senyumannya terukir.

“Oh, Haji Tamsir. Boleh,” Siddiq mendongak sebentar. Dia dan Ikmal berdiri lalu menghulur salam.

“Buat apa korang main nombor 4D?” tanya Haji Tamsir.
“Nak tambah ilmu tuk,” jawab Ikmal bersahaja.
“Macam mana?” kini Haji Tamsir benar-benar kehairanan!
“Begini…” Siddiq memberi ruang agar Haji Tamsir boleh duduk di sebelahnya.

Sepulangnya dari pasar, Haji Tamsir menyeluk ke dalam saku. Jari jemarinya meraba-raba lipatan kertas kecil yang diberikan oleh Siddiq tadi. Dia menemuinya. Sambil terketar-ketar, Haji Tamsir membuka lipatan itu.

1870
5811
0232
0762
3188
7181

Tadi, Siddiq tidak sempat menyalin baki empat nombor lagi. Dia dan Ikmal harus segera ke madrasah. Haji Tamsir juga mahu menambahkan ilmunya. Nombor-nombor itu boleh membantunya. Setiap nombor itu bukan sahaja bertuah. Lebih daripada itu; berkeramat!

Haji Tamsir meletakkan kertas itu di atas katil bujangnya. Dia mencapai se naskah ‘Tafsir al-Quran’. Sudah lama dia tidak merasakan keghairahan sebegini. Apabila tangannya menyentuh naskah tersebut, berkocak kolam keimanannya. Dia membelek-belek muka surat yang dicarinya. Ketemu!

Selang beberapa saat elang beberapa saat, bergenang kelopak matanya. Kocak menjadi gelombang jiwanya. Tidak dapat dinafikan , nombor-nombor ada kesaktiannya.

1870…..

Dia berkata: “Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu”.

Haji Tamsir bangga dia membuat keputusan yang tepat. Mahu saja dia memarahi kedua-dua budak tersebut. Sesiapa sahaja akan memarahi dua budak madrasah dengan nombor 4D di depan ‘Seven Eleven’. Haji Tamsir dalam merasakan telaga ilmu dalam dirinya terisi mata air yang jernih dan sejuk. Budak-budak itu memang remaja hebat. Remaja 4D.

‘Pang Gong’

Jun 9, 2006

     Lereng bukit berhadapan dengan bangunan putih yang tersergam – 'The Legends Fort Canning Park' dibanjiri ribuan penonton pelbagai bangsa. Namun, agenda mereka cuma satu. POAGENDA! Pesta Rok sepanjang hujung minggu yang pertama kali diadakan. Sebuah pentas besar menjadi tumpuan mereka. Petang makin lewat.

     Fazli kelihatan tenang. Inilah detik yang dinanti-nantikannya. Lewat petang ini, dia, Addy, Khai dan Selamat akan naik pentas. Fazli berasa ghairah untuk beraksi. Fazli juga berasa bertuah. Bertuah kerana telah membuat pilihan yang tidak akan dikesalinya.

     Tadi sewaktu melewati gerbang masuk ke Fort Canning, dia berhenti sebentar. Ada kenangan yang mengusik jiwanya. Dia seakan-akan menerobos ke masa silam.

     23 tahun yang lalu, Fazli menangis seorang diri di situ. Dia benar-benar bingung. Mahu dicari entah ke mana yang harus ditujuinya. Mahu dituju, entah di manakah arahnya. Setelah diberhentikan sekolah ketika didarjah lima, Fazli tiba di sebuah persimpangan. Simpang hidup tidak berpapan tanda. Fazli bingung. Dia termangu seketika. Mujur bagi Fazli, bangunan merah berseni bina batu-bata merubah segala-galanya.

     Sebenarnya, Fazli suka belajar. Setiap hujung minggu dia akan ke Perpusatakaan Negara yang terletak di Stamford Road. Apabila dia sudah pandai menaiki bas sendiri, Fazli sering ke bangunan bersejarah itu. Bahan bacaan kegemarannya ialah majalah-majalah muzik. Alat permainan yang paling digemarinya ialah dram. Fazli bercita-cita tinggi. Dia mahu jadi pemain dram yang terbaik.

     Setelah berhenti di darjah lima, Fazli meminta dimasukkan ke kelas muzik di Yamaha. Dia tidak mahu bersekolah lagi. Ibu dan ayahnya tidak menghalang. Mereka akur Fazli mengejar cita-citanya. Keputusan mereka mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Sehingga kini, Fazli bersyukur mempunyai ibu dan ayah yang memahami citarasanya. Kini, Fazli telah mencapai cita-citanya. Ayah dan ibunya pula tidak pernah menyesal akan keputusan yang mereka ambil 23 tahun yang lalu.

     Di dalam bangunan yang sarat dengan buku-buku, Fazli tidak jemu-jemu menelaah majalah-majalah muzik. Tiga kali seminggu, Fazli menghadiri kelas muzik di pusat membeli-belah Yaohan Thompson. Bukan mudah mengejar impian. Sanak-saudaranya sering mempertikaikan keputusannya meninggalkan alam persekolahan. Setiap kali ditikam keraguan, Fazli akan memejamkan mata untuk membebaskan nalurinya. Setiap kali himpit keresahan, Fazli akan memejamkam mata untuk mengesan harapan dan impiannya. Lalu, dia akan menghela nafas dan terus melangkah. Bagi Fazli, kepastian bukan jaminan kebahagian. Tanpa kebahgiaan tiada kejayaan. Kemahuannya yang kuat adalah jangka lukis yang melakar pembangunan diri dan kemahiran yang mahu dicapainya langkah langkah demi langkah.     Kini langkahannya semakin pasti. Lewat petang ini, langkahannya semakin bererti. Di atas pentas nanti, Fazli akan membuka satu babak baru dalam hidupnya. Fazli, Addy, Khai dan Selamat akan menapak ke dalam arena hiburan dan muzik tanahair!    

     "Gagal bukan ertinya kalah
     kecewa bukannya penghalang
     kukuh harapan menara impian

     akan ku genggam
     harapan ini
     sehingga ia menjadi
     satu realiti"

     Para penonton terhibur dengan persembahan bertenaga empat jejaka tampan. Lereng bukit Fort Canning gamat dengan sorakan, siulan dan tepukan bergemuruh. POPAGENDA semakin seru dengan penampilan 'Pang Gong'. Fazli, Addy, Khai dan Selamat sekata memilih nama 'Pang Gong'. Bunyinya seperti panggung iaitu pentas kerjaya mereka. 'Pang' ialah kesan yang ingin mereka berikan setiap kali beraksi. 'Gong' berupa mesej-mesej positif yang mereka perdengarkan dalam adunan rentak, melodi dan gaya persembahan yang santai.

6.6.06

Jun 6, 2006

     Jam dua baru Khairunan muncul. Dia janji akan tiba sejam yang lalu. Dengan berkemeja-T hitam dan berseluar jean lusuh, Khairunan menghulurkan tangannya. Kami bersalam. Seperti biasa ‘Earshot Cafe’ yang terletak di Old Parliament Lane lengang. Pelayan wanita warga India tiba dengan segera.
     “What would you like to order?” tanyanya dengan tersipu-sipu. Biasanya kami berdua akan mengusiknya. Maklumlah loghat Hindinya memang cukup pekat. Lagipun dia memang menawan!
     Ketika pelayan itu berlalu untuk menyiapkan pesanan kami, aku tidak membuang masa lagi.
     “Bagaimana keadaan bapa kau?” tanyaku sambil memandang tepat ke muka Khairunan.
     “Bertambah baik,” jawabnya selamba.
     Peristiwa yang berlalu pada tanggal 6.6.06 sukar dilupakan. Sukar difahami. Aku menerima pesanan ringkas daripada Khairunan yang meminta bantuan. Ayahnya hilang daya ingatan ketika sedang memandu trak beserta chassis sepanjang empat puluh meter!! Mujur Khairunan berada di sisi ayahnya. Sejak awal hari itu dia sedar ayahnya dirundung kemuraman. Tiga tahun yang lalu ayahnya berkeadaan sedemikian juga. Keadaan kesihatannya bertambah gawat apabila dia diserang sawan dan ditahan di ICU selama seminggu. Khairunan tidak mahu keadaan itu berulang lagi. Menurut pesanan ringkas yang aku terima Khairunan menyatakan bahawa ayahnya berkelakuan luarbiasa. Dia mungkin sedang kerasukan. Balasanku begini:
     “Nan, ambil tahu keadaan kesihatan ayahmu. Fahami tindakan yang wajar. Sama-sama kita fikirkan tindakan yang sebaik-baiknya.”
     Jawapan anak muda penuntut Politeknik Singapura itu di luar dugaanku:
     “Shah, dia kena buat orang.”
     Hairan aku dibuatnya. Anak muda zaman sekarang masih percaya kisah tahyul seperti itu. Berapa ramai lagi yang masih memegang kepercayaan sebegini?
     Ingatan ku meredah kejadian hari itu. 6.6.06. Menurut orang angka 666 membawa sial! Aku tidak mempercayainya. Ketika aku sampai di Teban Crescent, sebuah trak putih berada di belakang sebuah bas kuning. Hujan berselang petir menyukarkan aku keluar dari kereta. Dengan berpayung aku keluar dari kereta lalu bergegas ke sisi kepala trak itu. Khairunan yang membuka pintunya. Wajahnya kelihatan pucat lesi. Ketika berada di dalam trak, aku perasan sesuatu. Ayah Khairunan bercakap seorang diri. Matanya berair. Jelas ayah Khairunan sedang menangis. Apa yang ditangisinya aku kurang pasti. Aku mulakan bicara dengan lembut. Dia mahu ke Jalan Tukang tetapi terlupa arah. Sudah berbelas tahun dia memandu trak ke Jalan Tukang. Dia tidak pernah terlupa arah ke sana. Hari ini tiba-tiba dia hilang ingatan.
     Pelayan warga India yang genit datang membawa dua gelas minuman dingin. Dia tersenyum lantas meninggalkan kami. Dia memang peka. Dia dapat merasakan ketegangan suasana ketika itu.
     “Nan, ayah kau mengalami tekanan perasaan. Dia cuba sembunyikan sesuatu dari keluarga kau. Sukar baginya meluahkan masalah tersebut. Dia tidak mahu menggusarkan orang lain,” aku rendahkan suara ku. Biasanya suara kami berdua akan berdengung ke serata koridor tingat satu bangunan lama parliamen yang bersejarah itu.
     “Aku tahu Shah, masalah tersebut membebankan fikirannya. Ayahku kurang rehat. Justeru kepenatan dia hilang ingatan sebentar. Tapi hati aku tidak sedap. Kata ibuku ayah terkena gangguan ilmu hitam,” berkerut dahi belia berusia dua puluh enam tahun ini. Dahi aku pun berkerut juga. Bukan kerana dimamah usia tetapi dimamah realiti yang merungsingkan.
     “Astaghfirullah…..” aku menarik nafas.

     Rupa-rupanya sahabatku ini terpegaruh dengan angka 6.6.06. Angka mukjizat para pemuja syaitan. Apakah Khairunan memercayai tarikh tersebut membawa kecelakaan terhadap ayahnya. Babak di Jalan Tukang Satu berulang tayang. Ayah Khairunan keluar dari kepala trak tetapi dia tidak ingat tempat itu. Hujan semakin lebat. Aku yang mendesaknya supaya menempatkan chassis traknya di situ. Selepas meninggalkan chassis traknya di situ, ayah khairunan masih terus berbisik sendiri ketika memandu kepala trak ke Bukit Batok. Dia memandu dengan laju! Aku tidak henti-henti mengingatkannya supaya berhati-hati.
     Lagu ‘Cupingku lekat di corong radio’ berkumandang. Dendangan pelagu puitis tanahair yang bergelar ‘Umbara’ menjentik nostalgia. Namun hari ini ada perkara yang lebih mustahak daripada menyusuri landasan nostalgia.
     “Nan, kau penuntut politeknik. Kau harus bebas dari menyangka yang bukan-bukan. Kau sepatutnya berfikiran rasional. Kau mesti tahu masalah sebenar. Fahami cara-cara mengatasi masalah tersebut. Selanjutnya kau ambil tindakan yang sewajarnya. Jangan ambil jalan mudah ketika menangani masalah. Apabila menghadapi kesukaran, jangan cepat salahkan fenomena yang tidak normal. Bagiku itu perbuatan orang yang tidak tahu dan tidak faham masalah tetapi mahukan tindakan yang segera,” jelas terbayang kesungguhan ketika aku lafazkan pesanan ini. Masih utuh bakat berbahas yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
     Aku tahu Khairunan mendengar dengan tekun. Tiada pilihan lain baginya sekiranya dia mahu membantu ayahnya. Aku tahu dia masih buntu dan rungsing tentang keadaan ayahnya. 
     “Bro, meminta bantuan ketika menghadapi masalah merupakan langkah orang yang bijaksana. Ianya lebih baik daripada cuba mengatasi masalah yang sukar sendirian. Lebih ramai yang memikirkan jalan keluar bagi sesuatu masalah, peluang untuk berjaya mengatasinya lebih besar lagi,” sengaja aku tekan suara tinggi sedikit.
     “Aku faham Shah. Terima kasih.”
     Tugasku sudah selesai. Sejam di rumah seni di bangunan lama parliamen bersama Khairunan aku harapkan membawa kesedaran kepada sahabatku. Selain dari nasihat, tiada daya lain yang dapat aku tawarkan untuk membantu keluarganya.
     Ketika meninggalkan kawasan bersejarah itu,
ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk ingatanku. Oh ya, aku menemani Khairunan ke rumah datuknya, Tok Andak di Taman Jurong. Kami berkenderaan sebuah teksi. Dalam perjalanan ke sana, ayah Khairunan tidak henti-henti menunjukkan arah jalan. Aneh, ayah Khairunan ingat arah ke rumah Tok Andak dengan jelas!

Ceterpen ‘Teraju’

April 27, 2006

         Majlis malam itu cukup meriah. Lebih meriah daripada malam-malam pertandingan saringan, suku akhir dan separuh akhir. Malam itu adalah malam pertandingan akhir. Pertandingan JUARA sudah sampai ke kemuncak. Malam yang bakal menabalkan kemenangan dan malam yang akan menghampakan yang kalah. Helmi sedang duduk di barisan para peserta dalam bahagian mencipta lagu. Tiba-tiba bahunya dicuit orang.    
        "Helmi, jangan harap-harap sangatlah. Lagu kau tu tak seberapa," seperti biasa senyuman sinis Hasyim terpapar tiap kali dia bersemuka dengan Helmi.            
        Pengacara sudah selesai menamakan para pemenang hadiah sagu hati. Kini debaran hati Helmi semakin mengencang. Dia tetap akan puas hati jika tidak menang salah satu daripada tiga tempat pertama. Helmi orang baru dalam pertandingan mencipta lagu dalam JUARA. Sebelum ini dia pernah menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PERKAMUS da balai-balai rakyat . Setiap kali dia menemui kegagalan. Di dalam hatinya, kerdipan sinar harapan semakin malap.               
        Walau apapun keputusan malam ini,
Helmi sudah bertekad bahawa dia akan mendalami bidang muzik secara bersungguh-sungguh. Helmi tidak tahu erti kekalahan. Setiap kekalahan bukan kekalahan baginya. Baginya, setiap kekalahan adalah maklum balas. Maklum balas yang sepatutnya diterima dengan sikap yang positif. Dengan sikap yang positif itu sahajalah dia dapat melengkapkan dirinya dengan kemahiran yang baru. Kemahiran baru yang boleh menjadikan dirinya setanding dengan Hasyim. Bukan dia cemburukan Hasyim, tetapi baginya Hasyim adalah model kejayaan baginya dalam bidang muzik. Dia juga ingin berjaya seperti Hasyim yang sudah dua kali merangkul hadiah kedua dan ketiga berturut-turut.
        Sebaris di hadapannya, Hasyim menoleh dan memusatkan pandangannya ke arah Helmi sambil mendakap piala yang baru sahaja dimenanginya. Hasyim telah berjaya merangkul tempat ketiga. Sekuntum senyuman sini dilemparkan kepada Helmi dengan maksud yang Helmi sendiri tidak mahu tafsirkan. Hasyim sering memperkecil-kecilkan kemampuannya kerana Hasyim sudah lebih lama berkecimpung dalam bidang muzik. Helmi tidak ambil endah. Dia membalas senyuman itu sambil bibirnya mengucapkan tahniah. Walaupun tidak kedengaran tetapi Hasyim tentu faham isyarat dari bibirnya. Jelas Hasyim kelihatan terkejut. Dia jadi serba salah.
        Helmi tidak putus harap. Tiba-tiba keyakinan mula menular ke seluruh tubuhnya. Entah dari mana dia mendapat tenaga itu? Entah dari mana dia mendapat harapan itu. Mungkin kerana dia yakin akan lagunya yang dipertandingkan tadi. Kini apabila dia fikirkan secara objektif;setelah dia saksi dan dengar sendiri kesemua lagu yang dicalonkan, Helmi mengukir senyuman harapan. Biarkan tipis senyuman itu, tapi cukup untuk membekalkan keyakinan yang selama ini gersang dari taman harapannya. Lagu 'Teraju' yang dihasilkannya sempena mengenang jasa seorang rakannya yang sudah setahun meninggalkannya untuk selama-lamanya adalah batu loncatan baginya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang yang sengit saingannya ini.            
        Sarjan Asri sukar dilupakannya. Kenangan sewaktu menjalani perkhidmatan negara mula mengetuk pintu fikirannya. Sarjan Asrilah yang banyak merangsangnya agar tidak putus asa sewaktu dia menjalani latihan BMT (Latihan Dasar Ketenteraan). Sarjan Asri juga yang mencungkil bakatnya dalam bidang muzik. Beliau juga yang berkorban demi menyelamatkan platoonnya.             Helmi betul-betul ingat detik-detik terakhir. Detik penuh cemas itu. Sarjan Azri telah merampas sesuatu dari tangan salah seorang askar pelatih yang tergamam setelah menarik pin dalam satu sesi latihan melontar bom tangan. Sarjan Asri terkorban di tempat kejadian. Tapi di ruang hati Helmi, Sarjan Asri tatap akan hidup selama-lamanya.
        "HELMI BIN RAHMAN!! Tempat pertama jatuh kepada Helmi bin Rahman dengan lagu 'TERAJU'."           
        Suzairee dan Azlin sama – sama menyebut nama pemenang hadiah pertama untuk kategori mencipta lagu. Dua orang pengacara handalan itu memang pandai menarik minat penonton. Bergemuruh studio rakaman di Caldecott Hills. Sewaktu melangkah ke arah pentas, bibir Helmi berkomat-kamit. Dalam kegembiraannya, dia sempat sedekahkan sekuntum fateha untuk Allahyarham Sarjan Asri. Kemenangan pada malam ini bukan untuk dirinya.
        Helmi memang menjangkakan kemenangan tetapi bukan untuk tempat pertama. Di belakang pentas Helmi tidak dapat menahan kegembiraannya. Impiannya sudah tercapai. Berkat ketabahannya dalam menghadapi pelbagai dugaan.

Sherylnn nakal tetapi bukan tidak bermoral. Sering ponteng sekolah. Sering buang masa dengan teman-teman sehaluan. Apakah Shrylnn akan terus terjebak? Terjerumus? Turun muat di sini.

Pentaskan! Saksikan pementasan impromtu ceterpen 'Shrylnn Gadis 3NA' di sini.