Kalau nak buat kuih yang sedap kita harus tahu bahan-bahan yang akan digunakan. Sama juga dengan usaha untuk menulis karangan deskriptif.

Inilah bahan-bahannya

  1. Secukup-cukupnya kesan dan akibat – Inilah bahan utamanya. kalau tak ada bahan ini, tak adalah jalan cerita.
  2. Sedikit gambaran – Bahan ini juga penting kerana kalau tak ada gambaran, nanti tak naik ‘umph’ karangan yang kita adun. Gambaran menjadikan karangan kita mengandungi kesan-kesan tertentu yang memikat perhatian pembaca.
  3. Jangan lupa sedikit dialog dan monolog. Hati-hati, macam lada, ada berjenis-jenis lada. Ada lada hijau dan ada lada merah. Ada juga cili padi. Monolog juga begitu. Ada dialog yang diucapkan antara dua orang. Ada monolog dalaman yang diucapkan dalam hati dan ada monolog luaran yang diucapkan oleh seseorang yang boleh didengari. Hati-hati apabila mengadun dialog dan monolog agar ianya tidak keterlaluan. Macam bahan gula dalam makanan, kalau terlalu banyak akan menyebabkan kuih menjadi terlalu manis dan tidak menyihatkan.
  4. Satu lagi bahan yang tidak asing lagi ialah frasa berbunga. Tak lain tak bukan, FB ni sebenarnya frasa yang keterlaluan imaginasinya. Ada berjenis-jenis FB. Tak payah beli di pasar borong atau ‘Giant’. Sila ke sini untuk mendapatkannya Lebih baik lagi kalau anda boleh cipta FB sendiri.
  5. Karangan anda mungkin menarik tetapi ianya tidak meninggalkan kesan jika tiada ramuan tema dan moral di dalamnya. Untuk tambah ramuan ini, jangan lupa belek-belek senarai peribahasa, kerana bagi setiap peribahasa ada tema dan moralnya. Setiap peribahasa, satu cerita! Rajin-rajinlah belajar peribahasa. Sila dapatkan di sini
  6. Akhir sekali, kalau ingin jadi penulis yang baik, mestilah rajin membaca karangan-karangan yang bermutu. Mungkin ada karangan-karangan di sini yang boleh dijadikan panduan.

Kalau anda rajin dan berminat untuk dapatkan resepi yang sepenuhnya, sila ke sini>>

CG Karmin Abbas

Wahai Saudara

April 5, 2009

CETERPEN D’Saku

WAHAI SAUDARA

Andai kaupernah jatuh dahulu, lantas bangkit semula. Terimalah aku wahai saudara.

Toh drive. Hari ini kutelusuri lorong kenangan ini. Di sebuah rumah yang mewah, kelihatan seorang lelaki sedang menghirup secangkir minuman panas.

“Wahai saudara turunlah sebentar. Usah menjenguk saja.”

Pada mulanya, lelaki itu teragak-agak untuk memberikan perhatiannya pada sapaanku. Aku faham perasaannya. Dia sangsi akan kehadiran seorang lelaki asing yagn compang-camping di hadapan mahligai sebandungnya.

“Tinggalkan sebentar berandah gahmu. Akan kuceritakan, ayuh. Ayuh saudaraku.”

Kini kami berada di sebuah kakilima di seberang jalan, di sebatang lorong yang dibarisi dereten rumah-rumah yang besar-besar belaka.

“Dahulu aku tinggal di situ. Sekelip mata musnahlah hidupku.”

Lelaki yang berusia dalam lingkungan empat puluhan tahun ini memang memiliki hati yang mulia; hati emas. Tadi kami di kakilima, sekarang kami di berandah gah rumah empat tingkatnya.

“Sebandung kuning mangga yang kukuh, kini menjadi halaman barumu.”

“Terima kasih atas kehadiran tuan,” katanya.

Ada sesuatu yang benar-benar igin kuceritakan padanya. Yang bakal kudedahkan mungkin menjadi ingatan. Mungkin juga jadi cemuhan.

“Di sidang meja jutawan, kami merancang helah. Mencari keuntungan.”

Seorang pembantunya menghidangkan sedikit sarapan. Dua cangkir kopi hitam pekat, telor setengah masak, roti bakar berkaya dan buah-buahan. Aku sambung cerita….

“Di sidang meja jutawan, taruhan kami hangus. segalanya tertimbus.”

Seusai bercerita dan bersarapan kami melangkah ke pintu pagar. Ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk fikiranku. Sesuatu yang penting. Sesuatu yang harus kuberitahu.

“Andai kaupernah jatuh dahulu, lalu bangkit semula. Terimalah aku wahai saudara.”

Karya CG Karmin Abbas

Karangan ini dihasilkan semasa Program LAP (Language Achievement Programme) yang telah diadakan baru-baru ini oleh NUDA Limited di bawah bimbingan CG Karmin Abbas, (Konsultan Utama NUDA). Karangan ini tidak diedit untuk mengekalkan bentuknya yang asal.

                Keadaan di kolong blok itu sunyi sepi. Kedengaran burung berkicauan pagi itu. Aku melihat jam tanganku. “Sudah 6.45. Mana Hasyim? Kalau lambat, nanti dimarahi cikgu lagi,”desis hatiku. Sudah hampir lima belas minit aku menunggunya.

“Mungkin, aku lewat. Dah pergi dah Hasyim ke sekolah agaknya. Kurang ajarnya dia! Kawan apa ni?” kemarahanku semakin mendidih. Dahiku mula berkerut. Tanpa menanti lagi, aku terus ke sekolah.

Sejurus sahaja aku sampai di gerebang sekolah, aku tiba-tiba terjenguk ke tingkat dua. Alangkah terpernjatnya aku apabila aku ternampak Hasyim. “Hasyim!” aku memanggilnya sambil melonjak-lonjak kegembiraan. Hasyim melambai-lambai sambil tersenyum dan tanpa berlengah-lengah lagi, aku menaiki tangga untuk mengejarnya. Aku sudah sedia untuk melepaskan geramku dan memarahinya kerana datang tanpa menungguku. Apabila sampai di tingkat dua, aku ternampak Hasyim melarikan dirinya dariku lalu memasuki sebuah kelas. Aku bercadang untuk mengekorinya. Sejurus sahaja sampai di kelas itu, aku mencari-cari  Hasyim yang tiba-tiba hilang. “Eh, mana si Hasyim ni? Nak main sembunyi-sembunyi ke?” aku tertanya-tanya sama sendiri. Pada hari itu, Hasyim tidak kelihatan pada waktu kelas.

Begitu riuh-rendah sekali suasana petang itu selepas sekolah sehingga aku terhimpit dan susah bernafas apabila hendak keluar dari gerebang sekolah. Aku bercadang untuk ke rumah Hasyim petang itu. Aku tertanya-tanya mengapa dia tidak kelihatan di sekolah. “Ding dong!” bunyi loceng yang ditekanku apabila sampai di rumah Hisyam. Ibu Hisyam, Cik Sarah membuka pintu. Mukanya kelihatan begitu merah sekali. Dia menjemputku masuk. Aku menanyakannya mana Hasyim dan mengapa dia tidak hadiri sekolah hari itu.  Alangkah terkejutnya aku apabila dibeitahu bahawa jenazahnya sedang dikebumikan di Pusara Abadi. “Pagi tadi, dia bangun lewat. Dia kelam-kabut lalu apabila sedang turun tangga, dia tersungkur lalu tergolek dan apabila jatuh, kepalanya terhentak dengan kuat di sebuah paip besi. Dia dijumpai sejam kemudian apabila seorang jiran nhendak ke pasar,” kata Cik Sarah. Air matanya meleleh ke pipi dan berkumpul di dagu lalu memberat dan jatuh setitis demi setitis.  Aku cuba menenangkannya tetapi aku sedar bahawa aku tidak boleh menahan tangisanku sendiri. Aku menatap sebuah gambar  yang jelas kelihatan wajahnya. Ia disusun rapi di rak-rak di dalam kamarku itu. Itulah persahabatan yang begitu akrab sehingga dia sanggup mengambil risiko yang bahaya. Hisyam akan berada di dalam hatiku untuk selama-lamanya. Dia tidak pernah mungkir janji.

 

Mardhi Manggar

Julai 20, 2007

      Mardhi Manggar

     Jumaat 10.25 pagi. Awal Julai 2007.

     Hiruk-pikuk bilik darjah di tingkat tiga Sekolah Menengah Tanjong Katong dengan pelbagai nada suara yang masing-masing inginkan perhatian. 

      “Apa yang paling diminati semasa pertujukan Hari Kebangsaan? ”

      “Tentulah bunga api!”

      “Apa kata kita adakan pertunjukan bunga api?”

      “Kau gilalah Mardhi. Mana boleh?”

      “Boleh, kalau kita fikirkan caranya.”

      “Bagaimana?”

      Kelas Mardhi akan mengambil bahagian dalam satu peraduan sempena Sambutan Hari Kebangsaan. Mardi mencadangkan mereka mengadakan mempersembahkan acara letupan bunga api.  


      Kawan-kawan sekelasnya menganggap idea Mardhi luarbiasa tetapi tidak boleh dilaksanakan. Mardhi mengajak mereka mencari jalan untuk merealisasikan idea mereka.  

      “Teman-teman, kita sedang rangsang-rambang. Dalam proses ini tidak ada buah fikiran yang salah atau betul. Apa sahaja buah fikiran harus kita catatkan dan pertimbangkan.”

      Senyuman diwajah Mardhi tidak pernah luput. Sebaris gigi bak kapur putih tidak pernah gagal mengundang perhatian. Kelas tiba-tiba diam. Keriutan putaran kipas jelas kedengaran. 

      Keadaan kelas kembali tenang dan penuh jangkaan. 


      Minggu 12.30 tengahari. Pertengahan Julai 2007.

      Ketika mengikuti ibunya ke sebuah majlis walimatul urus, Mardhi ternampak sesuatu yang mencetus satu idea bagaimana acara letupan bunga api boleh diadakan dalam pertandingan sempena Hari Kebangsaan di sekolahnya.  Mata Mardhi terpaku pada sesuatu. Bukan pengantin; sepasang bunga manggar dan kumpulan hadrah menjadi perhatiannya!. Pukulan hadrah yang bertingkah rentak, pukul dan nada kedengaran dari jauh.  Semakin dekat, semakin bingit bunyi pukulan kompang dan gendang besar. Kelihatan kanak-kanak kecil menutup telinga mereka dengan telapak tangan. Mardhi pula tersenyum selebar-lebarnya. Hujung bibirnya hampir mencecah cuping telinganya. Terselak barisan gigi putih kapur di balik bibirnya.


      Tengahari ini, jawapan yang selama ini dicari-carinya ditemuinya. Rupa-rupanya jawapan bagi persoalan utama yang menjadi pertikaian di kelasnya dua hari lepas ada pada setiap minggu. Ada pada setiap majlis perkahwinan.  

      Mardhi mengeluarkan teklefon bimbit Nokia N73 dari poket kanannya. Dengan tenang dia memetik beberapa gambar. Benar kata CG Morshid, jalan keluar bagi masalah ada dekat dengan kita. Dada Mardhi lega berbaur kesyukuran.


      Khamis, 9 Ogos 2007. 10.45 pagi

      Gelombang demi gelombang tepukan dan jeritan melanda dewan sekolah.  Persembahan kelas Mardhi menggabungkan unsur tarian tradisional yang diiring persembahan hadrah.  Di belakang para penari, di balik sehelai kain rentang berwarna hitam yang panjang, 20 batang bunga manggar pelbagai warna dihulur tarik ke atas lalu ke bawah mengikut alunan kompang. Dari sudut para penonton, luncuran bunga manggar ke atas dan ke bawah bagai tembakan dan letusan bunga api di udara.  Paluan kompang yang tepat berdentam ketika mercupan-mercupan bunga manggar naik dan jatuh menghasilkan kesan bunyi yang mengkagumkan. Tidak lupa, beberapa orang penari menghasilkan bunyi deruan bunga api yang meluncur ke langit menerusi bibir mereka. Sungguh mengkagumkan! 


      Khamis, 9 Ogos 2007. 11.25 pagi.

      Kelas Mardhi memenangi peraduan.

ILUS

Mei 19, 2007

” di ruang ini ku berdiri

menanti masa nan pasti

rembesan pelbagai kenangan

rindui yang tersayang 

Setiap tahun ku hitung. Setiap purnama ku kira. Setiap hari ku taksir subuh ke dinihari. Setiap 60 saat ku campur-tolak. Ku pertimbang setiap detik yang berlalu; bagai akauntan. Tidak sedikitku yang terlepas dari perhatianku. Tidak sedikitpun yang rela kutolak-ansur. Masa nan pasti. Inilah yang sedang kunantikan. Aku sendang menantikan masa nan pasti. 


“Ibu…ayah, ku pohon kesejahteraan kesihatanmu agar panjang usiamu. Pulangku ke pangkuan mu berdua adalah untuk mengembalikan keyakinan. Terampunkah kesalahanku ibu. Terampunkah dosaku ayah terhadapmu?” 

Rembesan pelbagai kenangan memperkuatkan lagi kemahuanku. Tirai skrin di kepalaku sering kali menayangkan detik-detik indah; nostalgik. Raut wajah ibu dan ayah paling terampil. Di setiap penjuru kotak mindaku ianya tertayang; menyelinap di celah-celah kepasrahan dan pengharapan.


24.7.2007.

Tibalah saatnya yang ditentukan. Kelam jajaran tak kupedulikan. Kamar-kamar berdinding tiga di mana penghuninya berpaut pada batang besi dengah wajah-wajah yang pelbagai raut-resannya bagai corengan; palitan lukisan gaya basi yang tidak aku minati lagi. Ketika ditarik penuil itu nanti, lenyaplah kegelapan dalam hidupku.

Di hujung zikir dan doa pasti ku capai buku kuning itu. Ku sorot penumpuanku satu persatu di baris-baris bersarat falsafah yang terselindung di balik kata-kata yang mudah dicerna ertinya. Hidup berteras falsafah. Falsafah membentuk akidah dan sikap. Sikap penentu tindakan. Dengan tindakan terjamin pencapaian . Pencapaian pula mengacu gaya hidup. Rukun hidup persis rukun agama. Dari falsafah ke gaya hidup; serupa. Dari syahadah ke solat, puasa ke zakat lantas haji ke Mekah, ianya di depan mata – mata hati dan jiwa yang selama ini kabur. 


“Ayah, kau mengajarku erti harga diri sebenar. Kirimanmu enam bulan yang adalah kurikulum pendidikan yang selama ini ku cari. Tak ku alami di sekolah atau di mana-mana sebelum ini. Buku kuning itu adalah panduan hidupku. Terima kasih ayah.” Jeriji ini jadi saksi renyaian kekesalan di hening subuh dan dinihari. Goresan pengalaman memercik tempiasan kenangan yang meluka bakar. Aku pasrah padaMu; Tuhan.


Namun, seluas manapun keyakinan yang ku tambak, masih meredam kilas-balik itu. Detik-detik hitam cela riwayat hidupku. Silhouete berlumur itu masih memomoki. Kilasan neon. Gentaran muzik. Hilai tawa perawan dan teruna. Hayunan pinggul dan dedahan aurat yang mengghairahkan. Masih meredam kilasan itu; cela riwayatku. 


Ketika terlerai pasungan itu tanpa bertangguh dan tanpa keraguan ku ilus bayangan hitam silhouette berlumur itu. Kelam jajaran takkan ku pedulikan. Sudah ku duga. Sudah ku tekadkan dalam hati. Kekelaman akan berganti sinar yang terang andai aku tidak putus harap dan terus berusaha. Apa saja lowongan adalah terobosan. Sekecil manapun peluang akan ku manfaatkan. Pasti ku ilus bayangan hitam silhoute berlumur itu.

Iltizam ‘Mat Gilla’

April 7, 2007

” Terima kasih Cik Jah. Ni 80 sen. Kalau ada lagi jangan lupa panggil saya.”

“Mak Cik tak lupa. Daripada dibuang baik aku kasi pada engkau Mat Gilla.”

“Panggil sahaja Mat Gilla, lalu Mat Gilla akan datang untuk tukar minyak jelantah dengan wang. Ingat 1 botol besar 40 sen. Dunia ini akan jadi lebih bersih.”


Mat Gilla sedang memandu ke arah Jalan Tukang 1.

“Berperan di jagatraya….
Pastikan ia bernyawa….
Setiap daya diuntaikan untuk menjana kejayaan.”  

” Gugusan pantas dirangkaikan….
Gagasan justru diekakan…..
Siasah mapan diempangkan…..
Berindukkan kepastian
Abadikan….
Iltizamkan.” 

Memang itulah iltizam Mat Gilla. Dan, dia harapkan ramai lagi yang akan berusaha menyelamatkan persekitaran alam.


Di dalam makmal kecilnya, Mat Gilla menuangkan beberapa botol minyak jelantah ke dalam balang besar. Esok minyak berlemak tinggi itu akan diproses menjadi ‘minyak biodiesel’. Mat Gilla punya empat impian. Lori-lori besar yang memungut minyak jelantah dari restoran-restoran makanan segera yang menggunakan minyak gorengan dalam proses penyediaan makanan. Lori ini akan memunggah muatan itu di kilang biodiesel Mat Gilla di Jalan Tukang Tiga. Kedua, Mat Gilla ingin lihat stesen minyak biodiesel di merata Singapura. Stesen-stesen ini tidak bernama tetapi bersepanduk. Tertera ‘Berperan di jagatraya. Pastikan ia bernyawa.’


Ketiga, setiap rumah akan dibekali. ‘Panggil dan Mampir’. Tidak kira di mana anda berada. Penghantar akan sampai ke muka pintu anda untuk menghantar minyak biodiesel. Keempat, setiap syarikat besar akan menggunakan minyak biodiesel keluarannya. Namun, Mat Gila sedar dia ada satu masalah yang besar dan rumit. Bukan satu tetapi dua sebenarnya. 

” Denyutannya diteruskan….
Puncak persada harapan…..
Dambakan satu realiti……
Memacu ke destinasi.”


” Berjejaknya di latisan….
Melekapnya di warisan…..
Bukannya imaginasi…..
Buaian halusinasi.”  

Dia tidak mahu setakat berimaginasi. Mat Gilla tidak mahu berhalusinasi. Di depannya ada dua masalah yang besar dan rumit. Dia tidak ada setengah juta dolar untuk membina loji pengeluaran minyak biodiesel yang besar dan satu lagi, dia belum berdaya membasmi bahan ‘Nox’ yang dikeluarkan oleh produk ciptaannya itu. Menurut kajian, jumlah ‘Nox’ yang dilepaskan oleh minyak diesel lebih kurang 2 hingga 10 peratus lebih banyak daripada minyak petroleum. Mat Gilla berazam untuk menangani dua masalah ini. ‘Nitrogen Dioxide’ atau ‘Nox’ adalah musuh utama Mat Gilla kini. 

“Nanti kau ‘Nox’. Aku akan basmi kau!”


” Berperan di jagatraya…..
Pastikan ia bernyawa…..
Setiap daya diuntaikan untuk menjana kejayaan.” 

Mat Gilla membisikkan lirik lagu ‘Iltizam’ di akhir persembahannya. Pada siang hari, Mat Gilla ialah pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan biologi. Pada sebelah malam pula, Mat Gilla ialah seorang Mat Punk Rock di sebuah pub di Benoi Road.

Diubahsuai daripada kisah yang benar.

Olimpian Bahasa (1)

April 4, 2007

      Faris sedang berlatih membaca untuk ujian oralnya. Dia terkial-kial untuk membaca dengan baik. 

     “Tarik nafas menerusi hidung dan kembangkan perut kamu. Kemudian, lepaskan nafas kamu perlahan-lahan sehingga habis, sambil mengira hingga ke angka sebelas. Mesti habiskan nafas sampai angka sebelas. Mulakan sekarang,”  CG Moshid tidak membuang masa lalu menunjukkan demonstrasi cara pernafasan untuk membaca yang dimaksudkan olehnya. 


      Faris, Riphdy, Hamza, Izdy dan Azri kekok dengan kaedah baru itu. Dahi Faris berkerinyut. Dia tidak pernah mencuba cara tersebut. Ketika Faris memejamkan matanya untuk menurut panduan CG Morshid, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang mencucuk perutnya. Faris kegelian lalu pecah dekahan tawanya secara spontan.

      Jari telunjuk CG Morshi masih berada di perut Faris yang kini hampir terguling di lantai kerana tidak dapat menahan kegelian. Faris ketawa berdekah-dekah.      “Perut mesti dikembangkan hingga keras. Isikan dada dengan udara sebanyak-banyaknya. Jangan kendurkan perut ketika melepaskan udara menerusi muncung mulut.”       

     Hilai tawa mengisi sesi bimbingan ‘Olimpian Bahasa’ yang dikendalikan oleh CG Morshid. Azri, Riphdy, Hamka dan Izdy ketawa terbahak-bahak. Izdy yang gempal terhenjut-henjut naik turun.  

     Mereka terhibur dengan kaedah yag mudah tetapi bertenaga yang sedang dikongsi oleh CG Morshid. Bahagian perut masih mereka tutup dengan kedua telapak tangan kerana khuatir tercucuk oleh jari telunjuk CG Morsid yang akan menyinggahi bahagian itu pada bila-bila masa.


      CG Morshid mengambil senaskah akhbar yang sudah basi lalu membaca dengan lantang.                “Kematian menyebabkan telah itu berlaku yang kemalangan,” suara CG Morshid berkumandang mengisi bilik rumah privet di Jalan Pari Burung.     

      “Apa yang CG baca ni?” tanya Riphdy, murid menengah satu sekolah Menengah Ngee Ann. 

     “Saya cuba tingkatkan keghairahan saya. Kadangkala saya juga terlupa bagaimana untuk tunjukkan kehairahan perasaan saya ketika membaca. Jadi, saya baca secara terbalik. Ianya menyeronokkan dan menimbulkan keghairahan. Kemudian, saya ingat bagaimanakah rasa keghairahan tersebut lalu menampilkannya ketika membaca secara biasa.” 


      Dengan tidak membuang masa, Faris dan teman-temannya mula membaca petikan di tangan mereka dari belakang ke hadapan. Faris dapat membaca dengan penuh keghairahan. Dalam masa tidak sampai tiga puluh saat, bilik itu bergema dengan hilai-tawa.               “Ada apa Pak? Aduh, kok gelimpangan di lantai?”  Jenguk Bibik di celah daun pintu yang terbuka sedikit. Bibik kehairanan mendengar sura hilai-tawa yang begitu kuat.      

     “Mereka sudah gila Bibik.”

Diari Kecil Diana

Mac 14, 2007

      Diari kecil ini tinta kehidupannya. Diari kecil ini sejarah dunianya yang sirna fikir Diana. Tetapi itu kisah lama. Diana mengusap diari kecilnya. Diari kecil Diana adalah luahan segala isi hati dan rakaman kehidupan peribadinya. Kini Diari yang ditekap erat di dadanya adalah sumber panduan bagi dirinya.

      Airmata Diana semakin bergenang. Bendungan di kelopak matanya pecah ketika dia menyorot jejari telunjuknya di bait-bait puisi di muka surat diari kecilnya. 

     “Diari kecil ini teman pena kehidupan. Tarian harapan hidupku yang longlai.”

     Sejak mengunjungi Puan Amira, tersemai azam baru dalam hati Diana. Tarian longlai kehidupannya mahu digantikan dengan rentak hidup yang lebih bertenaga. Yang lebih bermakna. 

     “Diari kecil ini kawan babak kehidupan, Urutan sejarah hidupku yang resah.”

     Keresahan ini telah merenggut masa depannya bentak hatinya! Hampir keresahan ini merenggut nyawanya. Mujur, dia menghubungi talian ‘NurteensLife’ di saat dia nyaris-nyaris menghiris mata pisau yang tajam itu di pergelangan tangannya.

      ”Diari kecil ini kawan, naskah kehidupan. Rakaman sejarah hidupku terumbang.”

      Dengan bimbingan Puan Amira, Diana sedar bahawa itulah hakikat hidup. Ibarat air laut, ada pasang surutnya. Ibarat gelombang, geloranya perlu dikemudi. Untuk mengemudinya persiapan, perancangan, keyakinan dan pengalaman amat penting. Kini kembara hidupnya yang terumbang-ambing akan dihadapinya dengan lebih bersedia.

      ”Diari kecil ini kawan, jilid kehidupan. Diari kecil ini teman, antologi perpindahan.”

      Segala-galanya yang berlaku adalah kesilapan dirinya sendiri. Diana mengakui kesilapannya dalam setiap sesi kaunseling yang dihadirinya. Benar kata Puan Amira. Setiap kali dia mengakui kesilapannya dan membuka hati dan mindanya untuk mengubah sejarah hidupnya, belenggu yang melilitnya selama ini terlerai berdikit-dikit. Semakin terlerai belenggu itu, semakin bebas jiwanya dari kemurungan.

Gagak-Gagak Itu

Februari 15, 2007

Hazli malas ke sekolah. Baginya pergi ke sekolah hanya membuang masa sahaja. Tiada apa-apa yang menarik hatinya.  Hazli menggenyeh-genyeh matanya yang tidak gatal.

“Buat apa datang ke sekolah. Buang masa sahaja. Aku tidur di rumah lagi bagus.”

Bilik Hazli berselerak. Semalaman dia menonton video hip-hop. Pagi ini bukan main liat baginya untuk bangun dari tidur. Pertandingan menari yang dimasukinya perlukan Hazli berlatih lebih giat lagi. Masalahnya ialah selepas berlatih dia kepenatan. Hazli tidak bermaya untuk membuat kerja rumah. Keesokan harinya dia malas untuk ke sekolah.

Dia termenung sejenak sambil memerhatikan sekawan burung gagak yang sedang menguak-nguak di dahan pohon sena muda. Kalau bukan kerana burung-burung gagak mahu saja Hazli berhenti sekolah.

“Tak kira panas atau hujan. Tak kira pagi atau petang, kau tak pernah putus asa. Kau terbang ke sana dan ke mari untuk cari seketul rezeki. Ada kalanya aku mahu jadi seperti mu gagak.” Hazli bangkit lalu menghampiri tingkap. Di balik kaca bersalut filamen gelap, Hazli menduga-duga sambil terjengket-jengket untuk mencari apakah yang menyebabkan gagak-gagak itu heboh pagi-pagi lagi.

“Apa yang si gagak ghairahkan ni? Oh…ada sarang…eh ada telur di dalamnya!”

Rupa-rupa ada sebuah sarang di ranting pokok itu. Ada sebiji telur di dalamnya. Inilah kali pertama Hazli perasan akan sarang tersebut. Jika dia tidak pedulikan aksi burung-burung gagak itu, tentu dia tidak berkesempatan melihat sarang dan telur tersebut. Tiba-tiba timbul keghairahan dalam dirinya. Seghairah burung-burung gagak yang menguak-nguak tidak henti-henti.

Sekawan burung gagak itu silih berganti hinggap di dahan dekat sarang itu. Satu hinggap satu terbang pergi. Mentari semakin naik tinggi. Fajar berganti pagi. Pagi menongkat ke tengahari. Hazli ke bilik air.

Hazli mengenakan pakaian sekolahnya. Dia mesti ke sekolah. Selepas sekolah, Hazli terus ke tempat latihan menari.

“Kenapa kau lambat datang ke latihan?”

“Aku ada kelas tambahan tadi.”

“Apa dah kena dengan kau? Biasanya kau tak ke kelas macam tu.”

“Dulu aku tak peduli sekarang aku dah tak macam tu lagi.”

Sepulangnya dari latihan menari, Hazli terus ke tingkap di biliknya. Dia ingin melihat sarang gagak itu lagi. Seekor gagak sedang mengerami telur. Seekor lagi berdiri di sebelahnya. Kali ini burung-burung itu tidak menguak-nguak lagi. Petang mengengsot ke senja. Berkapas-kapas awan kelabu berlatarkan langit sephia yang makin menjingga kemerah-merahan.

Muazin melaungkan azan maghrib dari corong stesen radio Warna 94.2. Hazli mendengar alunan azan dengan teliti. Kesayupan menyerapi dadanya ketika menghayati alunan azan.

“Setiap sesuatu mereka lakukan dengan ketekunan. Ketika menguak-nguak tekun. Ketika diam pun mereka tekun.”

Seusai azan berkumandang, Hazli terus ke bilik air. Seberkas keinsafan bertitik di jiwanya. 

Wak Jono

Januari 28, 2007

Lebuh raya Selatan-Utara menyajikan panorama banjaran gunung yang tidak putus-putus. Kilasan rumah-rumah papan bagaikan rentak metronom yang memacu alunan lagu instrumental ‘Umbara’ nyanyian kumpulan pemuitis tanah air.

Khaleed termenung panjang di dalam bas. Dia teringatkan Masjid Al-Amin. Khaleed teringatkan Wak Jono. Wak Jono teman se safnya. Saf pertama setiap kali mereka bersolat isyak di masjid di kaki ‘Mount Faber’. Kamal Ariff berada di sebelahnya. Kamal teman sedarjah Khaleed. Perasaan Khaleed berbaur. Dia bersyukur dalam keghairahan.

“Mal, betullah.”

“Apa yang betul?”

“Kata Wak Jono.”

“Apa Wak Jono cakap pada kau.”

“Katanya, ada masalah ada peluang.”

“Macam mana. Apa maksud kau?”

” Kan CG Morshid tengah buntu pasal masalah latihan muzikal Wak Tua. Kau yang kasi tau aku. Bila aku tahu ada orang selalu ponteng latihan, aku jengukkan muka. Harap-harap CG Morshid akan buka peluang pada aku. Itu harapan aku saja. Kini harapan tu dah jadi kenyataan.”

“Untung kau Leed.”

“Bukan untung tetapi pengalaman. Wak Jono bilang aku bahawa dalam masalah ada peluang.”

Wak Jono memang sentiasa bersikap positif. Dalam masalah ada peluang katanya. Dulu Wak Jono penjual sate. Beliau menjaja dari pagi ke malam untuk menyara hidup keluarganya. Baginya tidak ada jalan mudah untuk hidup. Untuk hidup kita mesti berani, bersabar dan berbakti.

Sebelum itu, Wak Jono bekerja di ‘Harbour Boat’ sebagai pemunggah muatan dari kapal. Kerjanya berat. Lebih berat lagi ialah menerima kerahan dari mandur-mandur yang bengis dan kasar. Mujur ada seorang putih yang mengubah pemikirannya. Menurut beliau, untuk terus bekerja keras, kita perlu makan daging. Daging berprotein. Peranannya ialah membaiki otot-otot yang kerosakan kerana dikerah tenaga dan kejang kendurnya setiap hari.

Wak Jono mengambil keputusan untuk menjual sate sungguhpun kerja itu berat dan memakan masa yang panjang. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari paksaan dan kerahan mandur-mandur ‘Harbour Boat’. Timbul perasaan yakin diri dalam diri Wak Jono. Dia mahu berusaha sendirian.

Pentas di bilik gala di Hotel Sheraton cukup besar. Susunan meja bulatan berkerusi sepuluh membayangkan kegahan acara yang bakal berlangsung.

“Berdentang jam malam dua belas kali. Di bawah lampu berdiri. Wak Tua sendiri. Kerut-merut muka penat sehari,” seru Hidayah. Hidayah gadis 2 Ekspress.

” When the clock struck twelve times. Under the street lamp. Wak Tua alone. Drenched in exhaution….” sambut Hafiz Amiran, remaja lelaki berawakan India.

Khaleed dan teman-temannya mengadakan persembahan di sebuah hotel bertaraf 5 bintang.

Khaleed teruja. Dia terpukau dengan alunan muzik hip-hop Wak Tua.

Persembahan muzikal ‘Wak Tua’ hebat. Persembahan berbilang media mengkagumkan para hadirin di acara pelancaran Seniman Tunas di Kuala Lumpur.

Selepas Isyak Khaleed duduk di tingkat dua serambi Masjid Al-Amin. Khaleed mengucapkan terima kasih kepada Wak Jono.

“Terima kasih Wak. Saya terhutang budi kepada Wak. Kalau Wak tak nasihatkan saya supaya tangguk di air keruh, tak mungkin saya dapat peluang ke Kuala Lumpur.”

“Ora opo. Tak puayah terimo kasih. Di mono-mono pun eneng. Ada. Peluang itu mesti kito tahu di mono. Langsung kito tunggu podo mosonyo.

” Ye lah Wak Jono, pengalaman Wak begitu berharga sekali.”

“Wes…wes. Sudah-sudah. Kito balik sekarang. Esok kau sekolah.”

Nasihat Wak Jono memang berguna. Khaleed kagum terhadap kewibawaan Wak Jono.