Pembunuh Serigala

April 26, 2009

Pagi itu mereka akan memulakan pemburuan. Matlamat mereka ialah untuk membunuh serigala yang telah membaham kambing di ladang ternakan seorang penternak. Remaja itu diperintahkan mengikuti lelaki itu kerana lelaki itu ialah seorang pemburu yang handal memburu serigala.

Dalam perjalanan, remaja itu tidak habis-habis membesar-besarkan kebolehannya memburu. Sejauh ini dia telah memburu berjenis-jenis binatang.

“Berapa ekor binatang yang telah engkau buru?” tanya remaja itu.

“Aku bukan memburu sebarang binatang. Aku hanya memburu serigala,” jawab lelaki itu

Malam itu, mereka berdua tidur di pinggir unggun api. Sebelum tidur, lelaki itu mengingatkan remaja tersebut agar meletakkan senapangnya jauh dari api. Katanya, tindakan itu dapat mengelakkan kemalangan. Jika senapang mereka terlalu dekat dengan api, ianya mungkin memuntahkan peluru apabila terkena bahang panas. Remaja itu tidak berapa bersetuju dengan arahan lelaki itu, tetapi ia menurut nasihat lelaki tersebut.

Keesokannya, mereka meneruskan pemburuan. Mereka terserempak seekor serigala. Remaja itu bergegas untuk menembak serigala tersebut. Selepas membunuh serigala itu, barulah ia sedar bahawa itu bukan seekor serigala, tetapi musang. Lelaki itu menasihati remaja itu supaya lebih berhati-hati kerana dengan tindakannya tadi, serigala yang sedang mereka buru tahu bahawa ada pemburu yang sedang memburunya. Ini akan menyukarkan misi mereka untuk memburu serigala tersebut.

“Tapi tu cuma satu kesilapan sahaja,” remaja itu mempertahankan tindakannya.

“Sudah berapa ekor serigala yang kau bunuh?” tanya lelaki itu.

“Belum satupun, sebab itu aku disuruh ikut kamu memburu serigala sekarang,” jelas kedengaran nada kemarahan dalam suara remaja tersebut, kerana kebolehannya diperkecilkan.

“Aku bencikan semua serigala. Kita patut bunuh semua serigala tersebut!” bentak remaja itu.

“Bukan semua serigala pembunuh kambing. Serigala yang tua tidak akan melakukan perkara itu. Hanya yang muda yang kita buru. Itu pun yang satu-satunya sahaja. Yang membaham kambing yang malang itu.” tenang sahaja suara lelaki itu.

“Ingat, serigala yang kita akan bunuh ini muda dan hanya membaham, mangsa yang paling sihat dan menarik hatinya,” tambah lelaki itu lagi.

“Aku hanya ikut perintah penternak yang tidak mahu kehilangan lagi. Dulu dia pernah kehilangan satu-satunya anak perempuan yang amat disayanginya,” lelaki itu sengaja menaikkan suaranya agar jelas didengar oleh remaja itu.

“Hey, tentang gadis yang malang itu, bukan salah aku dia mati. Itu cuma kemalangan. Ayahnya yang mati-mati tidak mahu dia bersama denganku. Kematiannya ialah atas keputusannya sendiri! Aku tidak membunuhnya. Dia gadis cantik. Aku jatuh cinta padanya. Adakah itu salah? Kalau kau nampak dia, tentu kaupun mahukannya. Aku pasti,” remaja itu mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

“Telah aku katakan tadi, aku tidak akan membunuh sebarang serigala. Aku hanya membunuh yang bersalah sahaja,” sambil mengeluarkan sepucuk pistol dari balik hujung seluarnya. Lelaki itu mengacu pistolnya betul-betul di kepala remaja tersebut lalu menarik picunya perlahan-lahan.

CETERPEN D’Saku
KAK
Kehilangan atas Kehilangan. Takdir yang menentukan berharganya seberkas kejujuran.

Memang suratan
sungguh ada pilihan
dalam percintaan
yang perlukan pengorbanan

“Bohong!”
“Benar Asmah, aku lakukan ini kerana aku amat mencintaimu.”

Jodoh mereka sudah tiada. Hari ini, tali pertunangan antara Asmah dengan Ryan putus.

Asmah tidak dapat menerima keptusan Ryan untuk memutuskan pertunangan mereka. Dia berasa tertekan.

“Tergamak kau Ryan. Sampai hatimu.”

Hingga meluluh
merusuh salah sangka
mendinding antara
fikir dan rasa

‘SEORANG WANITA MUDA MATI KERANA PIL TIDUR YANG BERLEBIHAN”

Menjerit berita itu di dada akhbar. Lebih tepat lagi, berita tentang kejadian seorang wanita muda yang mati kerana menelan pil tidur yang keterlaluan jumlahnya; bunuh diri!

Pengorbanan ini
adakah kesilapan
dungunya kemanusiaan
hilangnya pertimbangan

“Asmah!”

Bekas tunang Asmah rasa bersalah. Ryan ke rumah Asmah untuk menghadiri upacara pengkebumian bekas tangkai hidupnya yang kita patah; hilang tak berganti.

“Makcik suatu hari nanti, kalian akan tahu sebab sebenarnya saya putuskan pertunangan kami. Saya minta maaf terlebih dahulu.”

Hanya pengertian
hanya kepercayaan
yang perlukan masa

“Aku putuskan kerana aku tak sanggup menipumu Asmah.” Sejujurnya, Ryan tidak berhasrat melukakan hati Asmah, tapi dia tak berdaya menahan ledakan perasaan itu dalam diri Asmah.

Pemergian ini persemadian
ketentuan Illahi
kehilangan satu kepastian kini

Bagi Ryan, keputusan memutuskan pertunangan itu tidak dapat dilengahkannya; tidak dapat dielakkannya.

Lapan bulan lalu, Ryan menghadiri upaara pengkebumian Asmah. Hari ini keluarga Asmah menghadiri upacara pengkebumian Ryan.

“Kami tak salahkan Ryan atas pemergian Asmah.”
“Ryan sembunyikan barah hati yang dihidapinya daripada kami.”

Kehilangan atas kehilangan
takdir yang menentukan
berharganya satu kejujuran

Karya CG Karmin Abbas

Karangan ini dihasilkan semasa Program LAP (Language Achievement Programme) yang telah diadakan baru-baru ini oleh NUDA Limited di bawah bimbingan CG Karmin Abbas, (Konsultan Utama NUDA). Karangan ini tidak diedit untuk mengekalkan bentuknya yang asal.

                Keadaan di kolong blok itu sunyi sepi. Kedengaran burung berkicauan pagi itu. Aku melihat jam tanganku. “Sudah 6.45. Mana Hasyim? Kalau lambat, nanti dimarahi cikgu lagi,”desis hatiku. Sudah hampir lima belas minit aku menunggunya.

“Mungkin, aku lewat. Dah pergi dah Hasyim ke sekolah agaknya. Kurang ajarnya dia! Kawan apa ni?” kemarahanku semakin mendidih. Dahiku mula berkerut. Tanpa menanti lagi, aku terus ke sekolah.

Sejurus sahaja aku sampai di gerebang sekolah, aku tiba-tiba terjenguk ke tingkat dua. Alangkah terpernjatnya aku apabila aku ternampak Hasyim. “Hasyim!” aku memanggilnya sambil melonjak-lonjak kegembiraan. Hasyim melambai-lambai sambil tersenyum dan tanpa berlengah-lengah lagi, aku menaiki tangga untuk mengejarnya. Aku sudah sedia untuk melepaskan geramku dan memarahinya kerana datang tanpa menungguku. Apabila sampai di tingkat dua, aku ternampak Hasyim melarikan dirinya dariku lalu memasuki sebuah kelas. Aku bercadang untuk mengekorinya. Sejurus sahaja sampai di kelas itu, aku mencari-cari  Hasyim yang tiba-tiba hilang. “Eh, mana si Hasyim ni? Nak main sembunyi-sembunyi ke?” aku tertanya-tanya sama sendiri. Pada hari itu, Hasyim tidak kelihatan pada waktu kelas.

Begitu riuh-rendah sekali suasana petang itu selepas sekolah sehingga aku terhimpit dan susah bernafas apabila hendak keluar dari gerebang sekolah. Aku bercadang untuk ke rumah Hasyim petang itu. Aku tertanya-tanya mengapa dia tidak kelihatan di sekolah. “Ding dong!” bunyi loceng yang ditekanku apabila sampai di rumah Hisyam. Ibu Hisyam, Cik Sarah membuka pintu. Mukanya kelihatan begitu merah sekali. Dia menjemputku masuk. Aku menanyakannya mana Hasyim dan mengapa dia tidak hadiri sekolah hari itu.  Alangkah terkejutnya aku apabila dibeitahu bahawa jenazahnya sedang dikebumikan di Pusara Abadi. “Pagi tadi, dia bangun lewat. Dia kelam-kabut lalu apabila sedang turun tangga, dia tersungkur lalu tergolek dan apabila jatuh, kepalanya terhentak dengan kuat di sebuah paip besi. Dia dijumpai sejam kemudian apabila seorang jiran nhendak ke pasar,” kata Cik Sarah. Air matanya meleleh ke pipi dan berkumpul di dagu lalu memberat dan jatuh setitis demi setitis.  Aku cuba menenangkannya tetapi aku sedar bahawa aku tidak boleh menahan tangisanku sendiri. Aku menatap sebuah gambar  yang jelas kelihatan wajahnya. Ia disusun rapi di rak-rak di dalam kamarku itu. Itulah persahabatan yang begitu akrab sehingga dia sanggup mengambil risiko yang bahaya. Hisyam akan berada di dalam hatiku untuk selama-lamanya. Dia tidak pernah mungkir janji.

 

19NT

Mac 15, 2007

      Lahirku menjulang bahagia. Akulah tiara keluarga. Kemegahan ibu dan ayah. Ayahku bagai seorang raja waktu kelahiranku. Ibuku bagai permaisuri baginda. Begitulah kata nenekku. Kata nenek lagi, ayah kuat kerja. Siang dan malam. Ayah tidak berpelajaran tinggi. Ibu pula suri rumah sepenuh hari. Nenek tinggal bersama kami. Aku masih terlalu kecil untuk untuk memahami hidup ini. Dulu ketika ayah pulang, berkatnya seukir senyuman yang membawa kebahagiaan.


      Setiap malam sebelum aku tidur, nenek akan bercerita. Nenek akan mengungkap kisah-kisah lama. Kisah kebahagiaan cuma. Aku tidak bertanya apa-apa. 

     “Tak terduga konflik melanda lucut makhota kecai manikannya……” alunan lagu merdu dendangan Irah, penyanyi muka baru yang semakin mendapat perhatian menggugat jiwaku.     Ketika menjejaki menengah satu ku cetus satu pertanyaan. Nenek bungkam hilang bicara. Malam itu aku mengetuk pintu kamar nenek. Aku mahukan jawapan. Baik atau buruk akan aku terima dengan hati yang terbuka. Nenek terus mendakapku. 


    “Nenek tidak boleh sembunyikan lagi kebenaran dari saya. Saya berhak mengetahui perkara yang sebenar,” ujarku dalam dakapan dan limpahan air mata seorang tua yang berusia dalam lingkungan tujuh puluhan. Nenek bagai air pancuran. Di pancuran inilah aku mengemis setitis mata air kasih ayah dan bonda . Hakikatnya aku anak kecil yang terbengkalai. Disisih oleh ayah dan bonda yang menghilang entah ke mana.      Terhempas kini harapanku. Bukan mahuku jadi begitu……….


      Suatu waktu lenyap sara hidup kami.       “Pudar jua kesabaran bondamu nan mithali Yan.” 

      Sejak itu, aku hilang segala-galanya. Satu-satunya bonda yang tercinta. Bonda hilang kesabaran mengharungi bahtera rumah tangga yang tak terkemudi – sebuah bahtera yang kontang muatan dan bekalan utamanya. Pemberontakan dan penderhakaan di pelantar bahtera memang menunggu masa. Dalam sekelip mata ia berlaku. Dalam sekerdip kebingasan aku menjadi piatu. Ibu bunuh diri. Ayah mengikuti. Terjun dari lantai tinggi.


      “Malam itu tepat jam sebelas. Nenek rasa tak kena. Jiwaku rimas Yan. Ayahmu masam muka. Bonda mu sibuk mengemas sambil mendakapmu Yan, penuh rasa belas. Sebelum keluar rumah, aku mohon engkau diserahkan kepadaku. Mujur Yan…mujur…bondamu tidak membawamu bersama.”  Pelukan itu terakhir. Pamitnya bonda, susulnya ayah tidak pulang-pulang lagi.      Gerimis rindu basahi pipi. Anak kecil 19NT.

“Mak, aku pulang”

September 25, 2006

“Kau mesti bantu aku. Aku ingin pulang. Ini lah saat yang paling tepat untuk aku pulang,” Hamdi minta bantuan ku untuk menyampaikan pesan kepada orang tuanya.

Serba salah aku jadinya. Siapa yang akan percaya pesananku nanti. Mak dan ayah Hamdi pasti tidak percaya. Mereka mungkin akan menghalauku.

Hamdi kelihatan pucat sekali. Ada leleran darah beku dari pangkal rambut di dahinya. Kelihatan juga kesan luka yang dalam. Tentu Hamdi telah ditetak dengan benda yang tajam dan berat. Biji mata Hamdi berwarna kelabu. Terbau kehamisan darah yang sudah basi.

Hamdi beralih-alih tempat ketika kami berbual. Sekejap dia di sisi ku dan sekejap lagi dia bertenggek di atas kabinet di bilikku.

**************************

Berleleran air mata tumpah dari takungan di kelopak mata yang tiba-tiba pecah. Mak dan ayah Hamdi kelihatan sugul sekali.

Aku sampaikan pesan kepada mak dan ayah Hamdi setelah mereka bersetuju mendengarnya.

Mak, aku pulang sungguh engkau tak sayang. Buangkan kekotoran jua keaiban. Ayah aku pulang sungguh kau tak peduli. Bersihkan darah pekat di dahiku ini,”

Mak dan ayah Hamdi begitu tersentak. Tidak henti-henti kepala mereka berpaling ke pelbagai penjuru rumah untuk menduga kedudukan Hamdi sedangkan Hamdi berdiri tegak betul-betul di sisi ku.

**************************

“Terima kasih Ikmal. Aku terhutang budi kepada mu,” “Sudah menjadi tanggung jawabku Hamdi.”Kegusaran Hamdi sudah lega. Terukir senyuman di wajah Hamdi. Hamdi merenung tajam ke arahku. Aku menganggukkan kepala tanda aku faham maksudnya. Hamdi menyorong pergi. Dia semakin jauh lalu perlina. Hamdi hilang dari pandangan mataku. Kini mak dan ayah Hamdi saling berdakapan sambil tersedu-sedan.

****************************

Aku meninggalkan rumah Hamdi. Yang ku rasakan bukan kesedihan tetapi keinsafan. Keadaan Hamdi menyebabkan aku sedar nilai dan erti sebuah keluarga.

Langit jingga tertebar di kejauhan. Jingga yang semakin memerah. Muazin melaungkan azan dari masjid yang terdekat. Aku sedekahkan sebingkis fateha buat roh Hamdi

“Buat mu Hamdi. Semoga roh mu dicucuri rahmatNya.”

Peh Yam Chew

Julai 15, 2006

     “Kau tak kenal dia lah,” ringkas sahaja jawapan Encik Khairunan.
     “Dia ambil ‘MC’ selama tiga bulan. Kau kan baru kerja kat sekolah ini,” sambungnya lagi.
     “Oh…”
perasaan simpati semakin melilit hatiku. Bagiku pemergian seorang rakan seperjuangan tidak kira bangsa ialah satu kehilangan yang besar. Samada aku kenal dia atau tidak, isu ini tidak penting.
       Sebuah van kecil yang berdinding kaca masuk ke perkarangan sekolah. Van itu bergerak perlahan-lahan di hadapan barisan para pelajar dan guru yang berdiri sambil menundukkan kepala sebagai tanda tafakur. Aku mendongak sedikit dengan tujuan untuk memerhatikan secara teliti potret hitam putih yang terpasang di depan van. Potret itu ialah wajah mendiang. Aku benar-benar ingin melihat wajah seorang pendidik berdedikasi dan komited ini.
     Secara berbisik, Encik Khairunan menerangkan bahawa sebelum meninggal, mendiang minta agar jasadnya dibawa ke sekeliling bangunan sekolah. Dia benar-benar sayangkan para pelajar dan sekolah ini tetapi pihak sekolah hanya membenarkan jenazahnya diarak di bahagian depan sekolah sahaja.
     Perhatianku tidak beralih. Potret hitam putih itu ku tatap dengan penuh minat. Penuh tandatanya. Selang seminit, van itu berapa beberapa meter dari kedudukanku.
     “Encik Khairunan, saya kenal mendianglah. Saya pernah nampak dia,”
     “Kau jumpa dia di mana?”
tanya Encik Khairunan dengan penuh kehairanan.
     Benak fikiran ku mencari-cari tempat dan masa pertemuan itu. Aku tidak perlu mencari lebih lama.
     Sebuah tangga! Waktu tengahari! Sebuah tangga yang menghubungkan bilik guru dengan pejabat sekolah. Dua buah pintu bersistem keselamatan berwarna putih di hujungnya. Tetapi bila? Bila?
     Seorang wakil mendiang mendekati Encik Khairunan. Dia menghulurkan salam.
     “Terima kasih tuan pengetua. Pihak kami amat berbesar hati kerana tuan membenarkan jenazah kakak saya diarak di sekolah yang amat dicintainya,” jelas ada bendungan airmata;kocakan perasaan sedih yang sukar dikawal.
     Fikiranku menerawang lagi.
Semakin jelas pertemuan kami di tangga. Mendiang berambut panjang yang diikat di bahagian belakang. Raut wajahnya sukar aku lupakan. Bujur sireh, bersih tetapi pucat. Mendiang melangkah perlahan-lahan seakan-akan menahan kesakitan. Tangan kanannya memegang bahagian bawah perut.
     Van tersebut telah meninggalkan perkarangan sekolah. Para pelajar dan guru mula bersurai.
     “Apa penyakit yang dihidapinya?” kami beriring jalan menuju ke pejabat.
     “Barah rahim. Terminal,” jawab Encik Khairunan.

     Ketika menuju ke pejabat, ada sesuatu yang menghantui ku. Sesuatu yang tidak rasional. Tidak ada logiknya. Aku harus mendapatkan kepastian. Jawapannya ada di pejabat sekolah.
     “Encik Khairunan, kali terakhir mendiang bertugas ialah pada 3 mac tahun ini. Saya jumpa mendiang beberapa kali selepas itu,”
     “Macam mana kau tahu?”
     “Saya periksa buku kedatangan guru,”
     “Betul kau nampak dia sesudah tarikh tu?”
     “Beberapa kali di tangga pada bulan Mac, April dan Mei
.

*****************************************

     26.6.2006. 11:45 pagi.

     Hari ini aku berada di tangga berfenomena ini. Sengaja aku ke sini. Tanpa sebarang tujuan. Sambil berdiri di depan kabinet kaca aku meneliti pameran di rak-rak kabinet kayu mahagoni itu. Di dalamnya tersusun piala-piala kemenangan. Beberapa buah potret juga ada di rak-rak sebelah atas. Ada sesuatu yang menarik perhatianku. Sebuah potret hitam putih di rak-rak paling atas! Aku melangkah ke belakang sedikit. Sebuah potret berbingkai dan berkalung bunga menghiasi deretan arca-arca tembaga. Ketika melangkah ke belakang aku terlanggar sesuatu. Lebih tepat lagi, seseorang. Dengan pantas aku menoleh ke belakang tetapi tiada sesiapa di situ. Seberkas desiran angin dingin menghembusi wajah dan rambutku. Aku tahu pesanan di sebalik kejadian misterius ini. Mendiang ada di situ. Tumpuan ku kembalikan ke potret di rak-rak bahagian atas. Menghairankan, potret Peh Yam Chew sudah tiada di situ.

6.6.06

Jun 6, 2006

     Jam dua baru Khairunan muncul. Dia janji akan tiba sejam yang lalu. Dengan berkemeja-T hitam dan berseluar jean lusuh, Khairunan menghulurkan tangannya. Kami bersalam. Seperti biasa ‘Earshot Cafe’ yang terletak di Old Parliament Lane lengang. Pelayan wanita warga India tiba dengan segera.
     “What would you like to order?” tanyanya dengan tersipu-sipu. Biasanya kami berdua akan mengusiknya. Maklumlah loghat Hindinya memang cukup pekat. Lagipun dia memang menawan!
     Ketika pelayan itu berlalu untuk menyiapkan pesanan kami, aku tidak membuang masa lagi.
     “Bagaimana keadaan bapa kau?” tanyaku sambil memandang tepat ke muka Khairunan.
     “Bertambah baik,” jawabnya selamba.
     Peristiwa yang berlalu pada tanggal 6.6.06 sukar dilupakan. Sukar difahami. Aku menerima pesanan ringkas daripada Khairunan yang meminta bantuan. Ayahnya hilang daya ingatan ketika sedang memandu trak beserta chassis sepanjang empat puluh meter!! Mujur Khairunan berada di sisi ayahnya. Sejak awal hari itu dia sedar ayahnya dirundung kemuraman. Tiga tahun yang lalu ayahnya berkeadaan sedemikian juga. Keadaan kesihatannya bertambah gawat apabila dia diserang sawan dan ditahan di ICU selama seminggu. Khairunan tidak mahu keadaan itu berulang lagi. Menurut pesanan ringkas yang aku terima Khairunan menyatakan bahawa ayahnya berkelakuan luarbiasa. Dia mungkin sedang kerasukan. Balasanku begini:
     “Nan, ambil tahu keadaan kesihatan ayahmu. Fahami tindakan yang wajar. Sama-sama kita fikirkan tindakan yang sebaik-baiknya.”
     Jawapan anak muda penuntut Politeknik Singapura itu di luar dugaanku:
     “Shah, dia kena buat orang.”
     Hairan aku dibuatnya. Anak muda zaman sekarang masih percaya kisah tahyul seperti itu. Berapa ramai lagi yang masih memegang kepercayaan sebegini?
     Ingatan ku meredah kejadian hari itu. 6.6.06. Menurut orang angka 666 membawa sial! Aku tidak mempercayainya. Ketika aku sampai di Teban Crescent, sebuah trak putih berada di belakang sebuah bas kuning. Hujan berselang petir menyukarkan aku keluar dari kereta. Dengan berpayung aku keluar dari kereta lalu bergegas ke sisi kepala trak itu. Khairunan yang membuka pintunya. Wajahnya kelihatan pucat lesi. Ketika berada di dalam trak, aku perasan sesuatu. Ayah Khairunan bercakap seorang diri. Matanya berair. Jelas ayah Khairunan sedang menangis. Apa yang ditangisinya aku kurang pasti. Aku mulakan bicara dengan lembut. Dia mahu ke Jalan Tukang tetapi terlupa arah. Sudah berbelas tahun dia memandu trak ke Jalan Tukang. Dia tidak pernah terlupa arah ke sana. Hari ini tiba-tiba dia hilang ingatan.
     Pelayan warga India yang genit datang membawa dua gelas minuman dingin. Dia tersenyum lantas meninggalkan kami. Dia memang peka. Dia dapat merasakan ketegangan suasana ketika itu.
     “Nan, ayah kau mengalami tekanan perasaan. Dia cuba sembunyikan sesuatu dari keluarga kau. Sukar baginya meluahkan masalah tersebut. Dia tidak mahu menggusarkan orang lain,” aku rendahkan suara ku. Biasanya suara kami berdua akan berdengung ke serata koridor tingat satu bangunan lama parliamen yang bersejarah itu.
     “Aku tahu Shah, masalah tersebut membebankan fikirannya. Ayahku kurang rehat. Justeru kepenatan dia hilang ingatan sebentar. Tapi hati aku tidak sedap. Kata ibuku ayah terkena gangguan ilmu hitam,” berkerut dahi belia berusia dua puluh enam tahun ini. Dahi aku pun berkerut juga. Bukan kerana dimamah usia tetapi dimamah realiti yang merungsingkan.
     “Astaghfirullah…..” aku menarik nafas.

     Rupa-rupanya sahabatku ini terpegaruh dengan angka 6.6.06. Angka mukjizat para pemuja syaitan. Apakah Khairunan memercayai tarikh tersebut membawa kecelakaan terhadap ayahnya. Babak di Jalan Tukang Satu berulang tayang. Ayah Khairunan keluar dari kepala trak tetapi dia tidak ingat tempat itu. Hujan semakin lebat. Aku yang mendesaknya supaya menempatkan chassis traknya di situ. Selepas meninggalkan chassis traknya di situ, ayah khairunan masih terus berbisik sendiri ketika memandu kepala trak ke Bukit Batok. Dia memandu dengan laju! Aku tidak henti-henti mengingatkannya supaya berhati-hati.
     Lagu ‘Cupingku lekat di corong radio’ berkumandang. Dendangan pelagu puitis tanahair yang bergelar ‘Umbara’ menjentik nostalgia. Namun hari ini ada perkara yang lebih mustahak daripada menyusuri landasan nostalgia.
     “Nan, kau penuntut politeknik. Kau harus bebas dari menyangka yang bukan-bukan. Kau sepatutnya berfikiran rasional. Kau mesti tahu masalah sebenar. Fahami cara-cara mengatasi masalah tersebut. Selanjutnya kau ambil tindakan yang sewajarnya. Jangan ambil jalan mudah ketika menangani masalah. Apabila menghadapi kesukaran, jangan cepat salahkan fenomena yang tidak normal. Bagiku itu perbuatan orang yang tidak tahu dan tidak faham masalah tetapi mahukan tindakan yang segera,” jelas terbayang kesungguhan ketika aku lafazkan pesanan ini. Masih utuh bakat berbahas yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
     Aku tahu Khairunan mendengar dengan tekun. Tiada pilihan lain baginya sekiranya dia mahu membantu ayahnya. Aku tahu dia masih buntu dan rungsing tentang keadaan ayahnya. 
     “Bro, meminta bantuan ketika menghadapi masalah merupakan langkah orang yang bijaksana. Ianya lebih baik daripada cuba mengatasi masalah yang sukar sendirian. Lebih ramai yang memikirkan jalan keluar bagi sesuatu masalah, peluang untuk berjaya mengatasinya lebih besar lagi,” sengaja aku tekan suara tinggi sedikit.
     “Aku faham Shah. Terima kasih.”
     Tugasku sudah selesai. Sejam di rumah seni di bangunan lama parliamen bersama Khairunan aku harapkan membawa kesedaran kepada sahabatku. Selain dari nasihat, tiada daya lain yang dapat aku tawarkan untuk membantu keluarganya.
     Ketika meninggalkan kawasan bersejarah itu,
ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk ingatanku. Oh ya, aku menemani Khairunan ke rumah datuknya, Tok Andak di Taman Jurong. Kami berkenderaan sebuah teksi. Dalam perjalanan ke sana, ayah Khairunan tidak henti-henti menunjukkan arah jalan. Aneh, ayah Khairunan ingat arah ke rumah Tok Andak dengan jelas!

Sentap!

Jun 5, 2006

     “Nico, setiap tempat ada undang-undang tersendiri,”
     “Kau merepek lah Ramli. Kau merepek.”

     Sukar bagi Ramli untuk menerangkan apa yang dia maksudkan itu. Dulu dia macam Nico juga. Terejal. Tidak ada undang-undang yang lebih penting selain daripada undang-undang diri mereka sendiri. Mereka paling ‘besar kepala’ di mana-mana sahaja mereka berada terutama sekali di sekolah. Sehinggakan guru besar pun hampir putus asa dan membuat keputusan untuk menggantung mereka. Bukan menggantung leher mereka tetapi kedatangan mereka. Namun begitu, beliau mengambil satu keputusan yang penting bagi para pelajar ’seangkatan’ Ramli’. Para pelajar berisiko tinggi ini diberi peluang terakhir untuk menunjukkan komitmen mereka dengan menunjukkan perubahan dalam masa tiga hari. Dalam masa tiga hari, mereka harus menjadi pelajar berdisiplin atau mereka akan digantung sehingga akhir tahun. Program ‘Percaya Diri’ yang akan mereka ikuti bakal diadakan di sebuah pulau di utara Singapura.
     Hari pertama perkhemahan sama seperti perkhemahan-perkhemahan lain yang pernah dia tempuhi.
Ada sekelumit rasa kecurigaan dalam diri Ramli. Berkemungkinan dia tidak akan mempelajari apa-apa. Lebih-lebih lagi mengubah perangai. Program yang diaturkan memang mencabar tapi secara fizikal sahaja. Dia masih bersama teman-teman terejalnya. Sazali, Ishak, Hameed dan Naz. Dalam diam, kumpulan Ramli membuat keputusan yang bulat. Mereka akan memenangi semua pertandingan yang akan diadakan. Tentu para pelatih akan berpuashati dengan pencapaian mereka. Pencapaian sama seperti komitmen. Komitmen sama seperti perubahan sikap. Objektif mereka yang lebih besar ialah mendapat anggukan para pelatih yang akan menghantar laporan kepada pihak sekolah. Mudahan-mudahan menerusi laporan itu, mereka akan dibenarkan datang ke sekolah. Selepas dua tiga minggu di sekolah, mereka akan jadi samseng semula. Apabila guru besar putus asa, mereka akan dihantar ke sebuah perkhemahan lagi!
     Rancangan Ramli musnah pada malam terakhir perkhemahan.
Musnah dan mengubah segala-galanya. Kepercayaan dirinya luntur. Dulu, Ramli percaya hanya pada dirinya sendiri. Keperluan dirinya ialah pusat bagi segala tindakannya. Di rumah, ibunya hilang kawalan ke atas dirinya. Di sekolah, guru-gurunya jenuh cuba mendisiplinkannya. Di kalangan rakan-rakannya, dia kepala mereka. Namun pada malam kedua perkhemahan di sebuah pulau, pusat tersebut bubar dalam masa empat jam. EMPAT JAM SAHAJA!
     “Jaga Ramli. Jaga Ramli” suara itu masih terngiang-ngiang lagi. Ramli masih terlantar di atas katil. Badannya lemah. Sudah dua hari dia demam semenjak pulang dari perkhemahan ‘Percaya Diri’. Ironinya, kini dia hilang segala kepercayaan diri. Pelukan erat yang dialaminya pada malam itu menarik keluar segala keberaniannya. Menarik keluar segala keterejalannya sehinggakan untuk pulang ke rumah seusai perkhemahan pun dia minta ditemani oleh rakan-rakannya hingga di kolong blok. Dia perlu pula menelefon ibunya untuk mengambilnya. Dulu Ramli tidak perlukan sesiapa. Dia keluar bila dia suka dan pulang bila dia mahu.
     “Kau penakutlah Ramli. Kata ketua,” Nico masih tidak faham akan perubahan sikap Ramli.
     “Nico, kalau kau betul-betul kawan aku dan kau percaya aku memang kawan kau, dengar nasihat aku,”
     “Nasihat? Sejak bila kau pandai beri nasihat?”
     “Nico, dengar cakap aku. Setiap tempat ada undang-undangnya tersendiri. Aku dengan kau ada undang-undang. Dengan keluarga pula ada undang-undang yang lain. Di sekolah undang-undangnya berbeza Nico. Cuma kita langgar kesemua undang-undang tersebut. Kita berpandu undang-undang kita sendiri,”
     “Aku kecewa dengan perubahan kaulah Ramli. Mana ada undang-undang macam tu. Buat susah kita sahaja. Kau jangan pedulikan undang-undang lain. Tujuannya cuma satu iaitu mengongkong kita,”
     “Bukan mengongkong, memastikan kesejahteraan kita. Lain padang lain belalang. Masuk kandang lembu kita melenguh, masuk kandang kambing kita mengembek,”
     “Merepek lagi!”
Nico sudah hilang kesabaran.
     Sazali, Ishak, Hameed dan Naz berada di sisi Ramli juga. Ramli masih terbaring di atas katil. Suasana bungkam. Kesepian sebegini asing bagi mereka tetapi menenangkan. Selari, terpancar layar pengalaman mereka di pulau itu. Kepanikan yang bersusulan. Sazali dengan bacaan ayat ‘Kursi’, Ishak tidak henti menuding ke arah berbeza. Dia nampak beberapa bayangan. Naz, yang harus menanggalkan tangkal yang dibekalkan oleh ibunya. Ramli yang terputus kata. Hanya kengerian dan kedinginan yang amat sangat yang menyelimutinya sepanjang malam itu. Selama empat jam mereka menghadapi saat yang menakutkan. Lebih tepat lagi MENYERAMKAN! Calitan di lukisan. Calitan yang muncul entah dari mana. Calitan yang merasuk. Meracau. Yang menyentap kepercayaan diri mereka.

‘Jalan MOH’

Jun 3, 2006

"Pakcik ada orang nak jumpa pakcik tadi. Dia cari pakcik kat sini. Saya suruh tunggu lepas 8 pagi," laung Ahmad dari tapak mencuci di sebelah pejabat berdinding papan dan beratap genting merah pulasan.
"Siapa?" sungguhpun aku tahu apa tujuan orang itu hendak berjumpa dengan aku, pingin juga aku mengenalinya.
"Katanya guru sekolah menengah."
"Baik aku tunggu,"
basikal 'raleigh' tua ku dorong hingga ke hujung padang besar di tengah-tengah tiga bangunan besar di tapak perkhemahan NPCC di Kampung Noordin, Pulau Ubin.
Namaku dilaung lagi ketika aku sedang berkayuh untuk ke pondok rehat yang terletak di belakang pejabat. Ianya terletak betul-betul di atas bukit. Di belakang pagar di bukit ini ada sebuah tanah perkuburan orang-orang Bugis. Aku membelok ke kiri dan menuju ke arah laungan itu. Ahmad kelihatan bersama tiga orang lelaki bercelana tiga suku. Seorang daripada mereka jelas berbangsa India. Yang berbadan gempal dan tinggi tidak menunggu aku turun dari basikal. Dia bingkas mendekatiku. Aku pasti dia inginkan beberapa maklumat tentang pengalamannya berkhemah dipantai Noordin. Jawapannya seakan-akan sudah aku pastikan.
"Jangan berbual di sini, kita ke atas bukit. Di bahagian belakang ada tempat duduk menghadap laut. Angin kuat dan nyamuk tidak suka tempat itu," ajakku. Memang tempat itu tempat kegemaranku. Sudah bertahun aku berehat di situ setiap hari.
"Baiklah pakcik," lelaki berkemeja sukan berwarna merah dan berseluar tiga suku itu mengangguk. Dua orang kawannya mengekori dari belakang.
"Nama saya Morshid. Panggil saja CG," lelaki bermisai dan berjanggut itu berkulit cerah. Suaranya sedikit garau. Mungkin kerana kepenatan atau tidak cukup tidur malam tadi.
Kami berbual selama lebih kurang setengah jam di atas ambin beralaskan papan kayu himpit. Beberapa pertanyaan lazim diutarakan kepadaku. Namun inilah kali pertama ada pendatang dari Pulau Besar yang menemuiku untuk bertanya. Jelas daripada perbualan kami, dia dahagakan maklumat. Dia mahukan jawapan bagi persoalan yang menghantuinya. Aku serius, perkataan hantu memang tepat untuk menerangkan tentang pengalaman lelaki ini.
"Pakcik siapa yang mendiami kawasan itu?"
"Masyarakat orang halus."
Jawab ku tidak bersembunyi-sembunyi.
Pengalaman mereka lepas dinihari bersebab. Masyarakat orang halus di pantai tersinggung kerana kawasan mereka dicerobohi. Sebenarnya mereka tidak menghalang sesiapapun mengunjungi dan menginap se malam di situ. Namun ada beberapa syarat yang mereka kenakan. Pengunjung harus minta izin. Seberkah Fatehah dan tiga laungan azan sudah mencukupi untuk menandakan kawasan inapan sementara mereka. Bukan apa, ada di kalangan masyarakat orang halus yang memang suka mengganggu. Itulah cara mereka menampilkan keberadaan mereka sebagai syarat bahawa tempat tersebut tempat mereka. Para pengunjung masyarakat asing. Mereka harus mengakui hak milik siapakah tapak perkhemahan yang terkenal itu. Andai syarat utama ini tidak dipenuhi, bukan lagi tanggung jawab masyarakat tersebut jika ada di kalangan mereka yang mengganggu sepanjang malam. Satu pantang masyarakat halus tidak harus dilanggar. 'JANGAN BERCAKAP BESAR!" Tiada papan tanda yang boleh mereka tegakkan. Jika ini boleh dilakukan, tentu lebih mudah bagi masyarakat manusia bandar yang kurang prihatin itu memahami syarat-syarat tersebut. Sebagai amaran, masyarakat orang halus menandakan kawasan itu dengan beberapa alamat yang tidak boleh tidak pasti dialami oleh sesiapa sahaja yang bermalam di situ.
"Apakah tanda-tanda tersebut pakcik?" lelaki yang bernama CG Morshid tidak menghiraukan beberapa ekor nyamuk yang menyantap darah di betis kanan dan kirinya.
"Begini…."
Ada sebuah bilik air di atas bukit. Kemudahan ini kemudahan awam yang terdekat. Sebuah tangga beranak 13 disediakan betul-betul berhadapan bangunan berbumbung genting merah pulasan. Sesiapa sahaja yang mengunjungi tempat ini pada waktu malam pasti terdedah kepada satu fenomena! Satu alamat!
"Lampu di bahagian tengah bangunan ini akan berkelip-kelip sepanjang malam. Sudah dicuba beberapa kali untuk menggantikan lampunya tetapi ianya tetap berkelip-kelip. Pihak Taman Riadah Negara dah putus asa cuba membaikinya," jelas ku.
CG Morshid mendengar dengan tekun. Dia mengurut janggutnya yang baru tumbuh sedikit itu.
"Benar, saya perasan kelipan itu. Jadi…," belum sempat dia meneruskan aku meningkah.
"Itu salah satu papan tanda."
"Ada lagi amaran atau papan tanda yang pakcik ketahui?" tanya CG Morshid.
"Ada beberapa lagi. Tapi saya akan beritahu satu saja lagi. Kalau nak tahu selanjutnya harus ke rumah saya pada waktu kelapangan saya," masa rehatku hampir tamat. Seperti masyarakat orang halus di pantai Noordin, aku tampilkan satu alamat kepada CG Morshid bahawa aku harus beredar sekejap lagi.
"Saya faham pakcik harus meneruskan tugas. Tetapi saya perlu tahu. Apakah alamat yang kedua yang pakcik sebutkan tadi?"
CG Morshid meletakkan telapak tangan kanannya di atas belakang telapak tangan kiriku. Aku faham maksudnya. Dia meminta bantuan dengan cara lembut dan berbudi bahasa. CG Morshid tidak seperti kebanyakan warga Pulau Besar yang pernah aku temui. Bagi mereka aku hanya seorang pekerja biasa di tapak perkhemahan ini. Bagi CG aku sumber pengalaman yang tidak ternilai.
Ke mana sahaja kita pergi, ada sahaja papan pemberitahuan atau amaran. Di tepi kolam air di MacRitchie, kita diberi amaran agar jangan mandi keran tempat itu berbuaya. Di pinggir pantai East Coast, ada papan tanda yang mengarahkan agar kita berbasikal di lorong yang ditetapkan. Di pusat imigrasi pula kita diberi amaran keras agar tidak membawa masuk dadah, rokok, daging ayam segar dan sebagainya. Jika kira cuba menyorok, pegawai yang bertugas akan menangkap yang bersalah. Bagaimana pula masyarakat mahkluk halus menandakan pemberitahuan mereka?
"Mereka tidak suka kita menyorok tangkal atau azimat untuk melindungi diri kita. Itukan kira senjata. Kita masuk kampung orang dengan bersenjata. Mana orang suka. Kampung mereka aman. Jadi kalau ada orang masuk dengan senjata atau alat untuk melindungi diri, perbuatan itu tidak sesuai dengan kebiasaan mereka. Cukuplah sekadar minta izin masuk dan tinggal sementara waktu," jelasku kepada CG Morshid. CG Morshid mendengar setiap baris hujah ku dengan teliti. Berkerut dahinya. Mungkin sambil menerima maklumat, dia terus memprosesnya lalu membuat beberapa andaian. Betul jangkaanku.
"Jadi, jika ada di kalangan murid-murid saya yang membawa tangkal, masyarakat orang halus akan mengambil tindakan memeriksa atau merampasnya?" tanya CG Morshid. Matanya memandang tepat ke mataku.
"Sama juga dengan pihak kastam yang akan merampas barangan haram yang cuba diseludup masuk ke Singapura," aku tingkah lagi dengan seringkas-ringkasnya.
"Saya faham." CG Morshid mengangguk perlahan.
Masyarakat orang halus bijak. Setiap tindakan mereka berstrategi. Mereka akan bertindak dengan cekap tetapi tidak meninggalkan bekas atau jejak. Aku sendiri pernah menyaksikannya berkali-kali. Mendengarnya pula sudah cukup jenuh aku dibuatnya. Paling biasa didengar ialah kisah babi hutan di pangkal pohon. Begini kisahnya…..
Ramai yang melaporkan kejadian mereka terserempak babi hutan di pangkal pohon. Apabila mereka mendekatinya, ternyata ianya cuba sebungku beg plastik hitam. Ada yang melihat bahagian punggung babi hutan. Ada kepala. Ada bahagian tepi dan sebagainya. Itulah papan tanda masuk ke perkampungan masyarakat orang halus. Itu tanda jalan masuk.
'Jalan MOH'.

IKAN cEMAS

Mei 12, 2006

        Lelaki gemuk itu memang kami kenali. Siapa tidak kenal dia. Dua hari sekali dia pasti akan datang dan membeli sebungkus ikan emas. Hari ini nasib aku memang baik. Ku kira-kira, ada sebanyak 22 ekor kawan-kawanku di dalam beg plastik berair jernih. Kami sedang dibawa ke satu tempat. Di manakah tempat itu, kami kurang pasti. Dengan perut gendut dan biji mata besar, kami memandang ke sekeliling. Kini kami berada di bawah sebuah bangunan batu yang tinggi. Cuaca di luar panas.

        “Mok, ke mana kita nak dibawa ni?” tanya Dut. Berbuih-buih bola air keluar dari mulutnya yang besar.
        “Kita tengok ajer,” jawab ku ringkas.
        Sudah lama aku nantikan peluang ini. Sejak aku dimasukkan ke dalam tangki di kedai menjual pelbagai jenis ikan, saban hari aku berharap pencedok berjaring mengenaiku.
        Dari bawah bangunan batu yang tinggi tadi, lelaki gemuk membawa kami masuk perkarangan sebuah kawasan yang besar. Kali ini bangunan batunya tidak begitu tinggi. Kelihatan ramai orang berlari ke sana dan ke mari mengejar sebiji benda bulat di sebuah kawasan lapang. Mereka mengenakan pakaian seragam.
        Lelaki yang gendut macam kami mempercepatkan langkahannya.
Kini dia menuju ke sebuah pintu kaca.
        Sebenarnya, aku dan kawan-kawan ku telah lama memerhatikan lelaki ini. Setiap dua hari dia akan datang dan hanya membeli ikan emas jenis kami. Dia datang, bayar dan pergi. Desas-desus yang kami dengar agak menceriakan. Lelaki ini mempunyai sebuah tangki ikan yang besar dan airnya sentiasa jernih. Ikan-ikan emas yang dimasukkan ke dalam tangki itu giat dan cergas. Tidak seperti kami sewaktu berada dalam tangki sempit di kedai ikan.
        Pelbagai kemungkinan yang kami timbulkan.
Mungkin minat terhadap ikan emas semakin meningkat. Maklumlah bentuk kami memang genit, gendut dan menawan ketika berenang. Baiklah, kami sebenarnya tidak suka berenang. Sesekali kami ke permukaan untuk menyedut bekalan udara segar atau mengejar bongkah-bongkah makanan. Apabila perlu sahaja kami akan bergerak. Orang ingin lihat kecantikan kami bukan ketangkasan kami. Ketangkasan memenatkan dan bukan ciri-ciri semulajadi kami. Mungkin setelah dipindahkan ke dalam tangki emas yang besar kelak, barulah aku akan berenang sekeliling tangki tersebut. Itu pun jika perlu sahaja!
        Kini kami berada di dalam bilik. Penghuninya dua tiga manusia sahaja. Mereka sedang duduk dan menghadap kotak kaca yang bercahaya. Jari-jemari mereka mengetik-ngetik tombol di atas sebuah alat.
        Tidak semena-mena seorang lelaki bertubuh pendek dan gendut juga muncul dari sisi kami. Dia menekan-nekan bungkusan plastik tempat kami terkurung.
        “Banyak sangat?” tanyanya.
        “Kalau gitu saya pecahkan pada dua bahagian. Yang satu kita masukkan ke dalam takungan dulu. Jika perlu kita ambil,” jawab lelaki yang sedang menjinjit kami. Dia mengangkat takungan plastik ke paras mukanya. Mungkin ingin mengira-ngira jumlah kami. Kelihatan biji matanya yang membesar di dalam air jernih. Cukup melucukan.
Aku tidak sabar untuk mengintai tangki besar di belakang lelaki gemuk di depan kami. Pandangan kami terhadang. Memang besar lelaki ini. Saiz hidungnya berganda di balik air dan plastik.
        Dia membuka ikatan pada takungan. Jarinya gemuk gedempol. Aku berenang ke sisi takungan untuk mendapatkan pandangan pertama sebuah tangki besar yang terkenal itu.
        “Sudah kelihatan. Sudah kelihatan,” jeritku. Bebola buih berebut-rebut menuju ke permukaan air.
        “Besar! Jernih! Ahhhhhhhhh!” Jeritku sekuat-kuatnya.
        Lelaki itu memusingkan badan sepenuhnya.
Kini kami berada betul-betul bertentangan dengan sebuah tangki besar. Di dalamnya kelihatan dua ekor kawan kami yang sedang berenang sekuat-kuat tenaga tidak henti-henti. Kini aku faham mengapa mereka giat dan cergas. Mengapa mereka berenang tidak henti-henti.
        Lelaki gemuk mengangkat takungan di atas permukaan tangki. Dia mencurahkan isi kandungan takungan itu.
        “Jangan jatuh ke dalam tangki Dut!” bola-bola buih memenuhi takungan air yang pantas berkurangan di dalam plastik.
        Lelaki itu menghentikan perbuatannya. Dia menegakkan takungan. Matanya bersiapsiaga mengira-ngira bilangan kami di dalam takungan lalu mengangguk. Dengan segera dia berlalu.
        Aku memandang di sekeliling.

        “Dut..Dut!” Dut tiada.
        Dut terjatuh di tangki itu!
        Terbayang keadaan kawan-kawanku di dalam tangki celaka itu. Tangki maut. Tangki besar berair jernih dan berpenghuni kejam. Aku nampak kelibat para penghuni kejam itu. Aku kenal mereka. Mereka dipuja oleh manusia tetapi ditakuti oleh ikan-ikan yang lain.
        Penyerakah menghuni tangki itu! Dua ekor Arowana yang lapar!

Ikan CemasKuburan ikan emas