Karangan Berdasarkan Peribahasa
Peribahasa : Air dicincang tiada putus
Makna : Perbalahan atau pergaduhan antara saudara-mara tidak akan berpanjangan kerana akhirnya mereka akan berbaik-baik semula
Tema : Keluarga
Plot Asal
1. Abang seorang penjenayah terkenal di serata dunia yang mempunyai adik perempuan.
2..Polis mencari abang yang bijak menghilangkan diri.
3. Tempat persembunyian abangnya hanya diketahui adiknya.
4. Adiknya memberitahu polis di mana abangnya sembunyi.
5. Abang ditangkap lalu dipenjara. Abangnya marah kepada adiknya.
6. Adiknya telah merancang untuk membebaskan dan melarikan abangnya dari penjara lalu berjaya.
Setelah Dipertenagakan
“Nyah kau dari sini. Aku tak nak tengok muka kau lagi! Pergi!” dia memekik sekuat hatinya dengan jarinya menunjuk kepada seorang lelaki yang baru sahaja memberikan bukti mengenai jenayah yang dilakukannya. Di bilik makhamah itu, hadirin hanya terkesima dengan mulut ternganga melihat seorang pembunuh yang tidak dapat mengawal dirinya.
Lelaki itu hanya menunduk membisu sambil keluar daripada kandang saksi. Sukmanya seolah-olah ditusuk belati. Dia tiada pilihan. Keadilan perlu ditegakkan walau dalam apa jua keadaan. Batinnya berat menanggung beban perbuatannya. Seorang wanita menangis sambil mengusap-ngusap perutnya. Perutnya diusap bukan kerana dia lapar. Perutnya diusap kerana ia berisi seorang bayi yang akan lahir menjadi anak seorang pembunuh yang membunuh secara tidak sengaja. Pembunuh itu akan meringkuk di penjara sementara anaknya kehilangan kasih seorang bapa.
Lelaki itu bernama Rosli bin Ramli. Pembunuh secara tidak sengaja itu bernama Mazli bin Ramli. Mereka sebenarnya adik beradik. Rosli terpaksa mendedahkan rahsia persembunyian abangnya. Abangnya perlu menanggung akibat daripada perbuatannya sendiri. Rosli tidak mahu bersubahat.
Mazli dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh secara tidak sengaja. Fikirannya menerawang. Dia teringatkan saat-saat dia masih lagi bebas. Kebebasan itu dirampas oleh adiknya sendiri yang mengkhianatinya. Jika tidak kerana adiknya, dia mungkin masih bebas menghirup udara nyaman. Dia juga mungkin akan dapat merasakan saat menimang anak pertamanya. Anak itu kini tidak berbapa.
Anak yang tidak berbapa itu keluar daripada perut ibunya tanpa ada sesiapa yang menjenguknya. Sesekali, ibunya, Milah, lihat sekilas bayangan orang yang melihat anaknya di hospital. Namun, dia tidak dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas. Anaknya semakin membesar. Tatkala dia bertanya ibunya di mana bapanya, Milah akan menjawab, bapa berada di sebuah negeri yang jauh. Dia tidak pernah menyoal lebih daripada itu. Di mana negeri itu? Berapa jauh negeri itu? Dia tidak mahu bertanya kerana ibu akan mula menangis.
Kasih sayang seorang bapa yang tiada ternyata membuat Fazli rasa kekosongan. Akhirnya dia ditempatkan di dalam rumah tumpangan Pertapis buat anak-anak nakal. Milah tiada pilihan kerana dia sendiri tidak tertahan dengan tingkah anaknya. Jauh di lubuk hatinya, dia berharap anaknya akan pulang sebagai seorang manusia.
Fazli mula mengenal erti hidup di rumah tumpangan itu. Menetap di rumah itu bukanlah suatu hukuman. Ia hanyalah satu fasa yang mana hidupnya menjalani pembaharuan. Dia mula mengenal agama. Dia mula belajar cara solat. Dia mula mempunyai semangat untuk berusaha gigih dalam pelajarannya. Ia berterusan, sehingga dia kembali ke pangkuan ibunya. Semangat itu tidak terpadam.
“Pakcik, saya ingin jumpa ayah. Saya ingin memberitahunya berita gembira. Ayah pasti bangga dengan saya,” Fazli memberitahu pakcik. Dia ingin ke negeri jauh itu untuk berjumpa dengan ayahnya. Dia merasa rindu terhadap ayahnya walaupun mereka tidak pernah bertentang mata.
“Boleh. Pergilah. Pakcik boleh uruskan,” pakcik menjawab. Pakcik hanyalah sukarelawan di rumah tumpangan Pertapis. Namun, hubungan mereka tidak putus walaupun Fazli sudah dilepaskan daripada rumah tumpangan tersebut. Pakcik menggantikan tempat ayahnya. Ayah masih belum bebas. Ibu memberitahu, ayah bergaduh di penjara.
“Saya hendak pakcik ikut saya jumpa ayah,” Fazli ghairah. Pakcik menelan air liur. Wajahnya tergambar perasaan yang berbaur.
Hari itu, matahari seolah-olah tersenyum. Bayu semilir meniup perlahan seolah-olah membawa khabar gembira. Daun yang menari dengan rentak bayu melambai-lambai menyambut kehadiran Fazli dan juga pakcik di penjara itu. Sudah dua puluh lima tahun Fazli hidup tanpa mengenali ayah. Jantungnya berdegup kencang.
“Ayah… ini Fazli. Ini Fazli anak ayah. Ayah, Fazli lulus peperiksaan universiti. Fazli dapat sarjana muda. Ayah…” terlalu banyak perkara yang ingin Fazli beritahu. Ayahnya tidak sempat membalas.
“Ayah, Fazli nak kenalkan ayah dengan seseorang. Dia banyak tolong Fazli. Ayah, ini dia… pakcik. Pakcik Rosli!” Fazli akhirnya berhenti.
“Rosli?” Mazli tercengang. Matanya mula berair.
“Ya, saya bang. Air dicincang tiada putus bang. Tiada apa yang dapat memisahkan kita.”
“Rosli…”
Soalan Kefahaman (20 markah)
1) Mengapa Mazli marah terhadap adiknya? (2 markah)
2) Apakah yang dimaksudkan dengan ‘negeri yang jauh’ dan mengapa Mazli perlu berada di sana? Jelaskan. (4 markah)
3) Siapakah ‘pakcik’ di dalam petikan ini dan apakah pandangan kamu terhadap perwatakannya sepanjang petikan ini? (4 markah)
4) Jelaskan perubahan yang dialami Fazli semasa berada di rumah tumpangan. (4 markah)
5) Kasih sayang dan didikan daripada seorang lelaki amat penting dalam proses membesarkan seorang anak. Setujukah kamu dengan pernyataan ini? Jelaskan berdasarkan petikan karangan. (6 markah)
Soalan Kosakata (6 markah)
1) Terkesima (2 markah)
2) Fikirannya menerawang (2 markah)
3) Bertentang mata (2 markah)
Ikhsan Nusantara
April 4, 2009
Ceterpen D’Saku
Ikhsan Nusantara
“Kapan saya bisa ikut bapak jelajah?”
“Kita ke seantero Nusantara?”
Gadis manis itu kebingungan. Yang sepatutnya melindungi, mengenyahinya kini.
“Dia anak kurang ajar Pak! Tak tahu kenang budi. Tak ikut cakap,” jerit Sriwati.
“Kamu juga begitu,” ringkas saja bentakan Logha.
Rika, yang tersepit di tengah-tengah perbalahan ini langsung tidak kenali lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Logha itu. Dia ketuk pintu. Dia tanya khabar, lalu, diundang masuk oleh ibunya tanpa banyak periksa. Ia jelas berbangsa India tetapi fasih berbahasa.
Logha mengeluarkan sehelai dokumen lalu mengajukannya ke aran ibunya, Sriwati.
“Kamu lupa perjanjian itu. kamu sendiri yang tandatanganinya. Sekarang kamu lupai.”
Sriwati terduduk di atas sofa. Kepala Rika pula bertambah berat dengan persoalan.
“Cukup lima belas tahun, aku berjanji dalam dokumen ini untuk menjenguk keadaan Rika. Aku tidak ingkari janjiku. Sebaliknya kamu pula,” suara berat Logha menembusi kedunguan Sriwati.
Rika merampas dokumen itu dari tangan ibunya. Matanya melitari baris-baris perkataan yang tercap.
“Tapi Loghanathan, kau harus faham, Rika sudah melampau degilnya. Rika anak gadis yang suka berontak. Saya tidak tahan lagi,” suara Sriwati jelas membayangkan kebenciannya pada Rika.
“Perjanjian tetap perjanjian.”
Logha kecewa dengan sikap Sriwati. 15 tahun lalu, dia ziarahi wanita ini di kamar hospital. Sriwati baru keguguran kandungan.Rajan suami Sriwati adalah kenalan rapat Logha. Dalam siri jadual jelajahannya di Pulau Jawa, dia mencuri kesempatan untuk menjenguk sahabat nusantaranya itu. Kebetulan, malang melanda keluarga Rajan. Hari ini Rajan tiada lagi. Dia meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan, termasuk seorang anak angkat.
“Siapa kamu sebenarnya Pak?”
“Kau tak perlu tahu sekarang.”
Tanda tanya di fikiran Rika akan terjawab sore nanti. Logha akan menjelaskan segala-galanya kepada Rika. Kisah bayi yang diselamatkan dari semak-samun. Kisah bayi yang terlantar dan terbiar di katil rumah sakit tanpa waris. Dan, sehelai dokumen perjanjian jua akan terbongkar!
Sore itu, di sebuah lobi hotel, Rika dan Logha duduk bertentangan mata. Rika telah faham duduk perkara sebenarnya kini.
“Saya tidak mahu ikut ibu lagi.”
“Kau tak perlu lagi.”
Logha juga sempat menyelami gejolak jiwa remaja yang berada di depannya kini. Rika tegar mengumpil kebenaran yang selama ini terpaku dan tersorok dalam kotak rahsia – dia anak angkat, Rikalah bayi yang hampir mati digigit serangga di semak-samun. Tiada khabar berita tentang ibu kandungnya. Sriwati dan Rajan bersetuju menerima tawaran Logha untuk membela anak itu. Logha akan mengongkosi mereka selama lima belas tahun. Sampai masanya, Logha akan menjenguk Rika. Jika Rika dalam keadaan baik, Sriwati boleh terus menjaganya. Jika tidak, Rika akan dibawanya ke Singapura. Jelas, Sriwati gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Sejak berumur tujuh tahun, Rika sedar akan perbezaan irasan dia dengan ayah dan ibunya. Rika mula mengumpil-ngumpil jawapan.
“Pak Logha, saya akan jemput bapak.”
“Bagus, saya akan pulang dari Nepal esok. Sampai jam tiga petang.”
Rika harus ke kuliah segera. Dewan kuliah agak jauh dari asramanya. Rika mematikan satusnya di MSN sambil menyogok-nyogokingatannya agar ingat beberapa jadual penting, terutama sekali untuk menyambut Encik Logha di Terminal Tiga Changi.
Dewan ketibaan di Terminal 3 agak lengang.
“Kapan, saya bisa ikut bapak jelajah?
“Kita ke seantero Nusantara?
Rika menguntumkan seukir senyuman kebahagiaan. Encik Logha tidak pernah mungkir janji.
Singa’FOREIGN’ I
Mac 19, 2009
berkemudi di sini
terasa tidak keruan
keadaan tidak ketentuan
tak sempat releks barang sebentar
untuk bersandar di kerusi kayu
di tebing-tebing sungainya
di kakilima orang terburu-buru
mengenyah sang merpati
mengunyah sambil separuh berlari
melarut bual basa-basi
yang tak perlu lagi
berkemudi di sini
terasa keasingan
cuping mengesan bingitnya degar-degar
anak bangsa telornya bermutasi
kejap bahasa, kejap mandarin dan kejap lagi….
lidah mat saleh bukan main ligat lagi
di mana-mana orang minum kopi
ratah burger
kentang dan keju
berkomat kamit nadanya tinggi
persahabatan niari-esok-lusa
yang sejahtera semakin tiada
bersembang sana-sini
sedang si tua terketar-ketar
di rumah tumpangan pingin akan diskusi
berkemudi di sini
amat terasa
bersultan dan berhamba
berputih mata yang tak punya
kiri-kanannya berdinding kaca
yang diingini punya orang lain
yang dipunyai berkontrak dan berlesen
telefon, tv dan radio pengering saku tak bersen
dulu pernah ke Lorong Buangkok
mengutip siput dan lokan
dulu pernah ke bekas kampung Cina
menarik ubi kayu dan memetik pucuknya
soal hakpunya bukan satu-satunya
berkemudi di sini
amat terasa
kehidupan yang merintih
kesekitaran yang perih
daya dan inisiatif terpandang dengan durja
dengan cebik dan sepet lirik mata
di baghdad street berkerusi roda
seorang saudara baru lepas usia belia
berombak-ombak dadanya
ia lari dari sesuatu gayanya
tadi, di pintu pagar masjid negara ia disergah
diugut ‘kan dibawa pergi
sedang ia cuba mengail rezeki
kerana petang nanti
di rumah sakit
ia harus potong kaki
Karya CG Karmin Abbas
Lagu Terakhir
Februari 24, 2009
Judul : Lagu terakhir
Watak : Samri, Rafi dan teman-teman
Sinopsis : Samri mencari kemewahan dan menemuinya. Malang baginya, kemewahan menyebabkan dia terjurumus di kawah kemaksiatan. Kini dia menanti saat-saat akhir hidupnya. Rafi temannya sejak kecil lagi. Rafi sedang menantikan sesuatu. Sesuatu yang dramatik.
Jalur Cerita : Keburu nafsu – sesat – sukar untuk kembali pulang – terpasung nasib tak terbela – di kantin hospital – dikunjungi teman-teman – lagu-lagu popular di carta – yang dinantikan sebenarnya.
Teknik Imbasan : Kisah bermula dengan peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu sehingga ‘Terpasung nasib tak terbela’. Kemudian kisah kembali ke masa kini
Kosa Kata & Frasa:
kemewahan keadaan mewah; kesenangan
berfoya-foya bersuka-suka, beria-ria, berpesta-pesta (dgn menghabiskan masa dan wang)
pasir selut pasir jerlus, terperlus, terperosok (ke dlm lubang dll)
ketagih dlm keadaan ketagih
yang liar buas, terbiar, gelisah, ganas, biadab, galak, garang, cabul, jahat, culas, melata, rakus, kejam, bengis, zalim, kacau, gila, berang, baran, kotor, mabuk
bernafsu buas keinginan yg kuat (keras); dorongan hati, kehendak hati yg kuat utk melakukan sesuatu yg kurang baik (spt berseronok-seronok antara lelaki dgn perempuan secara haram dll)
kebiasaannya sesuatu yg sudah biasa; hal yg biasa dilakukan
keterlanjuran melakukan sesuatu yang melebehi batas
merana menderita kerana menghidapi penyakit
menyeksakan yang menyakitkan
terlantar terletak di: berbulan¬-bulan lamanya di rumah sakit
mengaibkan
dikecapinya merasa, mengalami keadaan
terpasung terpasang alat yang menahan seseorang daripada melarikan diri
kawah lubang atau bahagian yang besar
kemaksiatan pelbagai perbuatan (hal dsb) yg bersifat maksiat, segala-gala (perbuatan dll) yg berdosa
pasungan alat drpd kayu berlubang dll yg dipasang pd kaki (tangan, leher) orang salah (gila) sbg hukuman atau supaya jangan lari;
tak terbela terjaga, terasuh dengan baik
nasib perihal takdir, untung, habuan, malang, rezeki, hak, bahagian, suratan, ketentuan, tuah, qada dan qadar, bintang
sasar menujukan; menghalakan.
keburu nafsu terdorong oleh nafsu, terburu-buru (tidak berfikir panjang terlebih dahulu);
berkumandang bergema, bergaung: dr dlm dewan hotel terdengar lagu irama
CETERPEN: Lagu Terakhir
Keburu nafsu……..
Samri tidak fikir panjang. Matlamat hidupnya cuma satu iaitu mencari kemewahan. Salah, dua sebenarnya. Samri juga impikan gaya hidup yang mewah. Inilah yang dikecapinya kini. Samri seronok berfoya-foya bila-bila sahaja yang dia mahukan.
Sesat…………
Kemewahan yang dikecapi Samri rupa-rupanya kolam pasir selut. Lama-kelamaan, pemuda berusia dua pulu lapan tahun ini menjadi ketagih arak dan dadah. Gaya hidupnya yang liar juga menjadikan Samri seekor jantan yang bernafsu buas. Bertukar-tukar pasangan bagai kebiasannya menyalin pakaian.
Sukar untuk kembali pulang……..
Akibat keterlanjurannya, Samri menghadapi beberapa komplikasi kesihatan yang serius. Beberapa tahun kebelakangan ini, Samri merana beberapa penyakit yang menyeksakan. Apabila kesihatannya sampai ke tahap kritikal, kini, Samri terlantar di Unit Jagaan Rapi – ICU. Hatinya rosak dek arak. Tubuhnya kurus kering dek ketagihan heroin. Yang lebih mengaibkan, Samri dijangkiti penyakit kelamin. Kemewahan yang dikecapinya adalah kawah kemaksiatan.
Terpasung nasib tak terbela…….
Sepanjang hidupnya, Samri buta agama dan didikan akhlak yang mulia. Samri tidak pernah diingatkan oleh ibu dan ayahnya, yang terdekat dengannya atau sesiapapun yang sepatutnya menyanyangi Samri. Ingatan bahawa maksiat membawa padah yang buruk. Bahawa maksiat itu bagai pasungan nasib yang bukan saja buruk tetapi celaka. Tak terbela nasib andai terpasung maksiat.
Kini, Samri terlantar seorang diri di tingkat dua Hospital Besar Singapura. Sedang dia menanti saat-saat akhir hayatnya, sebuah lagu popular berkumandang……..
Di kantin hospital
“Wahai teman dengar tanyaku,
Ke manakah tujuan yang kau inginkan,
Arah yang kau sasar telah hilang……..hilang”.
Rafi menghayati setiap bait lirik lagu ‘Pesankan’ dendangan Fino. Fino ialah seorang penyanyi baru yang sedang meningkat popularitinya.
Kantin di HBS lengang…..
Sejak sebelum dinahari Rafi di situ. Sebentar lagi, teman-temannya akan datang.
Dikunjungi teman-teman………
“Usah bersusah tanyai aku
Ku pernah sesat di situ
Di situ keburu nafsu yang belenggu”.
Alunan lagu dan lirik yang menjadi santapan halwa pendegaran itu menengkam jiwa Rafi.
Tiba-tiba bahunya di sentuh. Teman-temannya telah tiba. Namun, bukan kehadiran mereka yang Rafi nantikan.
“Dengar RIA, 89.7. Lagu Samri sedang berkumandang.” Rafi separuh berbisik.
Lewat dinihari itu, mereka menghayati lagu terakhir ciptaan Samri.
Dengarlah……….
“Sukar, untuk kau kembali pulang,
terpasung nasib tak terbela.
Dengarlah kataku, dengarlah….
Jagalah langkahmu jagalah….
Lagu ini terakhir dariku untukmu.”
Lagu popular di carta………….
“Itulah lagu dendangan Fino yang menduduki tangga teratas dalam senarai carta lagu-lagu paling popular di RIA, 89.7!” juruhebah bereloteh pada waktu dinihari itu.
“Semoga pencipta lagu hits ini lekas sembuh. Samri,kami doakan agar anda cepat sembuh,” kata juruhebah itu lagi.
Yang dinantikan sebenarnya…………..
Telefon bimbit Rafi bergetar. Rafi menjawab panggilan itu.
“Innalillahi……, Samri dan tiada lagi,” Rafi mengumumkan kepada rakan-rakannya.
Inilah yang dinantikan Rafi sejak tadi.
Lagu: Addy
Lirik: CG Karmin
CETERPEN: CG Karmin
ILUS
Mei 19, 2007
” di ruang ini ku berdiri
menanti masa nan pasti
rembesan pelbagai kenangan
rindui yang tersayang
Setiap tahun ku hitung. Setiap purnama ku kira. Setiap hari ku taksir subuh ke dinihari. Setiap 60 saat ku campur-tolak. Ku pertimbang setiap detik yang berlalu; bagai akauntan. Tidak sedikitku yang terlepas dari perhatianku. Tidak sedikitpun yang rela kutolak-ansur. Masa nan pasti. Inilah yang sedang kunantikan. Aku sendang menantikan masa nan pasti.
“Ibu…ayah, ku pohon kesejahteraan kesihatanmu agar panjang usiamu. Pulangku ke pangkuan mu berdua adalah untuk mengembalikan keyakinan. Terampunkah kesalahanku ibu. Terampunkah dosaku ayah terhadapmu?”
Rembesan pelbagai kenangan memperkuatkan lagi kemahuanku. Tirai skrin di kepalaku sering kali menayangkan detik-detik indah; nostalgik. Raut wajah ibu dan ayah paling terampil. Di setiap penjuru kotak mindaku ianya tertayang; menyelinap di celah-celah kepasrahan dan pengharapan.
24.7.2007.
Tibalah saatnya yang ditentukan. Kelam jajaran tak kupedulikan. Kamar-kamar berdinding tiga di mana penghuninya berpaut pada batang besi dengah wajah-wajah yang pelbagai raut-resannya bagai corengan; palitan lukisan gaya basi yang tidak aku minati lagi. Ketika ditarik penuil itu nanti, lenyaplah kegelapan dalam hidupku.
Di hujung zikir dan doa pasti ku capai buku kuning itu. Ku sorot penumpuanku satu persatu di baris-baris bersarat falsafah yang terselindung di balik kata-kata yang mudah dicerna ertinya. Hidup berteras falsafah. Falsafah membentuk akidah dan sikap. Sikap penentu tindakan. Dengan tindakan terjamin pencapaian . Pencapaian pula mengacu gaya hidup. Rukun hidup persis rukun agama. Dari falsafah ke gaya hidup; serupa. Dari syahadah ke solat, puasa ke zakat lantas haji ke Mekah, ianya di depan mata – mata hati dan jiwa yang selama ini kabur.
“Ayah, kau mengajarku erti harga diri sebenar. Kirimanmu enam bulan yang adalah kurikulum pendidikan yang selama ini ku cari. Tak ku alami di sekolah atau di mana-mana sebelum ini. Buku kuning itu adalah panduan hidupku. Terima kasih ayah.” Jeriji ini jadi saksi renyaian kekesalan di hening subuh dan dinihari. Goresan pengalaman memercik tempiasan kenangan yang meluka bakar. Aku pasrah padaMu; Tuhan.
Namun, seluas manapun keyakinan yang ku tambak, masih meredam kilas-balik itu. Detik-detik hitam cela riwayat hidupku. Silhouete berlumur itu masih memomoki. Kilasan neon. Gentaran muzik. Hilai tawa perawan dan teruna. Hayunan pinggul dan dedahan aurat yang mengghairahkan. Masih meredam kilasan itu; cela riwayatku.
Ketika terlerai pasungan itu tanpa bertangguh dan tanpa keraguan ku ilus bayangan hitam silhouette berlumur itu. Kelam jajaran takkan ku pedulikan. Sudah ku duga. Sudah ku tekadkan dalam hati. Kekelaman akan berganti sinar yang terang andai aku tidak putus harap dan terus berusaha. Apa saja lowongan adalah terobosan. Sekecil manapun peluang akan ku manfaatkan. Pasti ku ilus bayangan hitam silhoute berlumur itu.
Ceterpen Agnes dan Ayah
Mei 6, 2006
Aku membisu. Begitu juga dengan Mama. Kami biarkan Cik Agnes bicara sepuas-puas hatinya. Biar dia meluahkan apa yang menghantui jiwanya. Aku benar-benar ingin tahu tentang sesuatu yang selama ini menjadi segunung tanda tanya.
Yang aku tahu, ayah dan Cik Agnes mempunyai hubungan yang istimewa. Dalam keadaan kami sedang dirundung kesedihanpun, Cik Agnes muncul. Kehadirannya tidak diundang. Aku dan Mama tidak senang dengan kedatangannya.
Pusara ayah masih merah lagi. Wanita ini memang tidak mempunyai perasaan. Cik Agnes, itulah namanya, memang tidak berhati perut.
“Ada sesuatu yang ingin saya beritahu. Saya faham perasaan puan dan anak puan.” Berkata-kaca mata Cik Agnes.
Mama tetap membisu. Begitu juga aku. Aku faham perasaan Mama sekarang. Sudah lama Mama memendam perasaan marahnya terhadap Cik Agnes. Isteri mana yang tidak akan marah jika suaminya intim dengan perempuan lain. Namun aku kenal Mama semasak-masaknya. Mama sabar orangnya. Buat masa ini, kami mahu dengar sahaja luahan Cik Agnes.
“Encik Gomez saya anggap sebagai bapa ayah saya sendiri. Beliaulah yang telah menolong saya dahulu ketika saya belasan tahun.” Pecah bendungan air mata Cik Agnes ketika itu.
Menurut Cik Agnes, ayah yang mewakilinya di mahkamah ketika dia dibicarakan. Ayah yang telah menyelamatkannya dari menerima hukuman yang lebih berat. Cik Agnes telah kehilangan segala-galanya selepas itu. Dia tiada keluarga atau saudara mara lagi. Selama 5 tahun dia ditahan di pusat tahanan remaja nakal, hanya ayah sahaja yang mengunjunginya. Menurut Agnes baru tiga bulan dia dibebaskan. Selepas dibebaskan, Agnes mencari ayah kerana ayahlah satu-satunya manusia yang dipercayainya. Seorang peguam dan juga seorang ayah angkat.
Jelas Mama tersentuh dengan pengakuan Cik Agnes. Begitulah sikap Mama. Beliau prihatin akan nasib malang yang menimpa orang lain.
“Apa yang telah Agnes lakukan sehingga ditahan selama 5 tahun?”
“Secara tidak sengaja saya mengakibatkan kematian ibu kandung saya.”
“Apa?”
Mendiang ibu Cik Agnes seorang janda yang pemabuk. Cik Agnes menjadi mangsa kekejaman ibunya apabila dia kemabukan. Ibu Agnes selalu memukul bantainya semenjak bercerai dengan suaminya. Ayah Agnes pula menghilang setelah perceraian itu dan tidak pernah ditemui Cik Agnes lagi. Kematian ibu Cik Agnes disebabkan oleh pukulan bertubi-tubi di kepalanya dengan benda yang berat. Menurut Cik Agnes dia hilang akal ketika cuba mempertahankan diri.
Mulut aku dan Mama terkatup. Kami berdosa terhadap arwah ayah. Biar sebesar kuman kesangsian yang singgah di hati kami, kewibawaan ayah telah kami ragui. Sebenarnya ayah bersikap profesional. Kes Agnes tidak pernah diceritakan kepada kami kerana kami tidak perlu tahu dan itu bukan urusan keluarga. Kes Agnes urusan kerjayanya.
Mama menghulurkan kedua belah tangan ke arah Agnes yang menyambutnya dengan dakapan yang mesra.
Malam itu kami mengirim sekuntum doa buat roh ayah yang tercinta.



