Dengar lagu ‘Limerik Bazaar Geylang Serai’

Latar belakang:

Ramai pelajar dan guru-guru pernah bertanya kepada CG Karmin tentang apakah itu karangan deskriptif sebenarnya. Untuk menjawab pertanyaan mereka, UMBARA mengambil keputusan mendendangkan sebuah karangan deskriptif yang merakamkan suasana ‘Bazaar Geylang Serai’ ketika bulan Ramadan. Ciri utama karangan deskriptif ialah gambaran suasana sesebuah tempat.

Karangan Deskriptif Berlagu:

Dari barat. Dari timur, selatan dan utara. Ramai orang berbondong-bondong ke destinasi yang sama. Dari pagi ke petang hingga ke lepas dinihari. Berasak-asak dalam bahang biar bau peluh basi. Keinginan yang kuat tak sedikit pun menjera.

Tiap sudut tiap gerai ada saja tarikannya.Lirik mata menjeling, mengacu, menembak setepat-tepatnya. Harap-harap ada sesuatu yang mengena perhatian. Andai hati terpaut pasti akan jadi rebutan. Kata seorang pegerai selera pembeli ikut minggu bulan puasa.

Minggu pertama pengunjung suka bersama teman-teman. Dari pangkal hingga hujung mereka cuma jalan-jalan. Kata orang putih mereka mahu ‘window shopping’ saja. Belek itu belek ini tidak henti duga harga. Pembeli masa kini bijak menaksir perbelanjaan. Kata pakar kewangan “Rancang Dulu Beli Kemudian”.

Dari sebuah gerai kelihatan seorang pegerai yang sedang duduk di atas sebuah tangga. Pegerai itu melaung:

” Mari teman mari handai. Tidak kira apa bangsa. Kita naik mrt, bas, motor, lori atau kereta. Jalan kaki pun boleh asal kita berhati-hati. Yok, ke bazaar yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.”

Minggu kedua pengunjung akan bertukar selera. Kaki tangan pemerintah tersenyum selebar-lebarnya. 12 hari bulan masuk gaji menerusi GIRO. Penuh sesak ‘Joo Chiat Complex’ bak ada tawaran IPO. Dendangan lagu hari raya mula rancak bergema.

Minggu ketiga Geylang makin dibanjiri manusia. Lepas terawih makin rancak makin hangat suasana. Pegerai tambah mesra melayani semua pelanggan. Maklumlah, persaingan sengit, tinggi pula harga sewaan. Cukup andai balik modal. Jika untung bonus namanya.

Pegerai di atas tangga masih melaungkan:

“Mari teman mari handai. Tidak kira apa bangsa. Kita naik mrt, bas, motor, lori atau kereta. Jalan kaki pun boleh asal kita berhati-hati. Yok, ke bazaar tahun ini kalau tidak bilakah lagi?”

Minggu keempat demam hari raya mula melanda. Lampu ‘lap-lip’ terpancar di kekisi tiap jendela. Rumah pangsa Geylang Serai bak letusan bunga api. Kesesakan jalan raya hingga pukul satu pagi. Manakan tidak, semua barang turun harga!

Hari terakhir Ramadhan pasar Geylang jadi tumpuan. Suri rumah beli bekalan hidangan hari raya. Lembu, kambing, ayam segar tetap menu utama. Janur, tahu dan tempeh tinggi kadar permintaannya. Semalaman bersiap kerana esok HARI RAYA!!!!

Pegerai di atas tangga mengeluarkan alat penguat suara lalu melaung dengan sekuat-kuat hatinya:

“Selamat Hari Raya. Ampun maaf pun dipinta. Miskin kaya bergembira. Sambut dengan sederhana. Jangan lupa berjemaah. Biar sunnah besar berkahnya. Pulang kelak makan semeja. Tambah mesra sekeluarga. Hah mari ya, Selamat.Hah Hari Raya ya, Hari Raya. Sekali lagi, Selamat, Hari Raya okay, Hari Raya.”

Olimpian Bahasa (1)

April 4, 2007

      Faris sedang berlatih membaca untuk ujian oralnya. Dia terkial-kial untuk membaca dengan baik. 

     “Tarik nafas menerusi hidung dan kembangkan perut kamu. Kemudian, lepaskan nafas kamu perlahan-lahan sehingga habis, sambil mengira hingga ke angka sebelas. Mesti habiskan nafas sampai angka sebelas. Mulakan sekarang,”  CG Moshid tidak membuang masa lalu menunjukkan demonstrasi cara pernafasan untuk membaca yang dimaksudkan olehnya. 


      Faris, Riphdy, Hamza, Izdy dan Azri kekok dengan kaedah baru itu. Dahi Faris berkerinyut. Dia tidak pernah mencuba cara tersebut. Ketika Faris memejamkan matanya untuk menurut panduan CG Morshid, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang mencucuk perutnya. Faris kegelian lalu pecah dekahan tawanya secara spontan.

      Jari telunjuk CG Morshi masih berada di perut Faris yang kini hampir terguling di lantai kerana tidak dapat menahan kegelian. Faris ketawa berdekah-dekah.      “Perut mesti dikembangkan hingga keras. Isikan dada dengan udara sebanyak-banyaknya. Jangan kendurkan perut ketika melepaskan udara menerusi muncung mulut.”       

     Hilai tawa mengisi sesi bimbingan ‘Olimpian Bahasa’ yang dikendalikan oleh CG Morshid. Azri, Riphdy, Hamka dan Izdy ketawa terbahak-bahak. Izdy yang gempal terhenjut-henjut naik turun.  

     Mereka terhibur dengan kaedah yag mudah tetapi bertenaga yang sedang dikongsi oleh CG Morshid. Bahagian perut masih mereka tutup dengan kedua telapak tangan kerana khuatir tercucuk oleh jari telunjuk CG Morsid yang akan menyinggahi bahagian itu pada bila-bila masa.


      CG Morshid mengambil senaskah akhbar yang sudah basi lalu membaca dengan lantang.                “Kematian menyebabkan telah itu berlaku yang kemalangan,” suara CG Morshid berkumandang mengisi bilik rumah privet di Jalan Pari Burung.     

      “Apa yang CG baca ni?” tanya Riphdy, murid menengah satu sekolah Menengah Ngee Ann. 

     “Saya cuba tingkatkan keghairahan saya. Kadangkala saya juga terlupa bagaimana untuk tunjukkan kehairahan perasaan saya ketika membaca. Jadi, saya baca secara terbalik. Ianya menyeronokkan dan menimbulkan keghairahan. Kemudian, saya ingat bagaimanakah rasa keghairahan tersebut lalu menampilkannya ketika membaca secara biasa.” 


      Dengan tidak membuang masa, Faris dan teman-temannya mula membaca petikan di tangan mereka dari belakang ke hadapan. Faris dapat membaca dengan penuh keghairahan. Dalam masa tidak sampai tiga puluh saat, bilik itu bergema dengan hilai-tawa.               “Ada apa Pak? Aduh, kok gelimpangan di lantai?”  Jenguk Bibik di celah daun pintu yang terbuka sedikit. Bibik kehairanan mendengar sura hilai-tawa yang begitu kuat.      

     “Mereka sudah gila Bibik.”

Teka-Teki

Disember 14, 2006

Masuk ini sudah dua kali kami terkena. Antoni memang bijak berteka-teki.

“Mengapa Amerika menggugurkan bom atom di Hiroshima dan
Nagasaki?”

“Sebab di Tokyo ada ‘Ultraman’!” Berdekah-dekah kami ketawa. Antoni memang lucu. Bas dikenderai melewati kelok 44. Dengan erti yang lain, ada 44 buah selekoh yang harus dilepasi. Bukan tugas yang mudah bagi para pemandu. Bukan juga tugas yang mudah bagi para penumpang yang tidak tahan terhoyong-hayang. Dengan teka-teki itu sekurang-kurangnya hilang rasa mual.

Setibanya di selekoh terakhir, bas berhenti di sebuah kedai runcit. Di celah-celah pagar manusia aku terjengket-jengket. Terjengok-jengok untuk melihat sendiri kacang Minang terenak itu. Tentu hebat kacang yang dijual di sini. Tentu enak sekali!

“Kita akan berhenti di sini selama 15 minit. Anda patut mencuba kacang bakar bumi Minang yang paling sedap.”

Apabila aku menginjakkan kaki ke tanah, kedai runcit itu telah dikerumuni orang.

Aku mendapat ilham. Sebuah teka-teki tiba-tiba muncul di benak fikiranku. Kini giliran Antoni untuk menjawab. Pemandu pelancung berbangsa Minang ini memang lucu dan pandai berjenaka. Kini aku ingin mengujinya. Bolehkah Antoni menerima apabila dia yang menjadi bahan jenaka.

Antoni sedang berbual dengan seorang lagi pemandu pelancong dari bas nombor satu. Aku tidak menunjukkan sebarang riak keghairahan. Teka-teki ini akan aku kemukakan dengan berselamba agar Antoni tidak mengesyaki apa-apa.

“Antoni, memang hebat kacang Minang. Sedap sekali,” aku mencuri perhatian Antoni.

“Ia kah Pak?” tanya Antoni. Dia sentiasa menampilkan keramahannya.

“Betul-betul enak!” aku sengaja tinggikan suara.

“Tapi tahukah Antoni apakah kacang Minang yang paling sedap?” tanpa berlengah aku mengajukan pertanyaan.

“Kurang pasti Pak.”

“Tolong kopekkan kacang ini,” aku menghulurkan sebiji kacang berkulit.

“Ini Pak,” Antoni menyerahkan kacang yang telah dikopeknya kepada ku.

“Hah, inilah kacang Minang yang paling sedap,” aku menampilkan sebiji isi kacang.

“Maksudnya Pak?” ternyata Antoni kehairanan.

“Kacang Minang yang paling enak ialah yang dikopek oleh orang lain untuk kita!”

Kesunyian suasana di pinggir kedai runcit itu pecah dek ketawa yang berderai-derai. Hendry, Antoni dan aku berdekah-dekah. Sambil ketawa aku jeling raut wajah Antoni. Ternyata dia boleh menerima gurauan.