Camar Liar (I)
April 5, 2009
CETERPEN D’Saku
Camar Liar
“Nanti sayang, aku tak punya masa sekarang,” sempat aku membelai kepalanya beberapa kali. Tiba-tiba Comel menyeringai dan membengis. Saat itu juga, satu genggaman kuat mencengkam rambutku.
Kudipersalahkan sungguhpun tak sengaja menyakiti hatimu yang selama ini kutatang. Petang ini tak kusengajakan kesalahanku. Namun sebanyak manapun pintaan maaf, kujangka kau tidak akan bersimpati.
Seribu maaf telah kulafazkan setiap kali kauhamburkan kemarahan. Mengapakah kau terburu membenciku?
Sungguh ku mengerti keadaanmu itu, kau mencari salahku untuk mengisi kekosonganmu. Kuteguhi jua biar getir melanda. Kuhadap segala setia kurelakan. Kebencian kugantikan kemanjaan.
Tak kundur bak selangkah, demi keteguhan cintaku padamu. Sepetang tadi, aku dibuai mimpi indah. Terisi sejenak kemahuanku. Adakah ini kesalahan besar? Bersama Lina dan Ain, kami menghayati senikata lagu itu. Setiap bait menyerlah irasnya pengalaman. Setiap rangkap mengungkap kisah pahit kehidupan. Titisan airmata menghangati pipi tiga gadis GESS – Gan Eng Seng Secondary School.
Kau umpama ‘Camar Liar’ terhumban, terkurung dan diperlaku. Benar, kala itu usia ku setahun jagung. Namun, tekanan perasaanmu kukesan. Pada malam-malam yang sepi, guruh kehampaan selangi tidur bangunmu yang kemamaian. Lewat pagi, kau terbilai sambaran halilintar kengerian pengalaman.
Pada detik-detik bersama lelaki itu, ketika kita dipisahkan dinding kaca, menembus kata-kata rintih yang pedih. Mungkin tak terfaham ujaran kata-kata, namun intuisi dan naluri menterjemah setiap gerak dan rasa. Ziarah ke tempat berpintu dan berpagar dinding tinggi itu terhenti tiba-tiba. Hentinya sebentar saja. Pertemuan di balik telusan tirai kaca putus sambung. Tak meleset sangka dan jangka. Wajah tiga lelaki berbeza, bergilir-gilir menjelma; menghantui kesesakan harapanku ini.
Di bilik muzik tadi, Lina meniup semangat lagi. Di pintu keluar sekolah, Ain membibisiknya berkali-kali:
“Impian itu harapan. Harapan itu kebebasan, Sesiapun tidak dibenarkan meragutnya darimu dengan paksaan.”
Di separuh perjalanan pulang ke rumah kupersiapkan diri. Di simpang antara Henderson dengan Tiong Bharu, seberkas bayu keriangan menghemus lara. Di depan Masjid Al-Rabitah, usikan ketenangan membelai jiwa pula.. Dari stesyen ‘Shell’ ke kolong blok 132, Redhill CLose, gementar menggoncang sisi-sisa keyakinan. Di muka pintau flat berbentuk ‘L’, kuucapkan salam dengan harapan agar ungkapan itu bersambut lantas mendingin hatimu.
Tiada jawapan. Mungkin kau keluar untuk bersembang dengan teman-temanmu. Kelegaan menjengah kebimbangan buat sementara.
“Nenek!” terpantul suara separuh menjerit. Sampai hatimu meninggalkan wanita yang tidak berdaya keseorangan di atas katil sebaya usiaku.
Tanpa berlengah, kutanggalkan stokin dan kasut sekolahku. Saat aku melangkah masuk, Comel menggeser betis. Dia mengiau-ngiau manja. Namun ku kesan keresahan dalam suara lembut itu. Comel memandang tepat ke mataku. Ku selami isyarat di sebalik renungan tajam itu. Dia seakan-akan mahu memberitahuku sesuatu.
“Nanti sayang, aku tak punya masa sekarang,” sempat aku membelai kepalanya beberapa kali. Tiba-tiba Comel menyeringai dan membengis. Saat itu juga, satu genggaman kuat mencengkam rambutku. Tarikannya mengejutkan. Aku tergamam tak terdaya melawan. Terasa hayunan singkat sebelum sisi kepalaku terhempas ke dinding konkrit!
Karya CG Karmin
Wahai Saudara
April 5, 2009
CETERPEN D’Saku
WAHAI SAUDARA
Andai kaupernah jatuh dahulu, lantas bangkit semula. Terimalah aku wahai saudara.
Toh drive. Hari ini kutelusuri lorong kenangan ini. Di sebuah rumah yang mewah, kelihatan seorang lelaki sedang menghirup secangkir minuman panas.
“Wahai saudara turunlah sebentar. Usah menjenguk saja.”
Pada mulanya, lelaki itu teragak-agak untuk memberikan perhatiannya pada sapaanku. Aku faham perasaannya. Dia sangsi akan kehadiran seorang lelaki asing yagn compang-camping di hadapan mahligai sebandungnya.
“Tinggalkan sebentar berandah gahmu. Akan kuceritakan, ayuh. Ayuh saudaraku.”
Kini kami berada di sebuah kakilima di seberang jalan, di sebatang lorong yang dibarisi dereten rumah-rumah yang besar-besar belaka.
“Dahulu aku tinggal di situ. Sekelip mata musnahlah hidupku.”
Lelaki yang berusia dalam lingkungan empat puluhan tahun ini memang memiliki hati yang mulia; hati emas. Tadi kami di kakilima, sekarang kami di berandah gah rumah empat tingkatnya.
“Sebandung kuning mangga yang kukuh, kini menjadi halaman barumu.”
“Terima kasih atas kehadiran tuan,” katanya.
Ada sesuatu yang benar-benar igin kuceritakan padanya. Yang bakal kudedahkan mungkin menjadi ingatan. Mungkin juga jadi cemuhan.
“Di sidang meja jutawan, kami merancang helah. Mencari keuntungan.”
Seorang pembantunya menghidangkan sedikit sarapan. Dua cangkir kopi hitam pekat, telor setengah masak, roti bakar berkaya dan buah-buahan. Aku sambung cerita….
“Di sidang meja jutawan, taruhan kami hangus. segalanya tertimbus.”
Seusai bercerita dan bersarapan kami melangkah ke pintu pagar. Ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk fikiranku. Sesuatu yang penting. Sesuatu yang harus kuberitahu.
“Andai kaupernah jatuh dahulu, lalu bangkit semula. Terimalah aku wahai saudara.”
Karya CG Karmin Abbas
Masuri
Mac 20, 2008
Berarak mega di angkasa. Sayang tiada berseri lagi.
Pemergianmu ditatahi nisan, tak kembali .
Jasad Masuri baru dikebumikan. Talqin sedang bergema. Bergema seperti deraman guruh sebelum petir memancar dan ribut melanda. Masuri meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Kehilangan yang aku rasakan sukar diisi kembali. Berbaur kesepian dan kesedihan dalam hatiku.
Semalam aku bersama Masuri di Muzium Tamadun Asia. Aku duduk di sisi Masuri dengan fail-fail rakaman foto dan karya-karyanya yang menjadi bahan rujukan. Apabila wartawan meminta, aku akan suguhkan bahan-bahan yang diperlukan. Baru dua bulan aku menjadi pembantu peribadi Masuri S.N.
Masuri ialah pelopor puisi moden Singapura. Karya-karya Masuri sewaktu pendudukan Jepun amat dikenali sehingga hari ini. Masuri begitu ceria ketika menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh wartawan Berita Harian. Ketika wartawan menanyakan soalan tentang karyanya sewaktu pendudukan Jepun, tiba-tiba Masuri menekap dadanya dengan telapak tangan kanan. Terhampar kewarna-warnian. Namun tiada gemilang lagi.
Kehilanganmu susutlah khazanah, bangsaku.
Dua minit kemudian, bangsanya kehilangan seorang tokoh kesusasteraan yang hebat. Pendudukan Jepun mula karyanya, pendudukan Jepun juga titik akhir perjuangannya. Sepi akhirnya irama batinmu. Kelmarin masih lekat di jejari.
Di Arts House. Faizal Tehrani dan Pak Samad Said berada di sisiku. Aku rindukan kehadiran Masuri. Biasanya dalam seminar sebegini, Masuri diundang untuk menarajuinya. Masuri akan membentangkan kisah hidup dan pengkaryaannya yang tidak jelak-jelak didengari. Pak Samad dan Faisal tidak lupa mengucapkan takziah di atas pemergian Masuri. Mereka tahu aku rapat dengan Masuri. “Morshid, Masuri tiada penggantinya , tetapi kita harus meneruskan perjuangannya.” bisik Faisal Tehrani, penulis prolifik dari Malaysia.
“Kita kenang Masuri dan kita hidupkan karyanya di mana-mana.” Terpantul suara garau Pak Samad sambil mengenggam keras tanganku selepas seminar setengah hari itu. Petang itu selepas selesai seminar, aku meninjau kuburan bertatah nisan di lot 25. Mataku mencari-cari sesuatu. Pusara Abadi lengang petang itu. Matahari redup. Seorang anak muda kelihatan sedang berteleku di sisi pusara Masuri. Siapakah anak muda itu?
“Saya Haikal. Saya suka karya-karya Pak Masuri.”
Bibirku menguntum senyuman.
Dadaku dipenuhi harapan.
Mardhi Manggar
Julai 20, 2007
Jumaat 10.25 pagi. Awal Julai 2007.
Hiruk-pikuk bilik darjah di tingkat tiga Sekolah Menengah Tanjong Katong dengan pelbagai nada suara yang masing-masing inginkan perhatian.
“Apa yang paling diminati semasa pertujukan Hari Kebangsaan? ”
“Tentulah bunga api!”
“Apa kata kita adakan pertunjukan bunga api?”
“Kau gilalah Mardhi. Mana boleh?”
“Boleh, kalau kita fikirkan caranya.”
“Bagaimana?”
Kelas Mardhi akan mengambil bahagian dalam satu peraduan sempena Sambutan Hari Kebangsaan. Mardi mencadangkan mereka mengadakan mempersembahkan acara letupan bunga api.
Kawan-kawan sekelasnya menganggap idea Mardhi luarbiasa tetapi tidak boleh dilaksanakan. Mardhi mengajak mereka mencari jalan untuk merealisasikan idea mereka.
“Teman-teman, kita sedang rangsang-rambang. Dalam proses ini tidak ada buah fikiran yang salah atau betul. Apa sahaja buah fikiran harus kita catatkan dan pertimbangkan.”
Senyuman diwajah Mardhi tidak pernah luput. Sebaris gigi bak kapur putih tidak pernah gagal mengundang perhatian. Kelas tiba-tiba diam. Keriutan putaran kipas jelas kedengaran.
Keadaan kelas kembali tenang dan penuh jangkaan.
Minggu 12.30 tengahari. Pertengahan Julai 2007.
Ketika mengikuti ibunya ke sebuah majlis walimatul urus, Mardhi ternampak sesuatu yang mencetus satu idea bagaimana acara letupan bunga api boleh diadakan dalam pertandingan sempena Hari Kebangsaan di sekolahnya. Mata Mardhi terpaku pada sesuatu. Bukan pengantin; sepasang bunga manggar dan kumpulan hadrah menjadi perhatiannya!. Pukulan hadrah yang bertingkah rentak, pukul dan nada kedengaran dari jauh. Semakin dekat, semakin bingit bunyi pukulan kompang dan gendang besar. Kelihatan kanak-kanak kecil menutup telinga mereka dengan telapak tangan. Mardhi pula tersenyum selebar-lebarnya. Hujung bibirnya hampir mencecah cuping telinganya. Terselak barisan gigi putih kapur di balik bibirnya.
Tengahari ini, jawapan yang selama ini dicari-carinya ditemuinya. Rupa-rupanya jawapan bagi persoalan utama yang menjadi pertikaian di kelasnya dua hari lepas ada pada setiap minggu. Ada pada setiap majlis perkahwinan.
Mardhi mengeluarkan teklefon bimbit Nokia N73 dari poket kanannya. Dengan tenang dia memetik beberapa gambar. Benar kata CG Morshid, jalan keluar bagi masalah ada dekat dengan kita. Dada Mardhi lega berbaur kesyukuran.
Khamis, 9 Ogos 2007. 10.45 pagi
Gelombang demi gelombang tepukan dan jeritan melanda dewan sekolah. Persembahan kelas Mardhi menggabungkan unsur tarian tradisional yang diiring persembahan hadrah. Di belakang para penari, di balik sehelai kain rentang berwarna hitam yang panjang, 20 batang bunga manggar pelbagai warna dihulur tarik ke atas lalu ke bawah mengikut alunan kompang. Dari sudut para penonton, luncuran bunga manggar ke atas dan ke bawah bagai tembakan dan letusan bunga api di udara. Paluan kompang yang tepat berdentam ketika mercupan-mercupan bunga manggar naik dan jatuh menghasilkan kesan bunyi yang mengkagumkan. Tidak lupa, beberapa orang penari menghasilkan bunyi deruan bunga api yang meluncur ke langit menerusi bibir mereka. Sungguh mengkagumkan!
Khamis, 9 Ogos 2007. 11.25 pagi.
Kelas Mardhi memenangi peraduan.
Iltizam ‘Mat Gilla’
April 7, 2007
” Terima kasih Cik Jah. Ni 80 sen. Kalau ada lagi jangan lupa panggil saya.”
“Mak Cik tak lupa. Daripada dibuang baik aku kasi pada engkau Mat Gilla.”
“Panggil sahaja Mat Gilla, lalu Mat Gilla akan datang untuk tukar minyak jelantah dengan wang. Ingat 1 botol besar 40 sen. Dunia ini akan jadi lebih bersih.”
Mat Gilla sedang memandu ke arah Jalan Tukang 1.
“Berperan di jagatraya….
Pastikan ia bernyawa….
Setiap daya diuntaikan untuk menjana kejayaan.”
” Gugusan pantas dirangkaikan….
Gagasan justru diekakan…..
Siasah mapan diempangkan…..
Berindukkan kepastian
Abadikan….
Iltizamkan.”
Memang itulah iltizam Mat Gilla. Dan, dia harapkan ramai lagi yang akan berusaha menyelamatkan persekitaran alam.
Di dalam makmal kecilnya, Mat Gilla menuangkan beberapa botol minyak jelantah ke dalam balang besar. Esok minyak berlemak tinggi itu akan diproses menjadi ‘minyak biodiesel’. Mat Gilla punya empat impian. Lori-lori besar yang memungut minyak jelantah dari restoran-restoran makanan segera yang menggunakan minyak gorengan dalam proses penyediaan makanan. Lori ini akan memunggah muatan itu di kilang biodiesel Mat Gilla di Jalan Tukang Tiga. Kedua, Mat Gilla ingin lihat stesen minyak biodiesel di merata Singapura. Stesen-stesen ini tidak bernama tetapi bersepanduk. Tertera ‘Berperan di jagatraya. Pastikan ia bernyawa.’
Ketiga, setiap rumah akan dibekali. ‘Panggil dan Mampir’. Tidak kira di mana anda berada. Penghantar akan sampai ke muka pintu anda untuk menghantar minyak biodiesel. Keempat, setiap syarikat besar akan menggunakan minyak biodiesel keluarannya. Namun, Mat Gila sedar dia ada satu masalah yang besar dan rumit. Bukan satu tetapi dua sebenarnya.
” Denyutannya diteruskan….
Puncak persada harapan…..
Dambakan satu realiti……
Memacu ke destinasi.”
” Berjejaknya di latisan….
Melekapnya di warisan…..
Bukannya imaginasi…..
Buaian halusinasi.”
Dia tidak mahu setakat berimaginasi. Mat Gilla tidak mahu berhalusinasi. Di depannya ada dua masalah yang besar dan rumit. Dia tidak ada setengah juta dolar untuk membina loji pengeluaran minyak biodiesel yang besar dan satu lagi, dia belum berdaya membasmi bahan ‘Nox’ yang dikeluarkan oleh produk ciptaannya itu. Menurut kajian, jumlah ‘Nox’ yang dilepaskan oleh minyak diesel lebih kurang 2 hingga 10 peratus lebih banyak daripada minyak petroleum. Mat Gilla berazam untuk menangani dua masalah ini. ‘Nitrogen Dioxide’ atau ‘Nox’ adalah musuh utama Mat Gilla kini.
“Nanti kau ‘Nox’. Aku akan basmi kau!”
” Berperan di jagatraya…..
Pastikan ia bernyawa…..
Setiap daya diuntaikan untuk menjana kejayaan.”
Mat Gilla membisikkan lirik lagu ‘Iltizam’ di akhir persembahannya. Pada siang hari, Mat Gilla ialah pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan biologi. Pada sebelah malam pula, Mat Gilla ialah seorang Mat Punk Rock di sebuah pub di Benoi Road.
Diubahsuai daripada kisah yang benar.
Wak Jono
Januari 28, 2007
Lebuh raya Selatan-Utara menyajikan panorama banjaran gunung yang tidak putus-putus. Kilasan rumah-rumah papan bagaikan rentak metronom yang memacu alunan lagu instrumental ‘Umbara’ nyanyian kumpulan pemuitis tanah air.
Khaleed termenung panjang di dalam bas. Dia teringatkan Masjid Al-Amin. Khaleed teringatkan Wak Jono. Wak Jono teman se safnya. Saf pertama setiap kali mereka bersolat isyak di masjid di kaki ‘Mount Faber’. Kamal Ariff berada di sebelahnya. Kamal teman sedarjah Khaleed. Perasaan Khaleed berbaur. Dia bersyukur dalam keghairahan.
“Mal, betullah.”
“Apa yang betul?”
“Kata Wak Jono.”
“Apa Wak Jono cakap pada kau.”
“Katanya, ada masalah ada peluang.”
“Macam mana. Apa maksud kau?”
” Kan CG Morshid tengah buntu pasal masalah latihan muzikal Wak Tua. Kau yang kasi tau aku. Bila aku tahu ada orang selalu ponteng latihan, aku jengukkan muka. Harap-harap CG Morshid akan buka peluang pada aku. Itu harapan aku saja. Kini harapan tu dah jadi kenyataan.”
“Untung kau Leed.”
“Bukan untung tetapi pengalaman. Wak Jono bilang aku bahawa dalam masalah ada peluang.”
Wak Jono memang sentiasa bersikap positif. Dalam masalah ada peluang katanya. Dulu Wak Jono penjual sate. Beliau menjaja dari pagi ke malam untuk menyara hidup keluarganya. Baginya tidak ada jalan mudah untuk hidup. Untuk hidup kita mesti berani, bersabar dan berbakti.
Sebelum itu, Wak Jono bekerja di ‘Harbour Boat’ sebagai pemunggah muatan dari kapal. Kerjanya berat. Lebih berat lagi ialah menerima kerahan dari mandur-mandur yang bengis dan kasar. Mujur ada seorang putih yang mengubah pemikirannya. Menurut beliau, untuk terus bekerja keras, kita perlu makan daging. Daging berprotein. Peranannya ialah membaiki otot-otot yang kerosakan kerana dikerah tenaga dan kejang kendurnya setiap hari.
Wak Jono mengambil keputusan untuk menjual sate sungguhpun kerja itu berat dan memakan masa yang panjang. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari paksaan dan kerahan mandur-mandur ‘Harbour Boat’. Timbul perasaan yakin diri dalam diri Wak Jono. Dia mahu berusaha sendirian.
Pentas di bilik gala di Hotel Sheraton cukup besar. Susunan meja bulatan berkerusi sepuluh membayangkan kegahan acara yang bakal berlangsung.
“Berdentang jam malam dua belas kali. Di bawah lampu berdiri. Wak Tua sendiri. Kerut-merut muka penat sehari,” seru Hidayah. Hidayah gadis 2 Ekspress.
” When the clock struck twelve times. Under the street lamp. Wak Tua alone. Drenched in exhaution….” sambut Hafiz Amiran, remaja lelaki berawakan India.
Khaleed dan teman-temannya mengadakan persembahan di sebuah hotel bertaraf 5 bintang.
Khaleed teruja. Dia terpukau dengan alunan muzik hip-hop Wak Tua.
Persembahan muzikal ‘Wak Tua’ hebat. Persembahan berbilang media mengkagumkan para hadirin di acara pelancaran Seniman Tunas di Kuala Lumpur.
Selepas Isyak Khaleed duduk di tingkat dua serambi Masjid Al-Amin. Khaleed mengucapkan terima kasih kepada Wak Jono.
“Terima kasih Wak. Saya terhutang budi kepada Wak. Kalau Wak tak nasihatkan saya supaya tangguk di air keruh, tak mungkin saya dapat peluang ke Kuala Lumpur.”
“Ora opo. Tak puayah terimo kasih. Di mono-mono pun eneng. Ada. Peluang itu mesti kito tahu di mono. Langsung kito tunggu podo mosonyo.
” Ye lah Wak Jono, pengalaman Wak begitu berharga sekali.”
“Wes…wes. Sudah-sudah. Kito balik sekarang. Esok kau sekolah.”
Nasihat Wak Jono memang berguna. Khaleed kagum terhadap kewibawaan Wak Jono.
‘Pang Gong’
Jun 9, 2006
Lereng bukit berhadapan dengan bangunan putih yang tersergam – 'The Legends Fort Canning Park' dibanjiri ribuan penonton pelbagai bangsa. Namun, agenda mereka cuma satu. POAGENDA! Pesta Rok sepanjang hujung minggu yang pertama kali diadakan. Sebuah pentas besar menjadi tumpuan mereka. Petang makin lewat.
Fazli kelihatan tenang. Inilah detik yang dinanti-nantikannya. Lewat petang ini, dia, Addy, Khai dan Selamat akan naik pentas. Fazli berasa ghairah untuk beraksi. Fazli juga berasa bertuah. Bertuah kerana telah membuat pilihan yang tidak akan dikesalinya.
Tadi sewaktu melewati gerbang masuk ke Fort Canning, dia berhenti sebentar. Ada kenangan yang mengusik jiwanya. Dia seakan-akan menerobos ke masa silam.
23 tahun yang lalu, Fazli menangis seorang diri di situ. Dia benar-benar bingung. Mahu dicari entah ke mana yang harus ditujuinya. Mahu dituju, entah di manakah arahnya. Setelah diberhentikan sekolah ketika didarjah lima, Fazli tiba di sebuah persimpangan. Simpang hidup tidak berpapan tanda. Fazli bingung. Dia termangu seketika. Mujur bagi Fazli, bangunan merah berseni bina batu-bata merubah segala-galanya.
Sebenarnya, Fazli suka belajar. Setiap hujung minggu dia akan ke Perpusatakaan Negara yang terletak di Stamford Road. Apabila dia sudah pandai menaiki bas sendiri, Fazli sering ke bangunan bersejarah itu. Bahan bacaan kegemarannya ialah majalah-majalah muzik. Alat permainan yang paling digemarinya ialah dram. Fazli bercita-cita tinggi. Dia mahu jadi pemain dram yang terbaik.
Setelah berhenti di darjah lima, Fazli meminta dimasukkan ke kelas muzik di Yamaha. Dia tidak mahu bersekolah lagi. Ibu dan ayahnya tidak menghalang. Mereka akur Fazli mengejar cita-citanya. Keputusan mereka mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Sehingga kini, Fazli bersyukur mempunyai ibu dan ayah yang memahami citarasanya. Kini, Fazli telah mencapai cita-citanya. Ayah dan ibunya pula tidak pernah menyesal akan keputusan yang mereka ambil 23 tahun yang lalu.
Di dalam bangunan yang sarat dengan buku-buku, Fazli tidak jemu-jemu menelaah majalah-majalah muzik. Tiga kali seminggu, Fazli menghadiri kelas muzik di pusat membeli-belah Yaohan Thompson. Bukan mudah mengejar impian. Sanak-saudaranya sering mempertikaikan keputusannya meninggalkan alam persekolahan. Setiap kali ditikam keraguan, Fazli akan memejamkan mata untuk membebaskan nalurinya. Setiap kali himpit keresahan, Fazli akan memejamkam mata untuk mengesan harapan dan impiannya. Lalu, dia akan menghela nafas dan terus melangkah. Bagi Fazli, kepastian bukan jaminan kebahagian. Tanpa kebahgiaan tiada kejayaan. Kemahuannya yang kuat adalah jangka lukis yang melakar pembangunan diri dan kemahiran yang mahu dicapainya langkah langkah demi langkah. Kini langkahannya semakin pasti. Lewat petang ini, langkahannya semakin bererti. Di atas pentas nanti, Fazli akan membuka satu babak baru dalam hidupnya. Fazli, Addy, Khai dan Selamat akan menapak ke dalam arena hiburan dan muzik tanahair!
"Gagal bukan ertinya kalah
kecewa bukannya penghalang
kukuh harapan menara impian
akan ku genggam
harapan ini
sehingga ia menjadi
satu realiti"
Para penonton terhibur dengan persembahan bertenaga empat jejaka tampan. Lereng bukit Fort Canning gamat dengan sorakan, siulan dan tepukan bergemuruh. POPAGENDA semakin seru dengan penampilan 'Pang Gong'. Fazli, Addy, Khai dan Selamat sekata memilih nama 'Pang Gong'. Bunyinya seperti panggung iaitu pentas kerjaya mereka. 'Pang' ialah kesan yang ingin mereka berikan setiap kali beraksi. 'Gong' berupa mesej-mesej positif yang mereka perdengarkan dalam adunan rentak, melodi dan gaya persembahan yang santai.
Ceterpen ‘Risiko’
April 28, 2006
"Lirik lagu terbaik, 'Risiko'!"
Tepukan gemuruh bergema di dewan itu. Keratan lagu 'Risiko' berkumandang. Adunan rentak paluan dram Fazly bertingkah gentaran tali gitar 'Gibson' Fred. Serentak, Khai pula menyajikan tempo yang bersahaja. Irama gitar 'Takamine'nya begitu mempesonakan . Cukup mempesonakan! Lantas, menerobos gentelan gitar 'Ibanez' solo Addy yang memacu irama risiko. 'Risiko' menyajikan halwa telinga yang menyegarkan dan membina minda.
"…bukan ini yang kau mahu
bukan ini pilihan dirimu
mahumu agar kau sejahtera
pilihanmu moga kau bahagia"
Lirik lagu 'Risiko' begitu bermakna buat Kallas. Terasa kebanggaan dalam dirinya. Kallas mencari-cari punca kebanggaan itu ketika menuju ke atas pentas. Layar fikirannya kabur. Yang dicarinya tidak ditemui.
Dinihari makin sepi. Scott Road lapang. Sebuah Honda Odessey melintas stesen MRT Newton perlahan-lahan. Di perut kereta kelabu itu, Kallas masih mencari-cari satu jawapan.
'…segalanya hanyalah janji
sehingga kau tahu erti
sedia tempuhi risiko, berani
kau harus berani…'
Bait terakhir itu tiba-tiba memantulkan satu adegan 26 tahun yang lalu! Kallas telah mendapatkan jawapan yang dicarinya sejak tadi.
Adegan di pejabat sebuah sekolah menengah itu jelas sekali. Ketika itu, Kallas berusia 16 tahun. Dia akhirnya memberanikan dirinya untuk mencari satu jawapan juga. Jawapan itu penting. Demi masa depannya, Kallas mesti mendapatkan jawapan.
"Boleh saya tahu, bagaimana saya boleh masuk aliran sastera?"
"Awak menengah berapa?"
"Tahun ini menengah 4,"
"Sekarang aliran apa?"
"Teknikal,"
"Kenapa nak tukar?"
"Saya tak minat bidang teknikal,"
"Dah tak boleh tukar lagi. Awak dah menengah 4,"
Kallas tidak mahu berganjak selagi dia tidak dapatkan jawapan.
"Beritahu saya macam mana nak masuk aliran sastera. Tolong saya cik,"
"Hmm, tahun depan bolehlah,"
"Tahun depan saya nak ke Pra-U,"
"Itu saya tahu. Tapi kalau nak tukar ke aliran sastera, mesti 'stay back'. Maksud saya, mesti gagal dalam peperiksaan peringkat 'O'. Kemudian 'stay back'".
Kereta Honda berada betul-betul di depan kedai makan 'Nikamaath' yang terletak di sepanjang River Valley Road. Kallas tersenyum sendirian. Risiko yang diambilnya berbaloi. Setelah masuk aliran sastera, Kallas tidak menoleh ke belakang lagi. Kata orang, ambil lajak beberapa langkah ke belakang untuk dapat lompat lebih jauh lagi.
'..segalanya hanyalah janji
sehingga kau tahu erti
sedia tempuhi risiko, berani
kau harus berani…'
Gentelan gitar 'Ibanez' Addy menerobos lagi di corong pembesar suara 'JVC' yang terpasang di dalam kereta.
- Dapatkan CETERPEN 'RISIKO' D'Saku.
- Dengari CETERPEN 'Risiko' D'MP3



