Pemburu Serigala – Puisi
April 26, 2009
Pemburu Serigala
Sila rujuk glossari perkataan menarik dalam puisi ini di sini>>
misteri hidup ada di banjaran
rimba liar berserigala
pada malam berbulan terang
kebinatangan melolong
pemburu serigala lewat usia
pembunuh upahan cuma
buruannya satu-satunya
seekor serigala muda
pemburu serigala muda belia
johan memburu terkenal merata
buruannya apa sahaja
yang menarik itu miliknya
di pinggir unggun api mereka berdua
dalam kedinginan bahang nafas menyela-nyela
seorang pemburu muda belia
lelap dengan mimpi kejamnya
malam lagi, bercanggah bicara
hingga teracu muncung pistol di ubun kepala
serigala sebenarnya manusia
membaham sesukanya tanpa kira
berdengung banjaran di bulan terang
sekawan serigala terhidu
sekujur bangkai manusia
CG Karmin Abbas
Pembunuh Serigala
April 26, 2009
Pagi itu mereka akan memulakan pemburuan. Matlamat mereka ialah untuk membunuh serigala yang telah membaham kambing di ladang ternakan seorang penternak. Remaja itu diperintahkan mengikuti lelaki itu kerana lelaki itu ialah seorang pemburu yang handal memburu serigala.
Dalam perjalanan, remaja itu tidak habis-habis membesar-besarkan kebolehannya memburu. Sejauh ini dia telah memburu berjenis-jenis binatang.
“Berapa ekor binatang yang telah engkau buru?” tanya remaja itu.
“Aku bukan memburu sebarang binatang. Aku hanya memburu serigala,” jawab lelaki itu
Malam itu, mereka berdua tidur di pinggir unggun api. Sebelum tidur, lelaki itu mengingatkan remaja tersebut agar meletakkan senapangnya jauh dari api. Katanya, tindakan itu dapat mengelakkan kemalangan. Jika senapang mereka terlalu dekat dengan api, ianya mungkin memuntahkan peluru apabila terkena bahang panas. Remaja itu tidak berapa bersetuju dengan arahan lelaki itu, tetapi ia menurut nasihat lelaki tersebut.
Keesokannya, mereka meneruskan pemburuan. Mereka terserempak seekor serigala. Remaja itu bergegas untuk menembak serigala tersebut. Selepas membunuh serigala itu, barulah ia sedar bahawa itu bukan seekor serigala, tetapi musang. Lelaki itu menasihati remaja itu supaya lebih berhati-hati kerana dengan tindakannya tadi, serigala yang sedang mereka buru tahu bahawa ada pemburu yang sedang memburunya. Ini akan menyukarkan misi mereka untuk memburu serigala tersebut.
“Tapi tu cuma satu kesilapan sahaja,” remaja itu mempertahankan tindakannya.
“Sudah berapa ekor serigala yang kau bunuh?” tanya lelaki itu.
“Belum satupun, sebab itu aku disuruh ikut kamu memburu serigala sekarang,” jelas kedengaran nada kemarahan dalam suara remaja tersebut, kerana kebolehannya diperkecilkan.
“Aku bencikan semua serigala. Kita patut bunuh semua serigala tersebut!” bentak remaja itu.
“Bukan semua serigala pembunuh kambing. Serigala yang tua tidak akan melakukan perkara itu. Hanya yang muda yang kita buru. Itu pun yang satu-satunya sahaja. Yang membaham kambing yang malang itu.” tenang sahaja suara lelaki itu.
“Ingat, serigala yang kita akan bunuh ini muda dan hanya membaham, mangsa yang paling sihat dan menarik hatinya,” tambah lelaki itu lagi.
“Aku hanya ikut perintah penternak yang tidak mahu kehilangan lagi. Dulu dia pernah kehilangan satu-satunya anak perempuan yang amat disayanginya,” lelaki itu sengaja menaikkan suaranya agar jelas didengar oleh remaja itu.
“Hey, tentang gadis yang malang itu, bukan salah aku dia mati. Itu cuma kemalangan. Ayahnya yang mati-mati tidak mahu dia bersama denganku. Kematiannya ialah atas keputusannya sendiri! Aku tidak membunuhnya. Dia gadis cantik. Aku jatuh cinta padanya. Adakah itu salah? Kalau kau nampak dia, tentu kaupun mahukannya. Aku pasti,” remaja itu mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
“Telah aku katakan tadi, aku tidak akan membunuh sebarang serigala. Aku hanya membunuh yang bersalah sahaja,” sambil mengeluarkan sepucuk pistol dari balik hujung seluarnya. Lelaki itu mengacu pistolnya betul-betul di kepala remaja tersebut lalu menarik picunya perlahan-lahan.



