Karangan Berdasarkan Peribahasa
Peribahasa : Air dicincang tiada putus
Makna : Perbalahan atau pergaduhan antara saudara-mara tidak akan berpanjangan kerana akhirnya mereka akan berbaik-baik semula
Tema : Keluarga
Plot Asal
1. Abang seorang penjenayah terkenal di serata dunia yang mempunyai adik perempuan.
2..Polis mencari abang yang bijak menghilangkan diri.
3. Tempat persembunyian abangnya hanya diketahui adiknya.
4. Adiknya memberitahu polis di mana abangnya sembunyi.
5. Abang ditangkap lalu dipenjara. Abangnya marah kepada adiknya.
6. Adiknya telah merancang untuk membebaskan dan melarikan abangnya dari penjara lalu berjaya.
Setelah Dipertenagakan
“Nyah kau dari sini. Aku tak nak tengok muka kau lagi! Pergi!” dia memekik sekuat hatinya dengan jarinya menunjuk kepada seorang lelaki yang baru sahaja memberikan bukti mengenai jenayah yang dilakukannya. Di bilik makhamah itu, hadirin hanya terkesima dengan mulut ternganga melihat seorang pembunuh yang tidak dapat mengawal dirinya.
Lelaki itu hanya menunduk membisu sambil keluar daripada kandang saksi. Sukmanya seolah-olah ditusuk belati. Dia tiada pilihan. Keadilan perlu ditegakkan walau dalam apa jua keadaan. Batinnya berat menanggung beban perbuatannya. Seorang wanita menangis sambil mengusap-ngusap perutnya. Perutnya diusap bukan kerana dia lapar. Perutnya diusap kerana ia berisi seorang bayi yang akan lahir menjadi anak seorang pembunuh yang membunuh secara tidak sengaja. Pembunuh itu akan meringkuk di penjara sementara anaknya kehilangan kasih seorang bapa.
Lelaki itu bernama Rosli bin Ramli. Pembunuh secara tidak sengaja itu bernama Mazli bin Ramli. Mereka sebenarnya adik beradik. Rosli terpaksa mendedahkan rahsia persembunyian abangnya. Abangnya perlu menanggung akibat daripada perbuatannya sendiri. Rosli tidak mahu bersubahat.
Mazli dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh secara tidak sengaja. Fikirannya menerawang. Dia teringatkan saat-saat dia masih lagi bebas. Kebebasan itu dirampas oleh adiknya sendiri yang mengkhianatinya. Jika tidak kerana adiknya, dia mungkin masih bebas menghirup udara nyaman. Dia juga mungkin akan dapat merasakan saat menimang anak pertamanya. Anak itu kini tidak berbapa.
Anak yang tidak berbapa itu keluar daripada perut ibunya tanpa ada sesiapa yang menjenguknya. Sesekali, ibunya, Milah, lihat sekilas bayangan orang yang melihat anaknya di hospital. Namun, dia tidak dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas. Anaknya semakin membesar. Tatkala dia bertanya ibunya di mana bapanya, Milah akan menjawab, bapa berada di sebuah negeri yang jauh. Dia tidak pernah menyoal lebih daripada itu. Di mana negeri itu? Berapa jauh negeri itu? Dia tidak mahu bertanya kerana ibu akan mula menangis.
Kasih sayang seorang bapa yang tiada ternyata membuat Fazli rasa kekosongan. Akhirnya dia ditempatkan di dalam rumah tumpangan Pertapis buat anak-anak nakal. Milah tiada pilihan kerana dia sendiri tidak tertahan dengan tingkah anaknya. Jauh di lubuk hatinya, dia berharap anaknya akan pulang sebagai seorang manusia.
Fazli mula mengenal erti hidup di rumah tumpangan itu. Menetap di rumah itu bukanlah suatu hukuman. Ia hanyalah satu fasa yang mana hidupnya menjalani pembaharuan. Dia mula mengenal agama. Dia mula belajar cara solat. Dia mula mempunyai semangat untuk berusaha gigih dalam pelajarannya. Ia berterusan, sehingga dia kembali ke pangkuan ibunya. Semangat itu tidak terpadam.
“Pakcik, saya ingin jumpa ayah. Saya ingin memberitahunya berita gembira. Ayah pasti bangga dengan saya,” Fazli memberitahu pakcik. Dia ingin ke negeri jauh itu untuk berjumpa dengan ayahnya. Dia merasa rindu terhadap ayahnya walaupun mereka tidak pernah bertentang mata.
“Boleh. Pergilah. Pakcik boleh uruskan,” pakcik menjawab. Pakcik hanyalah sukarelawan di rumah tumpangan Pertapis. Namun, hubungan mereka tidak putus walaupun Fazli sudah dilepaskan daripada rumah tumpangan tersebut. Pakcik menggantikan tempat ayahnya. Ayah masih belum bebas. Ibu memberitahu, ayah bergaduh di penjara.
“Saya hendak pakcik ikut saya jumpa ayah,” Fazli ghairah. Pakcik menelan air liur. Wajahnya tergambar perasaan yang berbaur.
Hari itu, matahari seolah-olah tersenyum. Bayu semilir meniup perlahan seolah-olah membawa khabar gembira. Daun yang menari dengan rentak bayu melambai-lambai menyambut kehadiran Fazli dan juga pakcik di penjara itu. Sudah dua puluh lima tahun Fazli hidup tanpa mengenali ayah. Jantungnya berdegup kencang.
“Ayah… ini Fazli. Ini Fazli anak ayah. Ayah, Fazli lulus peperiksaan universiti. Fazli dapat sarjana muda. Ayah…” terlalu banyak perkara yang ingin Fazli beritahu. Ayahnya tidak sempat membalas.
“Ayah, Fazli nak kenalkan ayah dengan seseorang. Dia banyak tolong Fazli. Ayah, ini dia… pakcik. Pakcik Rosli!” Fazli akhirnya berhenti.
“Rosli?” Mazli tercengang. Matanya mula berair.
“Ya, saya bang. Air dicincang tiada putus bang. Tiada apa yang dapat memisahkan kita.”
“Rosli…”
Soalan Kefahaman (20 markah)
1) Mengapa Mazli marah terhadap adiknya? (2 markah)
2) Apakah yang dimaksudkan dengan ‘negeri yang jauh’ dan mengapa Mazli perlu berada di sana? Jelaskan. (4 markah)
3) Siapakah ‘pakcik’ di dalam petikan ini dan apakah pandangan kamu terhadap perwatakannya sepanjang petikan ini? (4 markah)
4) Jelaskan perubahan yang dialami Fazli semasa berada di rumah tumpangan. (4 markah)
5) Kasih sayang dan didikan daripada seorang lelaki amat penting dalam proses membesarkan seorang anak. Setujukah kamu dengan pernyataan ini? Jelaskan berdasarkan petikan karangan. (6 markah)
Soalan Kosakata (6 markah)
1) Terkesima (2 markah)
2) Fikirannya menerawang (2 markah)
3) Bertentang mata (2 markah)




April 20, 2009 at 11:09 pm
Syabas sekali lagi Khairool. ‘PUMP’ awak menyalurkan bahan pembakar FI. Plotnya hampir sama, tetapi, telah dipertingkatkan gred atau mutunya. Amat tepat dengan peribahasa. Pada saya, inilah bukti di mana, penghayatan peribahasa dapat dilakukan dengan kegiatan yang amat bermakna. Ada beberapa lagi plot para pelajar yang perlu di’PUMP’.