Camar Liar (I)

April 5, 2009

CETERPEN D’Saku

Camar Liar

“Nanti sayang, aku tak punya masa sekarang,” sempat aku membelai kepalanya beberapa kali. Tiba-tiba Comel menyeringai dan membengis. Saat itu juga, satu genggaman kuat mencengkam rambutku.

Kudipersalahkan sungguhpun tak sengaja menyakiti hatimu yang selama ini kutatang. Petang ini tak kusengajakan kesalahanku. Namun sebanyak manapun pintaan maaf,  kujangka kau tidak akan bersimpati.

Seribu maaf telah kulafazkan setiap kali kauhamburkan kemarahan. Mengapakah kau terburu membenciku?

Sungguh ku mengerti keadaanmu itu, kau mencari salahku untuk mengisi kekosonganmu. Kuteguhi jua biar getir melanda. Kuhadap segala setia kurelakan. Kebencian kugantikan kemanjaan.

Tak kundur bak selangkah, demi keteguhan cintaku padamu. Sepetang tadi, aku dibuai mimpi indah. Terisi sejenak kemahuanku. Adakah ini kesalahan besar? Bersama Lina dan Ain, kami menghayati senikata lagu itu. Setiap bait menyerlah irasnya pengalaman. Setiap rangkap mengungkap kisah pahit kehidupan. Titisan airmata menghangati pipi tiga gadis GESS – Gan Eng Seng Secondary School.

Kau umpama ‘Camar Liar’ terhumban, terkurung dan diperlaku. Benar, kala itu usia ku setahun jagung. Namun, tekanan perasaanmu kukesan. Pada malam-malam yang sepi, guruh kehampaan selangi tidur bangunmu yang kemamaian. Lewat pagi, kau terbilai sambaran halilintar kengerian pengalaman.

Pada detik-detik bersama lelaki itu, ketika kita dipisahkan dinding kaca, menembus kata-kata rintih yang pedih. Mungkin tak terfaham ujaran kata-kata, namun intuisi dan naluri menterjemah setiap gerak dan rasa. Ziarah ke tempat berpintu dan berpagar dinding tinggi itu terhenti tiba-tiba. Hentinya sebentar saja. Pertemuan di balik telusan tirai kaca putus sambung. Tak meleset sangka dan jangka. Wajah tiga lelaki berbeza, bergilir-gilir menjelma; menghantui kesesakan harapanku ini.

Di bilik muzik tadi, Lina meniup semangat lagi. Di pintu keluar sekolah, Ain membibisiknya berkali-kali:

“Impian itu harapan. Harapan itu kebebasan, Sesiapun tidak dibenarkan meragutnya darimu dengan paksaan.”

Di separuh perjalanan pulang ke rumah kupersiapkan diri. Di simpang antara Henderson dengan Tiong Bharu, seberkas bayu keriangan menghemus lara. Di depan Masjid Al-Rabitah, usikan ketenangan membelai jiwa pula.. Dari stesyen ‘Shell’ ke kolong blok 132, Redhill CLose, gementar menggoncang sisi-sisa keyakinan. Di muka pintau flat berbentuk ‘L’, kuucapkan salam dengan harapan agar ungkapan itu bersambut lantas mendingin hatimu.

Tiada jawapan. Mungkin kau keluar untuk bersembang dengan teman-temanmu. Kelegaan menjengah kebimbangan buat sementara.

“Nenek!” terpantul suara separuh menjerit. Sampai hatimu meninggalkan wanita yang tidak berdaya keseorangan di atas katil sebaya usiaku.

Tanpa berlengah, kutanggalkan stokin dan kasut sekolahku. Saat aku melangkah masuk, Comel menggeser betis. Dia mengiau-ngiau manja. Namun ku kesan keresahan dalam suara lembut itu. Comel memandang tepat ke mataku. Ku selami isyarat di sebalik renungan tajam itu. Dia seakan-akan mahu memberitahuku sesuatu.

“Nanti sayang, aku tak punya masa sekarang,” sempat aku membelai kepalanya beberapa kali. Tiba-tiba Comel menyeringai dan membengis. Saat itu juga, satu genggaman kuat mencengkam rambutku. Tarikannya mengejutkan. Aku tergamam tak terdaya melawan. Terasa hayunan singkat sebelum sisi kepalaku terhempas ke dinding konkrit!

Karya CG Karmin

Wahai Saudara

April 5, 2009

CETERPEN D’Saku

WAHAI SAUDARA

Andai kaupernah jatuh dahulu, lantas bangkit semula. Terimalah aku wahai saudara.

Toh drive. Hari ini kutelusuri lorong kenangan ini. Di sebuah rumah yang mewah, kelihatan seorang lelaki sedang menghirup secangkir minuman panas.

“Wahai saudara turunlah sebentar. Usah menjenguk saja.”

Pada mulanya, lelaki itu teragak-agak untuk memberikan perhatiannya pada sapaanku. Aku faham perasaannya. Dia sangsi akan kehadiran seorang lelaki asing yagn compang-camping di hadapan mahligai sebandungnya.

“Tinggalkan sebentar berandah gahmu. Akan kuceritakan, ayuh. Ayuh saudaraku.”

Kini kami berada di sebuah kakilima di seberang jalan, di sebatang lorong yang dibarisi dereten rumah-rumah yang besar-besar belaka.

“Dahulu aku tinggal di situ. Sekelip mata musnahlah hidupku.”

Lelaki yang berusia dalam lingkungan empat puluhan tahun ini memang memiliki hati yang mulia; hati emas. Tadi kami di kakilima, sekarang kami di berandah gah rumah empat tingkatnya.

“Sebandung kuning mangga yang kukuh, kini menjadi halaman barumu.”

“Terima kasih atas kehadiran tuan,” katanya.

Ada sesuatu yang benar-benar igin kuceritakan padanya. Yang bakal kudedahkan mungkin menjadi ingatan. Mungkin juga jadi cemuhan.

“Di sidang meja jutawan, kami merancang helah. Mencari keuntungan.”

Seorang pembantunya menghidangkan sedikit sarapan. Dua cangkir kopi hitam pekat, telor setengah masak, roti bakar berkaya dan buah-buahan. Aku sambung cerita….

“Di sidang meja jutawan, taruhan kami hangus. segalanya tertimbus.”

Seusai bercerita dan bersarapan kami melangkah ke pintu pagar. Ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk fikiranku. Sesuatu yang penting. Sesuatu yang harus kuberitahu.

“Andai kaupernah jatuh dahulu, lalu bangkit semula. Terimalah aku wahai saudara.”

Karya CG Karmin Abbas