Ikhsan Nusantara

April 4, 2009

Ceterpen D’Saku

Ikhsan Nusantara

“Kapan saya bisa ikut bapak jelajah?”

“Kita ke seantero Nusantara?”

Gadis manis itu kebingungan. Yang sepatutnya melindungi, mengenyahinya kini.

“Dia anak kurang ajar Pak! Tak tahu kenang budi. Tak ikut cakap,” jerit Sriwati.
“Kamu juga begitu,” ringkas saja bentakan Logha.

Rika, yang tersepit di tengah-tengah perbalahan ini langsung tidak kenali lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Logha itu. Dia ketuk pintu. Dia tanya khabar, lalu, diundang masuk oleh ibunya tanpa banyak periksa. Ia jelas berbangsa India tetapi fasih berbahasa.

Logha mengeluarkan sehelai dokumen lalu mengajukannya ke aran ibunya, Sriwati.

“Kamu lupa perjanjian itu. kamu sendiri yang tandatanganinya. Sekarang kamu lupai.”

Sriwati terduduk di atas sofa. Kepala Rika pula bertambah berat dengan persoalan.

“Cukup lima belas tahun, aku berjanji dalam dokumen ini untuk menjenguk keadaan Rika. Aku tidak ingkari janjiku. Sebaliknya kamu pula,” suara berat Logha menembusi kedunguan Sriwati.

Rika merampas dokumen itu dari tangan ibunya. Matanya melitari baris-baris perkataan yang tercap.

“Tapi Loghanathan, kau harus faham, Rika sudah melampau degilnya. Rika anak gadis yang suka berontak. Saya tidak tahan lagi,” suara Sriwati jelas membayangkan kebenciannya pada Rika.

“Perjanjian tetap perjanjian.”

Logha kecewa dengan sikap Sriwati. 15 tahun lalu, dia ziarahi wanita ini di kamar hospital. Sriwati baru keguguran kandungan.Rajan suami Sriwati adalah kenalan rapat Logha. Dalam siri jadual jelajahannya di Pulau Jawa, dia mencuri kesempatan untuk menjenguk sahabat nusantaranya itu. Kebetulan, malang melanda keluarga Rajan. Hari ini Rajan tiada lagi. Dia meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan, termasuk seorang anak angkat.

“Siapa kamu sebenarnya Pak?”

“Kau tak perlu tahu sekarang.”

Tanda tanya di fikiran Rika akan terjawab sore nanti. Logha akan menjelaskan segala-galanya kepada Rika. Kisah bayi yang diselamatkan dari semak-samun. Kisah bayi yang terlantar dan terbiar di katil rumah sakit tanpa waris. Dan, sehelai dokumen perjanjian jua akan terbongkar!

Sore itu, di sebuah lobi hotel, Rika dan Logha duduk bertentangan mata. Rika telah faham duduk perkara sebenarnya kini.

“Saya tidak mahu ikut ibu lagi.”

“Kau tak perlu lagi.”

Logha juga sempat menyelami gejolak jiwa remaja yang berada di depannya kini. Rika tegar mengumpil kebenaran yang selama ini terpaku dan tersorok dalam kotak rahsia – dia anak angkat, Rikalah bayi yang hampir mati digigit serangga di semak-samun. Tiada khabar berita tentang ibu kandungnya. Sriwati dan Rajan bersetuju menerima tawaran Logha untuk membela anak itu. Logha akan mengongkosi mereka selama lima belas tahun. Sampai masanya, Logha akan menjenguk Rika. Jika Rika dalam keadaan baik, Sriwati boleh terus menjaganya. Jika tidak, Rika akan dibawanya ke Singapura. Jelas, Sriwati gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Sejak berumur tujuh tahun, Rika sedar akan perbezaan irasan dia dengan ayah dan ibunya. Rika mula mengumpil-ngumpil jawapan.

“Pak Logha, saya akan jemput bapak.”

“Bagus, saya akan pulang dari Nepal esok. Sampai jam tiga petang.”

Rika harus ke kuliah segera. Dewan kuliah agak jauh dari asramanya. Rika mematikan satusnya di MSN sambil menyogok-nyogokingatannya agar ingat beberapa jadual penting, terutama sekali untuk menyambut Encik Logha di Terminal Tiga Changi.

Dewan ketibaan di Terminal 3 agak lengang.

“Kapan, saya bisa ikut bapak jelajah?

“Kita ke seantero Nusantara?

Rika menguntumkan seukir senyuman kebahagiaan. Encik Logha tidak pernah mungkir janji.

Leave a Reply