CETERPEN D’Saku
KAK
Kehilangan atas Kehilangan. Takdir yang menentukan berharganya seberkas kejujuran.

Memang suratan
sungguh ada pilihan
dalam percintaan
yang perlukan pengorbanan

“Bohong!”
“Benar Asmah, aku lakukan ini kerana aku amat mencintaimu.”

Jodoh mereka sudah tiada. Hari ini, tali pertunangan antara Asmah dengan Ryan putus.

Asmah tidak dapat menerima keptusan Ryan untuk memutuskan pertunangan mereka. Dia berasa tertekan.

“Tergamak kau Ryan. Sampai hatimu.”

Hingga meluluh
merusuh salah sangka
mendinding antara
fikir dan rasa

‘SEORANG WANITA MUDA MATI KERANA PIL TIDUR YANG BERLEBIHAN”

Menjerit berita itu di dada akhbar. Lebih tepat lagi, berita tentang kejadian seorang wanita muda yang mati kerana menelan pil tidur yang keterlaluan jumlahnya; bunuh diri!

Pengorbanan ini
adakah kesilapan
dungunya kemanusiaan
hilangnya pertimbangan

“Asmah!”

Bekas tunang Asmah rasa bersalah. Ryan ke rumah Asmah untuk menghadiri upacara pengkebumian bekas tangkai hidupnya yang kita patah; hilang tak berganti.

“Makcik suatu hari nanti, kalian akan tahu sebab sebenarnya saya putuskan pertunangan kami. Saya minta maaf terlebih dahulu.”

Hanya pengertian
hanya kepercayaan
yang perlukan masa

“Aku putuskan kerana aku tak sanggup menipumu Asmah.” Sejujurnya, Ryan tidak berhasrat melukakan hati Asmah, tapi dia tak berdaya menahan ledakan perasaan itu dalam diri Asmah.

Pemergian ini persemadian
ketentuan Illahi
kehilangan satu kepastian kini

Bagi Ryan, keputusan memutuskan pertunangan itu tidak dapat dilengahkannya; tidak dapat dielakkannya.

Lapan bulan lalu, Ryan menghadiri upaara pengkebumian Asmah. Hari ini keluarga Asmah menghadiri upacara pengkebumian Ryan.

“Kami tak salahkan Ryan atas pemergian Asmah.”
“Ryan sembunyikan barah hati yang dihidapinya daripada kami.”

Kehilangan atas kehilangan
takdir yang menentukan
berharganya satu kejujuran

Karya CG Karmin Abbas