Singa’FOREIGN’ I
Mac 19, 2009
berkemudi di sini
terasa tidak keruan
keadaan tidak ketentuan
tak sempat releks barang sebentar
untuk bersandar di kerusi kayu
di tebing-tebing sungainya
di kakilima orang terburu-buru
mengenyah sang merpati
mengunyah sambil separuh berlari
melarut bual basa-basi
yang tak perlu lagi
berkemudi di sini
terasa keasingan
cuping mengesan bingitnya degar-degar
anak bangsa telornya bermutasi
kejap bahasa, kejap mandarin dan kejap lagi….
lidah mat saleh bukan main ligat lagi
di mana-mana orang minum kopi
ratah burger
kentang dan keju
berkomat kamit nadanya tinggi
persahabatan niari-esok-lusa
yang sejahtera semakin tiada
bersembang sana-sini
sedang si tua terketar-ketar
di rumah tumpangan pingin akan diskusi
berkemudi di sini
amat terasa
bersultan dan berhamba
berputih mata yang tak punya
kiri-kanannya berdinding kaca
yang diingini punya orang lain
yang dipunyai berkontrak dan berlesen
telefon, tv dan radio pengering saku tak bersen
dulu pernah ke Lorong Buangkok
mengutip siput dan lokan
dulu pernah ke bekas kampung Cina
menarik ubi kayu dan memetik pucuknya
soal hakpunya bukan satu-satunya
berkemudi di sini
amat terasa
kehidupan yang merintih
kesekitaran yang perih
daya dan inisiatif terpandang dengan durja
dengan cebik dan sepet lirik mata
di baghdad street berkerusi roda
seorang saudara baru lepas usia belia
berombak-ombak dadanya
ia lari dari sesuatu gayanya
tadi, di pintu pagar masjid negara ia disergah
diugut ‘kan dibawa pergi
sedang ia cuba mengail rezeki
kerana petang nanti
di rumah sakit
ia harus potong kaki
Karya CG Karmin Abbas



