SO LATe

Julai 23, 2007

Di perut kereta

Dah pukul 1. Pukul berapa waktu zohor? Ahh, dah tak jauh lagi. Jika aku dapat ruang letak kereta di pinggir ‘Kelab SAFRA’, tentu aku sempat dengar khutbah solat Jumaat.

Di dewan Solat

Seorang lelaki tiba-tiba muncul di balik mimbar lalu berdiri di kaki tangga sambil memandang para jemaah. Pelbagai pertanyaan timbul di benak para jemaah. Mereka tidak berani berkata-kata atau mengambil sebarang tindakan kerana menyangkakan pihak masjid akan berbuat sesuatu.

 


Lelaki itu berseluar jeans biru dan berjaket hitam yang tidak berzip di depan. Seluarnya juga terlondeh. Apa yang patut aku lakukan. Hah, nanti lepas solat aku cari dia dan ajak dia berbual. Kalau aku bangun ketika khutbah dan berbual dengan dia tentu tak elok di pandang mata. Hilang pulak pahala! Setiap jemaah hanya memerhatikan sahaja. Ada yang langsung tidak mempedulikannya kerana tidak mahu ibadat mereka terganggu. Tentu pihak masjid tahu apa yang harus dilakukan terhadap lelaki tersebut.

 


Seusai solat

Sejurus selepas iqamat dilaungkan, lelaki itu melangkah beberapa saf. Ada satu ruang kosong di tepi tiang yang berdekatan dengan tingkap besar di bahagian tepi dewan. Lelaki itu bersedia untuk bersolat bersama-sama.

 


Pada rakaat yang terakhir ketika rukuk, ruang itu kosong kembali. Lelaki itu tiada di situ. Selesai memberi salam kedua, kelihatan lelaki itu sedang jalan berlenggang di saf. Para jemaah membiarkannya sahaja. Lelaki itu berjalan di depanku. Dia berbau arak. Seorang pegawai masjid lantas berdiri kerana khuatirkan tabung-tabung yang berisi derma akan diambil oleh lelaki yang kini sudah berada di saf belakang. Selesai solat, aku segera meninggalkan dewan solat untuk mengesan lelaki tersebut. Tujuanku ialah untuk mengajaknya berbual dan mengetahui masalahnya. Ini bukan kerjaku tapi sekurang-kurangnya aku dapat membantu serba sedikit. Lelaki itu tidak aku temui. Lantas, aku pulang ke rumah. Mana perginya pemuda tadi? Mungkinkah ada orang lain yang telah membantunya?

 


Blok 546, Chua Chu Kang

Hujung minggu. Aku berada di Chua Chu Kang kerana meraikan majlis hari jadi bapa mertuaku yang ke lapan puluh tujuh. Aku menghampiri Halim. Halim biasa sembahyang di Masjid Al-Amin setiap hari Jumaat. Aku berbual dengan Halim tentang lelaki tersebut.

” Halim nampak lelaki yang berdiri di tepi mimbar?
” Nampak. Patut ada orang di pihak masjid yang membantu lelaki itu.”
” Betul, aku cari dia lepas solat. Ingat nak ajak berbual.”
” Itu yang sepatutnya. Kenapa kau tak cari sampai jumpa?”
” Terlalu ramai jemaah di luar masjid. Apabila tak kelihatan aku terus pulang.”
” Patut kau cari sampai dapat.”
” Pasal apa? “
” Petang itu orang jumpa dia di kaki blok 19. “
“Dia tinggal kat situ? “
“Dia dijumpai mati di situ. Kata orang dia jatuh.”

” Subhanallah! “

 


Isnin, di depan komputer

Aku tidak sabar untuk ke Masjid Al-Amin petang nanti. Aku mahu bersolat Asar di sana. Memang ‘Nasi sudah menjadi bubur’. Dah terlambat. Tetapi ini satu pengajaran bagi semua jemaah agar tidak mementingkan diri sendiri. Di masjid nanti, aku akan mainkan semula episod ‘pemuda di tepi mimbar’. Kemudian aku akan bayangkan beberapa orang jemaah bingkas bangun untuk menghulurkan bantuan; termasuk diriku. Kata orang, dengan latihan baharulah kita dapat laksanakan sesuatu tugas dengan berkesan. Ramai orang yang memerlukan bantuan tetapi tidak pandai menyatakannya. Pemuda itu mencari bantuan di masjid tetapi tidak seorangpun jemaah yang dapat membaca hajatnya. Mereka perlukan latihan.

4 Responses to “SO LATe”

  1. nur asilah Says:

    Ceterpen ini amat sedih.Pada pendapat saya, para jemaah yang berada di masjid ketika pemuda itu ada,haruslah memberikan sedikit bantuan atau bertanya kepada pemuda itu akan masalah yang dihadapinya.

  2. aishah((: Says:

    Cerita ini ada juga meninggal kan kesan kepada saya..Tapi, yang saya hairan..Kenapa tidak ada satu orang atau pihak masjid yang cuba menghampiri lelaki itu dan cuba menolongnya…..walau bagaimanapun, ceterpen ni best lah!!

  3. introspectif Says:

    Best jugak cerita ni. Dah takde yang baru, CG?

  4. CG Karmin Says:

    ada Man, tapi saya jadikan puisi berlagu dahulu. biar betul-betul saya dalami sebelum saya jadikan ceterpen.


Leave a Reply