Mardhi Manggar

Julai 20, 2007

      Mardhi Manggar

     Jumaat 10.25 pagi. Awal Julai 2007.

     Hiruk-pikuk bilik darjah di tingkat tiga Sekolah Menengah Tanjong Katong dengan pelbagai nada suara yang masing-masing inginkan perhatian. 

      “Apa yang paling diminati semasa pertujukan Hari Kebangsaan? ”

      “Tentulah bunga api!”

      “Apa kata kita adakan pertunjukan bunga api?”

      “Kau gilalah Mardhi. Mana boleh?”

      “Boleh, kalau kita fikirkan caranya.”

      “Bagaimana?”

      Kelas Mardhi akan mengambil bahagian dalam satu peraduan sempena Sambutan Hari Kebangsaan. Mardi mencadangkan mereka mengadakan mempersembahkan acara letupan bunga api.  


      Kawan-kawan sekelasnya menganggap idea Mardhi luarbiasa tetapi tidak boleh dilaksanakan. Mardhi mengajak mereka mencari jalan untuk merealisasikan idea mereka.  

      “Teman-teman, kita sedang rangsang-rambang. Dalam proses ini tidak ada buah fikiran yang salah atau betul. Apa sahaja buah fikiran harus kita catatkan dan pertimbangkan.”

      Senyuman diwajah Mardhi tidak pernah luput. Sebaris gigi bak kapur putih tidak pernah gagal mengundang perhatian. Kelas tiba-tiba diam. Keriutan putaran kipas jelas kedengaran. 

      Keadaan kelas kembali tenang dan penuh jangkaan. 


      Minggu 12.30 tengahari. Pertengahan Julai 2007.

      Ketika mengikuti ibunya ke sebuah majlis walimatul urus, Mardhi ternampak sesuatu yang mencetus satu idea bagaimana acara letupan bunga api boleh diadakan dalam pertandingan sempena Hari Kebangsaan di sekolahnya.  Mata Mardhi terpaku pada sesuatu. Bukan pengantin; sepasang bunga manggar dan kumpulan hadrah menjadi perhatiannya!. Pukulan hadrah yang bertingkah rentak, pukul dan nada kedengaran dari jauh.  Semakin dekat, semakin bingit bunyi pukulan kompang dan gendang besar. Kelihatan kanak-kanak kecil menutup telinga mereka dengan telapak tangan. Mardhi pula tersenyum selebar-lebarnya. Hujung bibirnya hampir mencecah cuping telinganya. Terselak barisan gigi putih kapur di balik bibirnya.


      Tengahari ini, jawapan yang selama ini dicari-carinya ditemuinya. Rupa-rupanya jawapan bagi persoalan utama yang menjadi pertikaian di kelasnya dua hari lepas ada pada setiap minggu. Ada pada setiap majlis perkahwinan.  

      Mardhi mengeluarkan teklefon bimbit Nokia N73 dari poket kanannya. Dengan tenang dia memetik beberapa gambar. Benar kata CG Morshid, jalan keluar bagi masalah ada dekat dengan kita. Dada Mardhi lega berbaur kesyukuran.


      Khamis, 9 Ogos 2007. 10.45 pagi

      Gelombang demi gelombang tepukan dan jeritan melanda dewan sekolah.  Persembahan kelas Mardhi menggabungkan unsur tarian tradisional yang diiring persembahan hadrah.  Di belakang para penari, di balik sehelai kain rentang berwarna hitam yang panjang, 20 batang bunga manggar pelbagai warna dihulur tarik ke atas lalu ke bawah mengikut alunan kompang. Dari sudut para penonton, luncuran bunga manggar ke atas dan ke bawah bagai tembakan dan letusan bunga api di udara.  Paluan kompang yang tepat berdentam ketika mercupan-mercupan bunga manggar naik dan jatuh menghasilkan kesan bunyi yang mengkagumkan. Tidak lupa, beberapa orang penari menghasilkan bunyi deruan bunga api yang meluncur ke langit menerusi bibir mereka. Sungguh mengkagumkan! 


      Khamis, 9 Ogos 2007. 11.25 pagi.

      Kelas Mardhi memenangi peraduan.