SO LATe

Julai 23, 2007

Di perut kereta

Dah pukul 1. Pukul berapa waktu zohor? Ahh, dah tak jauh lagi. Jika aku dapat ruang letak kereta di pinggir ‘Kelab SAFRA’, tentu aku sempat dengar khutbah solat Jumaat.

Di dewan Solat

Seorang lelaki tiba-tiba muncul di balik mimbar lalu berdiri di kaki tangga sambil memandang para jemaah. Pelbagai pertanyaan timbul di benak para jemaah. Mereka tidak berani berkata-kata atau mengambil sebarang tindakan kerana menyangkakan pihak masjid akan berbuat sesuatu.

 


Lelaki itu berseluar jeans biru dan berjaket hitam yang tidak berzip di depan. Seluarnya juga terlondeh. Apa yang patut aku lakukan. Hah, nanti lepas solat aku cari dia dan ajak dia berbual. Kalau aku bangun ketika khutbah dan berbual dengan dia tentu tak elok di pandang mata. Hilang pulak pahala! Setiap jemaah hanya memerhatikan sahaja. Ada yang langsung tidak mempedulikannya kerana tidak mahu ibadat mereka terganggu. Tentu pihak masjid tahu apa yang harus dilakukan terhadap lelaki tersebut.

 


Seusai solat

Sejurus selepas iqamat dilaungkan, lelaki itu melangkah beberapa saf. Ada satu ruang kosong di tepi tiang yang berdekatan dengan tingkap besar di bahagian tepi dewan. Lelaki itu bersedia untuk bersolat bersama-sama.

 


Pada rakaat yang terakhir ketika rukuk, ruang itu kosong kembali. Lelaki itu tiada di situ. Selesai memberi salam kedua, kelihatan lelaki itu sedang jalan berlenggang di saf. Para jemaah membiarkannya sahaja. Lelaki itu berjalan di depanku. Dia berbau arak. Seorang pegawai masjid lantas berdiri kerana khuatirkan tabung-tabung yang berisi derma akan diambil oleh lelaki yang kini sudah berada di saf belakang. Selesai solat, aku segera meninggalkan dewan solat untuk mengesan lelaki tersebut. Tujuanku ialah untuk mengajaknya berbual dan mengetahui masalahnya. Ini bukan kerjaku tapi sekurang-kurangnya aku dapat membantu serba sedikit. Lelaki itu tidak aku temui. Lantas, aku pulang ke rumah. Mana perginya pemuda tadi? Mungkinkah ada orang lain yang telah membantunya?

 


Blok 546, Chua Chu Kang

Hujung minggu. Aku berada di Chua Chu Kang kerana meraikan majlis hari jadi bapa mertuaku yang ke lapan puluh tujuh. Aku menghampiri Halim. Halim biasa sembahyang di Masjid Al-Amin setiap hari Jumaat. Aku berbual dengan Halim tentang lelaki tersebut.

” Halim nampak lelaki yang berdiri di tepi mimbar?
” Nampak. Patut ada orang di pihak masjid yang membantu lelaki itu.”
” Betul, aku cari dia lepas solat. Ingat nak ajak berbual.”
” Itu yang sepatutnya. Kenapa kau tak cari sampai jumpa?”
” Terlalu ramai jemaah di luar masjid. Apabila tak kelihatan aku terus pulang.”
” Patut kau cari sampai dapat.”
” Pasal apa? “
” Petang itu orang jumpa dia di kaki blok 19. “
“Dia tinggal kat situ? “
“Dia dijumpai mati di situ. Kata orang dia jatuh.”

” Subhanallah! “

 


Isnin, di depan komputer

Aku tidak sabar untuk ke Masjid Al-Amin petang nanti. Aku mahu bersolat Asar di sana. Memang ‘Nasi sudah menjadi bubur’. Dah terlambat. Tetapi ini satu pengajaran bagi semua jemaah agar tidak mementingkan diri sendiri. Di masjid nanti, aku akan mainkan semula episod ‘pemuda di tepi mimbar’. Kemudian aku akan bayangkan beberapa orang jemaah bingkas bangun untuk menghulurkan bantuan; termasuk diriku. Kata orang, dengan latihan baharulah kita dapat laksanakan sesuatu tugas dengan berkesan. Ramai orang yang memerlukan bantuan tetapi tidak pandai menyatakannya. Pemuda itu mencari bantuan di masjid tetapi tidak seorangpun jemaah yang dapat membaca hajatnya. Mereka perlukan latihan.

Mardhi Manggar

Julai 20, 2007

      Mardhi Manggar

     Jumaat 10.25 pagi. Awal Julai 2007.

     Hiruk-pikuk bilik darjah di tingkat tiga Sekolah Menengah Tanjong Katong dengan pelbagai nada suara yang masing-masing inginkan perhatian. 

      “Apa yang paling diminati semasa pertujukan Hari Kebangsaan? ”

      “Tentulah bunga api!”

      “Apa kata kita adakan pertunjukan bunga api?”

      “Kau gilalah Mardhi. Mana boleh?”

      “Boleh, kalau kita fikirkan caranya.”

      “Bagaimana?”

      Kelas Mardhi akan mengambil bahagian dalam satu peraduan sempena Sambutan Hari Kebangsaan. Mardi mencadangkan mereka mengadakan mempersembahkan acara letupan bunga api.  


      Kawan-kawan sekelasnya menganggap idea Mardhi luarbiasa tetapi tidak boleh dilaksanakan. Mardhi mengajak mereka mencari jalan untuk merealisasikan idea mereka.  

      “Teman-teman, kita sedang rangsang-rambang. Dalam proses ini tidak ada buah fikiran yang salah atau betul. Apa sahaja buah fikiran harus kita catatkan dan pertimbangkan.”

      Senyuman diwajah Mardhi tidak pernah luput. Sebaris gigi bak kapur putih tidak pernah gagal mengundang perhatian. Kelas tiba-tiba diam. Keriutan putaran kipas jelas kedengaran. 

      Keadaan kelas kembali tenang dan penuh jangkaan. 


      Minggu 12.30 tengahari. Pertengahan Julai 2007.

      Ketika mengikuti ibunya ke sebuah majlis walimatul urus, Mardhi ternampak sesuatu yang mencetus satu idea bagaimana acara letupan bunga api boleh diadakan dalam pertandingan sempena Hari Kebangsaan di sekolahnya.  Mata Mardhi terpaku pada sesuatu. Bukan pengantin; sepasang bunga manggar dan kumpulan hadrah menjadi perhatiannya!. Pukulan hadrah yang bertingkah rentak, pukul dan nada kedengaran dari jauh.  Semakin dekat, semakin bingit bunyi pukulan kompang dan gendang besar. Kelihatan kanak-kanak kecil menutup telinga mereka dengan telapak tangan. Mardhi pula tersenyum selebar-lebarnya. Hujung bibirnya hampir mencecah cuping telinganya. Terselak barisan gigi putih kapur di balik bibirnya.


      Tengahari ini, jawapan yang selama ini dicari-carinya ditemuinya. Rupa-rupanya jawapan bagi persoalan utama yang menjadi pertikaian di kelasnya dua hari lepas ada pada setiap minggu. Ada pada setiap majlis perkahwinan.  

      Mardhi mengeluarkan teklefon bimbit Nokia N73 dari poket kanannya. Dengan tenang dia memetik beberapa gambar. Benar kata CG Morshid, jalan keluar bagi masalah ada dekat dengan kita. Dada Mardhi lega berbaur kesyukuran.


      Khamis, 9 Ogos 2007. 10.45 pagi

      Gelombang demi gelombang tepukan dan jeritan melanda dewan sekolah.  Persembahan kelas Mardhi menggabungkan unsur tarian tradisional yang diiring persembahan hadrah.  Di belakang para penari, di balik sehelai kain rentang berwarna hitam yang panjang, 20 batang bunga manggar pelbagai warna dihulur tarik ke atas lalu ke bawah mengikut alunan kompang. Dari sudut para penonton, luncuran bunga manggar ke atas dan ke bawah bagai tembakan dan letusan bunga api di udara.  Paluan kompang yang tepat berdentam ketika mercupan-mercupan bunga manggar naik dan jatuh menghasilkan kesan bunyi yang mengkagumkan. Tidak lupa, beberapa orang penari menghasilkan bunyi deruan bunga api yang meluncur ke langit menerusi bibir mereka. Sungguh mengkagumkan! 


      Khamis, 9 Ogos 2007. 11.25 pagi.

      Kelas Mardhi memenangi peraduan.

Rishma

Julai 4, 2007

‘ungkapan kata selindung hasrat nan di hati
andainya ditafsir terserlah makna yang tersembunyi
renungan mata bukan pandangan biasa

bertahun handai terjalin hingga waktu ini
gurauan mesra menghiasi masa tika bersama
semakin berputik perasaan ini

kalimah cinta selongkar relung nan dicita
mungkinkah dibiar terdampar kasih tak kesampaian
naluri bisik bukannya dambaan cinta’

Cuti sekolah berakhir juga. Melina memasukkan daftar para pelajar menengah satu ke dalam fail. Selepas perhimpunan nanti dia akan ke kelas 1F di tingkat empat. 40 orang pelajar baru akan menantinya.


15 mint kemudian, dia sedang berdiri di depan bilik darjah. Melina memeriksa senarai nama para pelajar satu-persatu. Nama Rishma Bte Admin mengetuk-ngetuk kotak kenangannya.

‘kini baru su sedari
selama ini kau ku sayangi
andai bukan itu hakikatnya
mengapa rindu yang ku rasa

mungkin tiada ku fahami
tidak dapat ku nafikan lagi
beban rahsia kian membakar diri’


14 tahun yang lalu, Melina berpisah dari suaminya. Itulah kesalahan paling besar yang pernah dilakukannya. Melina mengejar impiannya. Gaya hidup mewah mengelabui matanya. Suaminya ketika itu tidak mampu menampung kehendaknya. Jalinan kasih sepanjang tujuh tahun gentas begitu sahaja. Mahligai yang dibina singkat sejarahnya; dua tahun sahaja.


Setelah bercerai, Melina sempat menikmati kemewahan hidup bersama Razeck, suami barunya. Kemewahan dikecap, sengsara merentap. Razeck kuat main kayu tiga. Melina yang pernah terlibat dalam permainan itu akhirnya tewas dalam permainan yang disangkanya menyeronokkan sebelum ini.


Rishma berada di depan Melina kini.

 “Ibu, Ayah kirim salam.”

“Mengapa awak panggil saya ibu?”

“Ayah selalu tunjuk gambar cikgu. Kata ayah anggap cikgu seperti ibu.”

“Bagaimana ayah tahu tentang saya?”

“Dulu, ayah pernah bersama…”

Melina segera memeriksa keterangan peribadi Rishma. Tertera nama penuh ayah Rishma: Admin Bin Sarimon.


‘ikhlas ku nyatakan
kau yang ku sayangi
kau yang ku cintai
walau tak mampu ku miliki

ingin ku luahkan
mungkin satu hari
kan terbuka pintu hati
dapat jua kau terima

diri ku akhirnya’
 

Melina mahu kembali ke sebuah rumah tiga bilik di Telok Blangah Crescent. 14 tahun yang lalu, dia dan Admin bertengkar di lantai dua flat lama itu. Razeck sedang menantinya di dalam kereta BMW biru kelasi siri terbaru.

Berdasarkan lagu ‘Dambaan’
Lagu dan lirik oleh Didicazli
Kesemua hakcipta terpelihara.