ILUS
Mei 19, 2007
” di ruang ini ku berdiri
menanti masa nan pasti
rembesan pelbagai kenangan
rindui yang tersayang
Setiap tahun ku hitung. Setiap purnama ku kira. Setiap hari ku taksir subuh ke dinihari. Setiap 60 saat ku campur-tolak. Ku pertimbang setiap detik yang berlalu; bagai akauntan. Tidak sedikitku yang terlepas dari perhatianku. Tidak sedikitpun yang rela kutolak-ansur. Masa nan pasti. Inilah yang sedang kunantikan. Aku sendang menantikan masa nan pasti.
“Ibu…ayah, ku pohon kesejahteraan kesihatanmu agar panjang usiamu. Pulangku ke pangkuan mu berdua adalah untuk mengembalikan keyakinan. Terampunkah kesalahanku ibu. Terampunkah dosaku ayah terhadapmu?”
Rembesan pelbagai kenangan memperkuatkan lagi kemahuanku. Tirai skrin di kepalaku sering kali menayangkan detik-detik indah; nostalgik. Raut wajah ibu dan ayah paling terampil. Di setiap penjuru kotak mindaku ianya tertayang; menyelinap di celah-celah kepasrahan dan pengharapan.
24.7.2007.
Tibalah saatnya yang ditentukan. Kelam jajaran tak kupedulikan. Kamar-kamar berdinding tiga di mana penghuninya berpaut pada batang besi dengah wajah-wajah yang pelbagai raut-resannya bagai corengan; palitan lukisan gaya basi yang tidak aku minati lagi. Ketika ditarik penuil itu nanti, lenyaplah kegelapan dalam hidupku.
Di hujung zikir dan doa pasti ku capai buku kuning itu. Ku sorot penumpuanku satu persatu di baris-baris bersarat falsafah yang terselindung di balik kata-kata yang mudah dicerna ertinya. Hidup berteras falsafah. Falsafah membentuk akidah dan sikap. Sikap penentu tindakan. Dengan tindakan terjamin pencapaian . Pencapaian pula mengacu gaya hidup. Rukun hidup persis rukun agama. Dari falsafah ke gaya hidup; serupa. Dari syahadah ke solat, puasa ke zakat lantas haji ke Mekah, ianya di depan mata – mata hati dan jiwa yang selama ini kabur.
“Ayah, kau mengajarku erti harga diri sebenar. Kirimanmu enam bulan yang adalah kurikulum pendidikan yang selama ini ku cari. Tak ku alami di sekolah atau di mana-mana sebelum ini. Buku kuning itu adalah panduan hidupku. Terima kasih ayah.” Jeriji ini jadi saksi renyaian kekesalan di hening subuh dan dinihari. Goresan pengalaman memercik tempiasan kenangan yang meluka bakar. Aku pasrah padaMu; Tuhan.
Namun, seluas manapun keyakinan yang ku tambak, masih meredam kilas-balik itu. Detik-detik hitam cela riwayat hidupku. Silhouete berlumur itu masih memomoki. Kilasan neon. Gentaran muzik. Hilai tawa perawan dan teruna. Hayunan pinggul dan dedahan aurat yang mengghairahkan. Masih meredam kilasan itu; cela riwayatku.
Ketika terlerai pasungan itu tanpa bertangguh dan tanpa keraguan ku ilus bayangan hitam silhouette berlumur itu. Kelam jajaran takkan ku pedulikan. Sudah ku duga. Sudah ku tekadkan dalam hati. Kekelaman akan berganti sinar yang terang andai aku tidak putus harap dan terus berusaha. Apa saja lowongan adalah terobosan. Sekecil manapun peluang akan ku manfaatkan. Pasti ku ilus bayangan hitam silhoute berlumur itu.



