Redah
April 5, 2007
“Mencari siapakah diri sebenar seperti meredah rimba nan liar.”
Terngiang-ngiang baris puisi ini tak semena-mena. Aku pernah mendengarnya di dalam kelas bahasa Melayu. Kini kelas itu lebih kurang dua ribu lima ratus kilometer jauh jaraknya dari sini.
“Sekitaran sungguh asing tiada pasti. Pernahkah kau teroka. Oh rimba, di hatimu.”
Asing sekali sekitaran di sini pada mulanya. Namun demi cita-cita aku rela tercampak jauh dari keselesaan. Di tempat asing ini baru terbetik pertanyaan. Bak pengembara yang meredahi sekitaran yang asing. Bak peneroka yang meredahi rimba-rimba. Akulah peneroka itu. Bezanya aku peneroka rimba kehidupan. Hidupku ingin kutentukan. Aku pengembara yang sedang meneroka jiwaku sendiri.
“Mendaki gunung-ganang kehidupan. Meredah lembah-lurah di jiwa. Ranjau, duri, pedih dan luka menyakitkan. Memaksa ku bertanya dapatkah ku bertahan.”
Tiga tahun aku di sini. Setiap hari ku harungi dengan kecekalan hati yang waja. Sekitaran yang asing pada mulanya menjadi biasa kini. Kebiasaan yang asing pada mulanya menjadi basahan kini. Cuma, aku ambil patinya dan buang sampahnya. Adakalanya hampir bonyoh jati diriku. Masakan tidak, nikmat dunia hanya sejengkal jauhnya dari diri yang terasing ini.
“Hidup ini perlu ditentukan. Cita, usaha dan yakin tanda jaya.”
Inilah pegangan ku. Inilah bekalan dari ayah dan ibuku. Inilah pautan kepercayaan diriku. Berbekal nilai-nilai ini, baik dalam kedahagaan atau baik dalam kebuluran, ku tempuhi segala kegetiran dengan kompas hidup yang ku genggam erat. Petang ini aku akan kembali ke tanah air. Aku pasti harus meredah rimba hidup sekali lagi. Pasti Singapura sudah berubah dengan pesatnya.
Fremantle Harbour masih lengang lagi. Beberapa ekor burung camar hinggap di rantai-rantai bercat putih yang memagari pinggir pelabuhan. Deretan pelbagai gerai dan dikunjungi para pelanggan. Cafe
Lebanon sibuk pagi ini. Aroma kopi hitam pekat dan dentingan sudu di cawan terkesan sekali-sekala. Petang ini seorang lepasan universiti luar negeri akan pulang ke tanah air. “Ke mana pulang bangau , kalau tidak ke belakang kerbau.”
“Perlu punya ketabahan untuk mencari erti hidup.”
Puisi itu bergema lagi ketika aku menjenguk ke luar tingkap ‘Boeing 747′. Pesawat ‘Qantas’ menderu laju meredah angkasa raya bumi ‘Kangaroo’.



