Gagak-Gagak Itu
Hazli malas ke sekolah. Baginya pergi ke sekolah hanya membuang masa sahaja. Tiada apa-apa yang menarik hatinya. Hazli menggenyeh-genyeh matanya yang tidak gatal.
“Buat apa datang ke sekolah. Buang masa sahaja. Aku tidur di rumah lagi bagus.”
Bilik Hazli berselerak. Semalaman dia menonton video hip-hop. Pagi ini bukan main liat baginya untuk bangun dari tidur. Pertandingan menari yang dimasukinya perlukan Hazli berlatih lebih giat lagi. Masalahnya ialah selepas berlatih dia kepenatan. Hazli tidak bermaya untuk membuat kerja rumah. Keesokan harinya dia malas untuk ke sekolah.
Dia termenung sejenak sambil memerhatikan sekawan burung gagak yang sedang menguak-nguak di dahan pohon sena muda. Kalau bukan kerana burung-burung gagak mahu saja Hazli berhenti sekolah.
“Tak kira panas atau hujan. Tak kira pagi atau petang, kau tak pernah putus asa. Kau terbang ke sana dan ke mari untuk cari seketul rezeki. Ada kalanya aku mahu jadi seperti mu gagak.” Hazli bangkit lalu menghampiri tingkap. Di balik kaca bersalut filamen gelap, Hazli menduga-duga sambil terjengket-jengket untuk mencari apakah yang menyebabkan gagak-gagak itu heboh pagi-pagi lagi.
“Apa yang si gagak ghairahkan ni? Oh…ada sarang…eh ada telur di dalamnya!”
Rupa-rupa ada sebuah sarang di ranting pokok itu. Ada sebiji telur di dalamnya. Inilah kali pertama Hazli perasan akan sarang tersebut. Jika dia tidak pedulikan aksi burung-burung gagak itu, tentu dia tidak berkesempatan melihat sarang dan telur tersebut. Tiba-tiba timbul keghairahan dalam dirinya. Seghairah burung-burung gagak yang menguak-nguak tidak henti-henti.
Sekawan burung gagak itu silih berganti hinggap di dahan dekat sarang itu. Satu hinggap satu terbang pergi. Mentari semakin naik tinggi. Fajar berganti pagi. Pagi menongkat ke tengahari. Hazli ke bilik air.
Hazli mengenakan pakaian sekolahnya. Dia mesti ke sekolah. Selepas sekolah, Hazli terus ke tempat latihan menari.
“Kenapa kau lambat datang ke latihan?”
“Aku ada kelas tambahan tadi.”
“Apa dah kena dengan kau? Biasanya kau tak ke kelas macam tu.”
“Dulu aku tak peduli sekarang aku dah tak macam tu lagi.”
Sepulangnya dari latihan menari, Hazli terus ke tingkap di biliknya. Dia ingin melihat sarang gagak itu lagi. Seekor gagak sedang mengerami telur. Seekor lagi berdiri di sebelahnya. Kali ini burung-burung itu tidak menguak-nguak lagi. Petang mengengsot ke senja. Berkapas-kapas awan kelabu berlatarkan langit sephia yang makin menjingga kemerah-merahan.
Muazin melaungkan azan maghrib dari corong stesen radio Warna 94.2. Hazli mendengar alunan azan dengan teliti. Kesayupan menyerapi dadanya ketika menghayati alunan azan.
“Setiap sesuatu mereka lakukan dengan ketekunan. Ketika menguak-nguak tekun. Ketika diam pun mereka tekun.”
Seusai azan berkumandang, Hazli terus ke bilik air. Seberkas keinsafan bertitik di jiwanya.
Februari 21, 2007 pada 1:44 pm
Cikgu.Dari perspektif saya sebagai pembaca remaja,warna-warna pada perkataan di dalam cerita cikgu memainkan peranan penting kerana ia membuat saya ingin membaca selajuntnya.Sudah tentu warna warna ini adalah penanda bukan? Hijau=frasa berbunga. Aniwae, saya find plot cerita ini a bit BORING.no Offence.Tetapi plot nya bagus
dan ending nya !.Ummmphh.! Jadi betullah kata cikgu bahawa ending amat penting kerana ending yang bagus leaves an impact to the reader.Kan?
Mei 27, 2007 pada 10:29 am
heyllo!! this is good..i always refer and read your compo to make myself well prepared for my malay exams…