Wak Jono
Januari 28, 2007
Lebuh raya Selatan-Utara menyajikan panorama banjaran gunung yang tidak putus-putus. Kilasan rumah-rumah papan bagaikan rentak metronom yang memacu alunan lagu instrumental ‘Umbara’ nyanyian kumpulan pemuitis tanah air.
Khaleed termenung panjang di dalam bas. Dia teringatkan Masjid Al-Amin. Khaleed teringatkan Wak Jono. Wak Jono teman se safnya. Saf pertama setiap kali mereka bersolat isyak di masjid di kaki ‘Mount Faber’. Kamal Ariff berada di sebelahnya. Kamal teman sedarjah Khaleed. Perasaan Khaleed berbaur. Dia bersyukur dalam keghairahan.
“Mal, betullah.”
“Apa yang betul?”
“Kata Wak Jono.”
“Apa Wak Jono cakap pada kau.”
“Katanya, ada masalah ada peluang.”
“Macam mana. Apa maksud kau?”
” Kan CG Morshid tengah buntu pasal masalah latihan muzikal Wak Tua. Kau yang kasi tau aku. Bila aku tahu ada orang selalu ponteng latihan, aku jengukkan muka. Harap-harap CG Morshid akan buka peluang pada aku. Itu harapan aku saja. Kini harapan tu dah jadi kenyataan.”
“Untung kau Leed.”
“Bukan untung tetapi pengalaman. Wak Jono bilang aku bahawa dalam masalah ada peluang.”
Wak Jono memang sentiasa bersikap positif. Dalam masalah ada peluang katanya. Dulu Wak Jono penjual sate. Beliau menjaja dari pagi ke malam untuk menyara hidup keluarganya. Baginya tidak ada jalan mudah untuk hidup. Untuk hidup kita mesti berani, bersabar dan berbakti.
Sebelum itu, Wak Jono bekerja di ‘Harbour Boat’ sebagai pemunggah muatan dari kapal. Kerjanya berat. Lebih berat lagi ialah menerima kerahan dari mandur-mandur yang bengis dan kasar. Mujur ada seorang putih yang mengubah pemikirannya. Menurut beliau, untuk terus bekerja keras, kita perlu makan daging. Daging berprotein. Peranannya ialah membaiki otot-otot yang kerosakan kerana dikerah tenaga dan kejang kendurnya setiap hari.
Wak Jono mengambil keputusan untuk menjual sate sungguhpun kerja itu berat dan memakan masa yang panjang. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari paksaan dan kerahan mandur-mandur ‘Harbour Boat’. Timbul perasaan yakin diri dalam diri Wak Jono. Dia mahu berusaha sendirian.
Pentas di bilik gala di Hotel Sheraton cukup besar. Susunan meja bulatan berkerusi sepuluh membayangkan kegahan acara yang bakal berlangsung.
“Berdentang jam malam dua belas kali. Di bawah lampu berdiri. Wak Tua sendiri. Kerut-merut muka penat sehari,” seru Hidayah. Hidayah gadis 2 Ekspress.
” When the clock struck twelve times. Under the street lamp. Wak Tua alone. Drenched in exhaution….” sambut Hafiz Amiran, remaja lelaki berawakan India.
Khaleed dan teman-temannya mengadakan persembahan di sebuah hotel bertaraf 5 bintang.
Khaleed teruja. Dia terpukau dengan alunan muzik hip-hop Wak Tua.
Persembahan muzikal ‘Wak Tua’ hebat. Persembahan berbilang media mengkagumkan para hadirin di acara pelancaran Seniman Tunas di Kuala Lumpur.
Selepas Isyak Khaleed duduk di tingkat dua serambi Masjid Al-Amin. Khaleed mengucapkan terima kasih kepada Wak Jono.
“Terima kasih Wak. Saya terhutang budi kepada Wak. Kalau Wak tak nasihatkan saya supaya tangguk di air keruh, tak mungkin saya dapat peluang ke Kuala Lumpur.”
“Ora opo. Tak puayah terimo kasih. Di mono-mono pun eneng. Ada. Peluang itu mesti kito tahu di mono. Langsung kito tunggu podo mosonyo.
” Ye lah Wak Jono, pengalaman Wak begitu berharga sekali.”
“Wes…wes. Sudah-sudah. Kito balik sekarang. Esok kau sekolah.”
Nasihat Wak Jono memang berguna. Khaleed kagum terhadap kewibawaan Wak Jono.



