Remlah
Januari 7, 2007
Remlah berada di dewan menunggu untuk membayar cukai jalan. Dewan menunggu di LTA digegarkan oleh suara seorang lelaki Cina tua yang menengking-nengking ketika berbual di telefon. Dia marahkan seseorang dengan berbahasa Melayu pasar. Kemarahan dan kemahuannya jelas sekali.
“Lu kasi gua manyak susah! Latuk nenek mati. Sikalang sapa mati? Lu yangan ini maciam lah. Cakap mutut-mutut belapa lu mau bayar. Sikit pun takla apa. Yanyi lu kasi. Takla main-main. Lu ala paham ka??” sedikitpun dia tidak mempedulikan reaksi orang-ramai di sekelilingnya.
Orang-ramai di dewan menoleh ke arah lelaki Cina tua itu. Remlah berasa tidak kena pada mulanya. Namun begitu lama-kelamaan perasaan tidak kena itu luput. Perasaan itu berganti dengan perasaan lain. Remlah terasa satu suntikan semangat . Rasa rendah diri dan sikap pemalunya luntur sama sekali.
Nombor beraturnya – 213 berkelip-kelip di papan pemberitahu. Remlah ke kaunter dan benar-benar tahu kemahuannya. Aku akan buat apa yang perlu hari ini bisik hati kecil Remlah yang mendapat semangat baru.
“Saya tidak dapat kepingan cukai jalan raya. Ini mungkin berkaitan dengan siasatan berkenaan IU kereta suami saya. Tempohari, pegawai yang menyiasat telah padam semua saman yang dikeluarkan kerana ini memang salah LTA. Tapi, mereka lupa padamkan masukan saman di pangkalan data. Sebab itu saya tidak boleh bayar semalam. Mereka suruh saya datang hari ini. Malangnya saya dikenakan saman 40 dolar kerana lambat bayar sehari. Kelambatan ini bukan saya sengajakan,” bergema suara Remlah di dewan menunggu LTA di Sin Ming itu.
Tidak seperti biasa, Remlah sengaja menguatkan suaranya. Remlah sendiri kagum dengan nada keberanian yang bersalun dalam getaran suaranya. Timbul keberanian yang selama ini tersumbat di saluran perasaannya. Remlah menyatakan betul-betul apa yang terlintas di kepalanya. Tidak ada satu pun buah fikirannya yang tidak terpantul dari bibirnya. “Puan kena bayar dulu kemudian……”
“Saya dah buat keputusan. Saya akan bayar saman ini dulu dan kemudian saya akan mohon saman ini ditarik-balik. Saya juga akan buat aduan tentang kelecehan yag disebabkan oleh jabatan anda.” Remlah meninggalkan dewan itu sejurus selesai urusannya di situ.
Dalam perjalanan ke tempat meletak kereta, mata Remlah mencari-cari lelaki Cina tua tadi. Remlah menemuinya di tempat meletak kereta. Tanpa berlengah Remlah menjabat tangan lelaki itu.
“Encik, terima kasih kerana mengajar saya erti berani berterus-terang,”
“Apa lu cakap?” Lelaki Cina tua itu termangu sambil tersenyum tipis.



