Wak Jono

Januari 28, 2007

Lebuh raya Selatan-Utara menyajikan panorama banjaran gunung yang tidak putus-putus. Kilasan rumah-rumah papan bagaikan rentak metronom yang memacu alunan lagu instrumental ‘Umbara’ nyanyian kumpulan pemuitis tanah air.

Khaleed termenung panjang di dalam bas. Dia teringatkan Masjid Al-Amin. Khaleed teringatkan Wak Jono. Wak Jono teman se safnya. Saf pertama setiap kali mereka bersolat isyak di masjid di kaki ‘Mount Faber’. Kamal Ariff berada di sebelahnya. Kamal teman sedarjah Khaleed. Perasaan Khaleed berbaur. Dia bersyukur dalam keghairahan.

“Mal, betullah.”

“Apa yang betul?”

“Kata Wak Jono.”

“Apa Wak Jono cakap pada kau.”

“Katanya, ada masalah ada peluang.”

“Macam mana. Apa maksud kau?”

” Kan CG Morshid tengah buntu pasal masalah latihan muzikal Wak Tua. Kau yang kasi tau aku. Bila aku tahu ada orang selalu ponteng latihan, aku jengukkan muka. Harap-harap CG Morshid akan buka peluang pada aku. Itu harapan aku saja. Kini harapan tu dah jadi kenyataan.”

“Untung kau Leed.”

“Bukan untung tetapi pengalaman. Wak Jono bilang aku bahawa dalam masalah ada peluang.”

Wak Jono memang sentiasa bersikap positif. Dalam masalah ada peluang katanya. Dulu Wak Jono penjual sate. Beliau menjaja dari pagi ke malam untuk menyara hidup keluarganya. Baginya tidak ada jalan mudah untuk hidup. Untuk hidup kita mesti berani, bersabar dan berbakti.

Sebelum itu, Wak Jono bekerja di ‘Harbour Boat’ sebagai pemunggah muatan dari kapal. Kerjanya berat. Lebih berat lagi ialah menerima kerahan dari mandur-mandur yang bengis dan kasar. Mujur ada seorang putih yang mengubah pemikirannya. Menurut beliau, untuk terus bekerja keras, kita perlu makan daging. Daging berprotein. Peranannya ialah membaiki otot-otot yang kerosakan kerana dikerah tenaga dan kejang kendurnya setiap hari.

Wak Jono mengambil keputusan untuk menjual sate sungguhpun kerja itu berat dan memakan masa yang panjang. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari paksaan dan kerahan mandur-mandur ‘Harbour Boat’. Timbul perasaan yakin diri dalam diri Wak Jono. Dia mahu berusaha sendirian.

Pentas di bilik gala di Hotel Sheraton cukup besar. Susunan meja bulatan berkerusi sepuluh membayangkan kegahan acara yang bakal berlangsung.

“Berdentang jam malam dua belas kali. Di bawah lampu berdiri. Wak Tua sendiri. Kerut-merut muka penat sehari,” seru Hidayah. Hidayah gadis 2 Ekspress.

” When the clock struck twelve times. Under the street lamp. Wak Tua alone. Drenched in exhaution….” sambut Hafiz Amiran, remaja lelaki berawakan India.

Khaleed dan teman-temannya mengadakan persembahan di sebuah hotel bertaraf 5 bintang.

Khaleed teruja. Dia terpukau dengan alunan muzik hip-hop Wak Tua.

Persembahan muzikal ‘Wak Tua’ hebat. Persembahan berbilang media mengkagumkan para hadirin di acara pelancaran Seniman Tunas di Kuala Lumpur.

Selepas Isyak Khaleed duduk di tingkat dua serambi Masjid Al-Amin. Khaleed mengucapkan terima kasih kepada Wak Jono.

“Terima kasih Wak. Saya terhutang budi kepada Wak. Kalau Wak tak nasihatkan saya supaya tangguk di air keruh, tak mungkin saya dapat peluang ke Kuala Lumpur.”

“Ora opo. Tak puayah terimo kasih. Di mono-mono pun eneng. Ada. Peluang itu mesti kito tahu di mono. Langsung kito tunggu podo mosonyo.

” Ye lah Wak Jono, pengalaman Wak begitu berharga sekali.”

“Wes…wes. Sudah-sudah. Kito balik sekarang. Esok kau sekolah.”

Nasihat Wak Jono memang berguna. Khaleed kagum terhadap kewibawaan Wak Jono.

Remlah

Januari 7, 2007

Remlah berada di dewan menunggu untuk membayar cukai jalan. Dewan menunggu di LTA digegarkan oleh suara seorang lelaki Cina tua yang  menengking-nengking ketika berbual di telefon. Dia marahkan seseorang dengan berbahasa Melayu pasar. Kemarahan dan kemahuannya jelas sekali.

“Lu kasi gua manyak susah! Latuk nenek mati. Sikalang sapa mati? Lu yangan ini maciam lah. Cakap mutut-mutut belapa lu mau bayar. Sikit pun takla apa. Yanyi lu kasi. Takla main-main. Lu ala paham ka??”  sedikitpun dia tidak mempedulikan reaksi orang-ramai di sekelilingnya.

Orang-ramai di dewan menoleh ke arah lelaki Cina tua itu. Remlah berasa tidak kena pada mulanya. Namun begitu lama-kelamaan perasaan tidak kena itu luput. Perasaan itu berganti dengan perasaan lain. Remlah terasa satu suntikan semangat . Rasa rendah diri dan sikap pemalunya luntur sama sekali.

Nombor beraturnya – 213  berkelip-kelip di papan pemberitahu. Remlah ke kaunter dan benar-benar tahu kemahuannya. Aku akan buat apa yang perlu hari ini bisik hati kecil Remlah yang mendapat semangat baru.

“Saya tidak dapat kepingan cukai jalan raya. Ini mungkin berkaitan dengan siasatan berkenaan IU kereta suami saya. Tempohari, pegawai yang menyiasat telah padam semua saman yang dikeluarkan kerana ini memang salah LTA. Tapi, mereka lupa padamkan masukan saman di pangkalan data. Sebab itu saya tidak boleh bayar semalam. Mereka suruh saya datang hari ini. Malangnya saya dikenakan saman 40 dolar kerana lambat bayar sehari. Kelambatan ini bukan saya sengajakan,” bergema suara Remlah di dewan menunggu LTA di Sin Ming itu.

Tidak seperti biasa, Remlah sengaja menguatkan suaranya. Remlah sendiri kagum dengan nada keberanian yang bersalun dalam getaran suaranya. Timbul keberanian yang selama ini tersumbat di saluran perasaannya. Remlah menyatakan betul-betul apa yang terlintas di kepalanya. Tidak ada satu pun buah fikirannya yang tidak terpantul dari bibirnya. “Puan kena bayar dulu kemudian……”

“Saya dah buat keputusan. Saya akan bayar saman ini dulu dan kemudian saya akan mohon saman ini ditarik-balik. Saya juga akan buat aduan tentang kelecehan yag disebabkan oleh jabatan anda.” Remlah meninggalkan dewan itu sejurus selesai urusannya di situ.

Dalam perjalanan ke tempat meletak kereta, mata Remlah mencari-cari lelaki Cina tua tadi. Remlah menemuinya di tempat meletak kereta. Tanpa berlengah Remlah menjabat tangan lelaki itu.

“Encik, terima kasih kerana mengajar saya erti berani berterus-terang,”

“Apa lu cakap?” Lelaki Cina tua itu termangu sambil tersenyum tipis.