Teka-Teki
Disember 14, 2006
Masuk ini sudah dua kali kami terkena. Antoni memang bijak berteka-teki.
“Mengapa Amerika menggugurkan bom atom di Hiroshima dan
Nagasaki?”
“Sebab di Tokyo ada ‘Ultraman’!” Berdekah-dekah kami ketawa. Antoni memang lucu. Bas dikenderai melewati kelok 44. Dengan erti yang lain, ada 44 buah selekoh yang harus dilepasi. Bukan tugas yang mudah bagi para pemandu. Bukan juga tugas yang mudah bagi para penumpang yang tidak tahan terhoyong-hayang. Dengan teka-teki itu sekurang-kurangnya hilang rasa mual.
Setibanya di selekoh terakhir, bas berhenti di sebuah kedai runcit. Di celah-celah pagar manusia aku terjengket-jengket. Terjengok-jengok untuk melihat sendiri kacang Minang terenak itu. Tentu hebat kacang yang dijual di sini. Tentu enak sekali!
“Kita akan berhenti di sini selama 15 minit. Anda patut mencuba kacang bakar bumi Minang yang paling sedap.”
Apabila aku menginjakkan kaki ke tanah, kedai runcit itu telah dikerumuni orang.
Aku mendapat ilham. Sebuah teka-teki tiba-tiba muncul di benak fikiranku. Kini giliran Antoni untuk menjawab. Pemandu pelancung berbangsa Minang ini memang lucu dan pandai berjenaka. Kini aku ingin mengujinya. Bolehkah Antoni menerima apabila dia yang menjadi bahan jenaka.
Antoni sedang berbual dengan seorang lagi pemandu pelancong dari bas nombor satu. Aku tidak menunjukkan sebarang riak keghairahan. Teka-teki ini akan aku kemukakan dengan berselamba agar Antoni tidak mengesyaki apa-apa.
“Antoni, memang hebat kacang Minang. Sedap sekali,” aku mencuri perhatian Antoni.
“Ia kah Pak?” tanya Antoni. Dia sentiasa menampilkan keramahannya.
“Betul-betul enak!” aku sengaja tinggikan suara.
“Tapi tahukah Antoni apakah kacang Minang yang paling sedap?” tanpa berlengah aku mengajukan pertanyaan.
“Kurang pasti Pak.”
“Tolong kopekkan kacang ini,” aku menghulurkan sebiji kacang berkulit.
“Ini Pak,” Antoni menyerahkan kacang yang telah dikopeknya kepada ku.
“Hah, inilah kacang Minang yang paling sedap,” aku menampilkan sebiji isi kacang.
“Maksudnya Pak?” ternyata Antoni kehairanan.
“Kacang Minang yang paling enak ialah yang dikopek oleh orang lain untuk kita!”
Kesunyian suasana di pinggir kedai runcit itu pecah dek ketawa yang berderai-derai. Hendry, Antoni dan aku berdekah-dekah. Sambil ketawa aku jeling raut wajah Antoni. Ternyata dia boleh menerima gurauan.




Januari 24, 2007 at 7:37 am
jika saya seperti orang yang berteka-teki kepada antoni saya akan selalu membuat kawan saya marah dan membuatnya rasa bagaimana diteka oleh orang
April 1, 2007 at 2:50 pm
Kalau saya, saya boleh take it sebab saya ‘thick skin’. Tetapi ade orang tidak boleh menerima gurauan begini dan selalunya mereka adalah perempuan.