‘Jalan MOH’

Jun 3, 2006

"Pakcik ada orang nak jumpa pakcik tadi. Dia cari pakcik kat sini. Saya suruh tunggu lepas 8 pagi," laung Ahmad dari tapak mencuci di sebelah pejabat berdinding papan dan beratap genting merah pulasan.
"Siapa?" sungguhpun aku tahu apa tujuan orang itu hendak berjumpa dengan aku, pingin juga aku mengenalinya.
"Katanya guru sekolah menengah."
"Baik aku tunggu,"
basikal 'raleigh' tua ku dorong hingga ke hujung padang besar di tengah-tengah tiga bangunan besar di tapak perkhemahan NPCC di Kampung Noordin, Pulau Ubin.
Namaku dilaung lagi ketika aku sedang berkayuh untuk ke pondok rehat yang terletak di belakang pejabat. Ianya terletak betul-betul di atas bukit. Di belakang pagar di bukit ini ada sebuah tanah perkuburan orang-orang Bugis. Aku membelok ke kiri dan menuju ke arah laungan itu. Ahmad kelihatan bersama tiga orang lelaki bercelana tiga suku. Seorang daripada mereka jelas berbangsa India. Yang berbadan gempal dan tinggi tidak menunggu aku turun dari basikal. Dia bingkas mendekatiku. Aku pasti dia inginkan beberapa maklumat tentang pengalamannya berkhemah dipantai Noordin. Jawapannya seakan-akan sudah aku pastikan.
"Jangan berbual di sini, kita ke atas bukit. Di bahagian belakang ada tempat duduk menghadap laut. Angin kuat dan nyamuk tidak suka tempat itu," ajakku. Memang tempat itu tempat kegemaranku. Sudah bertahun aku berehat di situ setiap hari.
"Baiklah pakcik," lelaki berkemeja sukan berwarna merah dan berseluar tiga suku itu mengangguk. Dua orang kawannya mengekori dari belakang.
"Nama saya Morshid. Panggil saja CG," lelaki bermisai dan berjanggut itu berkulit cerah. Suaranya sedikit garau. Mungkin kerana kepenatan atau tidak cukup tidur malam tadi.
Kami berbual selama lebih kurang setengah jam di atas ambin beralaskan papan kayu himpit. Beberapa pertanyaan lazim diutarakan kepadaku. Namun inilah kali pertama ada pendatang dari Pulau Besar yang menemuiku untuk bertanya. Jelas daripada perbualan kami, dia dahagakan maklumat. Dia mahukan jawapan bagi persoalan yang menghantuinya. Aku serius, perkataan hantu memang tepat untuk menerangkan tentang pengalaman lelaki ini.
"Pakcik siapa yang mendiami kawasan itu?"
"Masyarakat orang halus."
Jawab ku tidak bersembunyi-sembunyi.
Pengalaman mereka lepas dinihari bersebab. Masyarakat orang halus di pantai tersinggung kerana kawasan mereka dicerobohi. Sebenarnya mereka tidak menghalang sesiapapun mengunjungi dan menginap se malam di situ. Namun ada beberapa syarat yang mereka kenakan. Pengunjung harus minta izin. Seberkah Fatehah dan tiga laungan azan sudah mencukupi untuk menandakan kawasan inapan sementara mereka. Bukan apa, ada di kalangan masyarakat orang halus yang memang suka mengganggu. Itulah cara mereka menampilkan keberadaan mereka sebagai syarat bahawa tempat tersebut tempat mereka. Para pengunjung masyarakat asing. Mereka harus mengakui hak milik siapakah tapak perkhemahan yang terkenal itu. Andai syarat utama ini tidak dipenuhi, bukan lagi tanggung jawab masyarakat tersebut jika ada di kalangan mereka yang mengganggu sepanjang malam. Satu pantang masyarakat halus tidak harus dilanggar. 'JANGAN BERCAKAP BESAR!" Tiada papan tanda yang boleh mereka tegakkan. Jika ini boleh dilakukan, tentu lebih mudah bagi masyarakat manusia bandar yang kurang prihatin itu memahami syarat-syarat tersebut. Sebagai amaran, masyarakat orang halus menandakan kawasan itu dengan beberapa alamat yang tidak boleh tidak pasti dialami oleh sesiapa sahaja yang bermalam di situ.
"Apakah tanda-tanda tersebut pakcik?" lelaki yang bernama CG Morshid tidak menghiraukan beberapa ekor nyamuk yang menyantap darah di betis kanan dan kirinya.
"Begini…."
Ada sebuah bilik air di atas bukit. Kemudahan ini kemudahan awam yang terdekat. Sebuah tangga beranak 13 disediakan betul-betul berhadapan bangunan berbumbung genting merah pulasan. Sesiapa sahaja yang mengunjungi tempat ini pada waktu malam pasti terdedah kepada satu fenomena! Satu alamat!
"Lampu di bahagian tengah bangunan ini akan berkelip-kelip sepanjang malam. Sudah dicuba beberapa kali untuk menggantikan lampunya tetapi ianya tetap berkelip-kelip. Pihak Taman Riadah Negara dah putus asa cuba membaikinya," jelas ku.
CG Morshid mendengar dengan tekun. Dia mengurut janggutnya yang baru tumbuh sedikit itu.
"Benar, saya perasan kelipan itu. Jadi…," belum sempat dia meneruskan aku meningkah.
"Itu salah satu papan tanda."
"Ada lagi amaran atau papan tanda yang pakcik ketahui?" tanya CG Morshid.
"Ada beberapa lagi. Tapi saya akan beritahu satu saja lagi. Kalau nak tahu selanjutnya harus ke rumah saya pada waktu kelapangan saya," masa rehatku hampir tamat. Seperti masyarakat orang halus di pantai Noordin, aku tampilkan satu alamat kepada CG Morshid bahawa aku harus beredar sekejap lagi.
"Saya faham pakcik harus meneruskan tugas. Tetapi saya perlu tahu. Apakah alamat yang kedua yang pakcik sebutkan tadi?"
CG Morshid meletakkan telapak tangan kanannya di atas belakang telapak tangan kiriku. Aku faham maksudnya. Dia meminta bantuan dengan cara lembut dan berbudi bahasa. CG Morshid tidak seperti kebanyakan warga Pulau Besar yang pernah aku temui. Bagi mereka aku hanya seorang pekerja biasa di tapak perkhemahan ini. Bagi CG aku sumber pengalaman yang tidak ternilai.
Ke mana sahaja kita pergi, ada sahaja papan pemberitahuan atau amaran. Di tepi kolam air di MacRitchie, kita diberi amaran agar jangan mandi keran tempat itu berbuaya. Di pinggir pantai East Coast, ada papan tanda yang mengarahkan agar kita berbasikal di lorong yang ditetapkan. Di pusat imigrasi pula kita diberi amaran keras agar tidak membawa masuk dadah, rokok, daging ayam segar dan sebagainya. Jika kira cuba menyorok, pegawai yang bertugas akan menangkap yang bersalah. Bagaimana pula masyarakat mahkluk halus menandakan pemberitahuan mereka?
"Mereka tidak suka kita menyorok tangkal atau azimat untuk melindungi diri kita. Itukan kira senjata. Kita masuk kampung orang dengan bersenjata. Mana orang suka. Kampung mereka aman. Jadi kalau ada orang masuk dengan senjata atau alat untuk melindungi diri, perbuatan itu tidak sesuai dengan kebiasaan mereka. Cukuplah sekadar minta izin masuk dan tinggal sementara waktu," jelasku kepada CG Morshid. CG Morshid mendengar setiap baris hujah ku dengan teliti. Berkerut dahinya. Mungkin sambil menerima maklumat, dia terus memprosesnya lalu membuat beberapa andaian. Betul jangkaanku.
"Jadi, jika ada di kalangan murid-murid saya yang membawa tangkal, masyarakat orang halus akan mengambil tindakan memeriksa atau merampasnya?" tanya CG Morshid. Matanya memandang tepat ke mataku.
"Sama juga dengan pihak kastam yang akan merampas barangan haram yang cuba diseludup masuk ke Singapura," aku tingkah lagi dengan seringkas-ringkasnya.
"Saya faham." CG Morshid mengangguk perlahan.
Masyarakat orang halus bijak. Setiap tindakan mereka berstrategi. Mereka akan bertindak dengan cekap tetapi tidak meninggalkan bekas atau jejak. Aku sendiri pernah menyaksikannya berkali-kali. Mendengarnya pula sudah cukup jenuh aku dibuatnya. Paling biasa didengar ialah kisah babi hutan di pangkal pohon. Begini kisahnya…..
Ramai yang melaporkan kejadian mereka terserempak babi hutan di pangkal pohon. Apabila mereka mendekatinya, ternyata ianya cuba sebungku beg plastik hitam. Ada yang melihat bahagian punggung babi hutan. Ada kepala. Ada bahagian tepi dan sebagainya. Itulah papan tanda masuk ke perkampungan masyarakat orang halus. Itu tanda jalan masuk.
'Jalan MOH'.

One Response to “‘Jalan MOH’”

  1. Amira :-) Says:

    Cerita ini memberitahu kita supaya berhati-hati jika berada di tempat sebegini. Kita harus ikut peraturan yang ditetapkan oleh ‘mereka’ dan jangan melanggarnya atau nyawa kita akan terancam.


Leave a Reply