‘Pang Gong’

Jun 9, 2006

     Lereng bukit berhadapan dengan bangunan putih yang tersergam – 'The Legends Fort Canning Park' dibanjiri ribuan penonton pelbagai bangsa. Namun, agenda mereka cuma satu. POAGENDA! Pesta Rok sepanjang hujung minggu yang pertama kali diadakan. Sebuah pentas besar menjadi tumpuan mereka. Petang makin lewat.

     Fazli kelihatan tenang. Inilah detik yang dinanti-nantikannya. Lewat petang ini, dia, Addy, Khai dan Selamat akan naik pentas. Fazli berasa ghairah untuk beraksi. Fazli juga berasa bertuah. Bertuah kerana telah membuat pilihan yang tidak akan dikesalinya.

     Tadi sewaktu melewati gerbang masuk ke Fort Canning, dia berhenti sebentar. Ada kenangan yang mengusik jiwanya. Dia seakan-akan menerobos ke masa silam.

     23 tahun yang lalu, Fazli menangis seorang diri di situ. Dia benar-benar bingung. Mahu dicari entah ke mana yang harus ditujuinya. Mahu dituju, entah di manakah arahnya. Setelah diberhentikan sekolah ketika didarjah lima, Fazli tiba di sebuah persimpangan. Simpang hidup tidak berpapan tanda. Fazli bingung. Dia termangu seketika. Mujur bagi Fazli, bangunan merah berseni bina batu-bata merubah segala-galanya.

     Sebenarnya, Fazli suka belajar. Setiap hujung minggu dia akan ke Perpusatakaan Negara yang terletak di Stamford Road. Apabila dia sudah pandai menaiki bas sendiri, Fazli sering ke bangunan bersejarah itu. Bahan bacaan kegemarannya ialah majalah-majalah muzik. Alat permainan yang paling digemarinya ialah dram. Fazli bercita-cita tinggi. Dia mahu jadi pemain dram yang terbaik.

     Setelah berhenti di darjah lima, Fazli meminta dimasukkan ke kelas muzik di Yamaha. Dia tidak mahu bersekolah lagi. Ibu dan ayahnya tidak menghalang. Mereka akur Fazli mengejar cita-citanya. Keputusan mereka mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Sehingga kini, Fazli bersyukur mempunyai ibu dan ayah yang memahami citarasanya. Kini, Fazli telah mencapai cita-citanya. Ayah dan ibunya pula tidak pernah menyesal akan keputusan yang mereka ambil 23 tahun yang lalu.

     Di dalam bangunan yang sarat dengan buku-buku, Fazli tidak jemu-jemu menelaah majalah-majalah muzik. Tiga kali seminggu, Fazli menghadiri kelas muzik di pusat membeli-belah Yaohan Thompson. Bukan mudah mengejar impian. Sanak-saudaranya sering mempertikaikan keputusannya meninggalkan alam persekolahan. Setiap kali ditikam keraguan, Fazli akan memejamkan mata untuk membebaskan nalurinya. Setiap kali himpit keresahan, Fazli akan memejamkam mata untuk mengesan harapan dan impiannya. Lalu, dia akan menghela nafas dan terus melangkah. Bagi Fazli, kepastian bukan jaminan kebahagian. Tanpa kebahgiaan tiada kejayaan. Kemahuannya yang kuat adalah jangka lukis yang melakar pembangunan diri dan kemahiran yang mahu dicapainya langkah langkah demi langkah.     Kini langkahannya semakin pasti. Lewat petang ini, langkahannya semakin bererti. Di atas pentas nanti, Fazli akan membuka satu babak baru dalam hidupnya. Fazli, Addy, Khai dan Selamat akan menapak ke dalam arena hiburan dan muzik tanahair!    

     "Gagal bukan ertinya kalah
     kecewa bukannya penghalang
     kukuh harapan menara impian

     akan ku genggam
     harapan ini
     sehingga ia menjadi
     satu realiti"

     Para penonton terhibur dengan persembahan bertenaga empat jejaka tampan. Lereng bukit Fort Canning gamat dengan sorakan, siulan dan tepukan bergemuruh. POPAGENDA semakin seru dengan penampilan 'Pang Gong'. Fazli, Addy, Khai dan Selamat sekata memilih nama 'Pang Gong'. Bunyinya seperti panggung iaitu pentas kerjaya mereka. 'Pang' ialah kesan yang ingin mereka berikan setiap kali beraksi. 'Gong' berupa mesej-mesej positif yang mereka perdengarkan dalam adunan rentak, melodi dan gaya persembahan yang santai.

6.6.06

Jun 6, 2006

     Jam dua baru Khairunan muncul. Dia janji akan tiba sejam yang lalu. Dengan berkemeja-T hitam dan berseluar jean lusuh, Khairunan menghulurkan tangannya. Kami bersalam. Seperti biasa ‘Earshot Cafe’ yang terletak di Old Parliament Lane lengang. Pelayan wanita warga India tiba dengan segera.
     “What would you like to order?” tanyanya dengan tersipu-sipu. Biasanya kami berdua akan mengusiknya. Maklumlah loghat Hindinya memang cukup pekat. Lagipun dia memang menawan!
     Ketika pelayan itu berlalu untuk menyiapkan pesanan kami, aku tidak membuang masa lagi.
     “Bagaimana keadaan bapa kau?” tanyaku sambil memandang tepat ke muka Khairunan.
     “Bertambah baik,” jawabnya selamba.
     Peristiwa yang berlalu pada tanggal 6.6.06 sukar dilupakan. Sukar difahami. Aku menerima pesanan ringkas daripada Khairunan yang meminta bantuan. Ayahnya hilang daya ingatan ketika sedang memandu trak beserta chassis sepanjang empat puluh meter!! Mujur Khairunan berada di sisi ayahnya. Sejak awal hari itu dia sedar ayahnya dirundung kemuraman. Tiga tahun yang lalu ayahnya berkeadaan sedemikian juga. Keadaan kesihatannya bertambah gawat apabila dia diserang sawan dan ditahan di ICU selama seminggu. Khairunan tidak mahu keadaan itu berulang lagi. Menurut pesanan ringkas yang aku terima Khairunan menyatakan bahawa ayahnya berkelakuan luarbiasa. Dia mungkin sedang kerasukan. Balasanku begini:
     “Nan, ambil tahu keadaan kesihatan ayahmu. Fahami tindakan yang wajar. Sama-sama kita fikirkan tindakan yang sebaik-baiknya.”
     Jawapan anak muda penuntut Politeknik Singapura itu di luar dugaanku:
     “Shah, dia kena buat orang.”
     Hairan aku dibuatnya. Anak muda zaman sekarang masih percaya kisah tahyul seperti itu. Berapa ramai lagi yang masih memegang kepercayaan sebegini?
     Ingatan ku meredah kejadian hari itu. 6.6.06. Menurut orang angka 666 membawa sial! Aku tidak mempercayainya. Ketika aku sampai di Teban Crescent, sebuah trak putih berada di belakang sebuah bas kuning. Hujan berselang petir menyukarkan aku keluar dari kereta. Dengan berpayung aku keluar dari kereta lalu bergegas ke sisi kepala trak itu. Khairunan yang membuka pintunya. Wajahnya kelihatan pucat lesi. Ketika berada di dalam trak, aku perasan sesuatu. Ayah Khairunan bercakap seorang diri. Matanya berair. Jelas ayah Khairunan sedang menangis. Apa yang ditangisinya aku kurang pasti. Aku mulakan bicara dengan lembut. Dia mahu ke Jalan Tukang tetapi terlupa arah. Sudah berbelas tahun dia memandu trak ke Jalan Tukang. Dia tidak pernah terlupa arah ke sana. Hari ini tiba-tiba dia hilang ingatan.
     Pelayan warga India yang genit datang membawa dua gelas minuman dingin. Dia tersenyum lantas meninggalkan kami. Dia memang peka. Dia dapat merasakan ketegangan suasana ketika itu.
     “Nan, ayah kau mengalami tekanan perasaan. Dia cuba sembunyikan sesuatu dari keluarga kau. Sukar baginya meluahkan masalah tersebut. Dia tidak mahu menggusarkan orang lain,” aku rendahkan suara ku. Biasanya suara kami berdua akan berdengung ke serata koridor tingat satu bangunan lama parliamen yang bersejarah itu.
     “Aku tahu Shah, masalah tersebut membebankan fikirannya. Ayahku kurang rehat. Justeru kepenatan dia hilang ingatan sebentar. Tapi hati aku tidak sedap. Kata ibuku ayah terkena gangguan ilmu hitam,” berkerut dahi belia berusia dua puluh enam tahun ini. Dahi aku pun berkerut juga. Bukan kerana dimamah usia tetapi dimamah realiti yang merungsingkan.
     “Astaghfirullah…..” aku menarik nafas.

     Rupa-rupanya sahabatku ini terpegaruh dengan angka 6.6.06. Angka mukjizat para pemuja syaitan. Apakah Khairunan memercayai tarikh tersebut membawa kecelakaan terhadap ayahnya. Babak di Jalan Tukang Satu berulang tayang. Ayah Khairunan keluar dari kepala trak tetapi dia tidak ingat tempat itu. Hujan semakin lebat. Aku yang mendesaknya supaya menempatkan chassis traknya di situ. Selepas meninggalkan chassis traknya di situ, ayah khairunan masih terus berbisik sendiri ketika memandu kepala trak ke Bukit Batok. Dia memandu dengan laju! Aku tidak henti-henti mengingatkannya supaya berhati-hati.
     Lagu ‘Cupingku lekat di corong radio’ berkumandang. Dendangan pelagu puitis tanahair yang bergelar ‘Umbara’ menjentik nostalgia. Namun hari ini ada perkara yang lebih mustahak daripada menyusuri landasan nostalgia.
     “Nan, kau penuntut politeknik. Kau harus bebas dari menyangka yang bukan-bukan. Kau sepatutnya berfikiran rasional. Kau mesti tahu masalah sebenar. Fahami cara-cara mengatasi masalah tersebut. Selanjutnya kau ambil tindakan yang sewajarnya. Jangan ambil jalan mudah ketika menangani masalah. Apabila menghadapi kesukaran, jangan cepat salahkan fenomena yang tidak normal. Bagiku itu perbuatan orang yang tidak tahu dan tidak faham masalah tetapi mahukan tindakan yang segera,” jelas terbayang kesungguhan ketika aku lafazkan pesanan ini. Masih utuh bakat berbahas yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
     Aku tahu Khairunan mendengar dengan tekun. Tiada pilihan lain baginya sekiranya dia mahu membantu ayahnya. Aku tahu dia masih buntu dan rungsing tentang keadaan ayahnya. 
     “Bro, meminta bantuan ketika menghadapi masalah merupakan langkah orang yang bijaksana. Ianya lebih baik daripada cuba mengatasi masalah yang sukar sendirian. Lebih ramai yang memikirkan jalan keluar bagi sesuatu masalah, peluang untuk berjaya mengatasinya lebih besar lagi,” sengaja aku tekan suara tinggi sedikit.
     “Aku faham Shah. Terima kasih.”
     Tugasku sudah selesai. Sejam di rumah seni di bangunan lama parliamen bersama Khairunan aku harapkan membawa kesedaran kepada sahabatku. Selain dari nasihat, tiada daya lain yang dapat aku tawarkan untuk membantu keluarganya.
     Ketika meninggalkan kawasan bersejarah itu,
ada sesuatu yang mengetuk-ngetuk ingatanku. Oh ya, aku menemani Khairunan ke rumah datuknya, Tok Andak di Taman Jurong. Kami berkenderaan sebuah teksi. Dalam perjalanan ke sana, ayah Khairunan tidak henti-henti menunjukkan arah jalan. Aneh, ayah Khairunan ingat arah ke rumah Tok Andak dengan jelas!

Sentap!

Jun 5, 2006

     “Nico, setiap tempat ada undang-undang tersendiri,”
     “Kau merepek lah Ramli. Kau merepek.”

     Sukar bagi Ramli untuk menerangkan apa yang dia maksudkan itu. Dulu dia macam Nico juga. Terejal. Tidak ada undang-undang yang lebih penting selain daripada undang-undang diri mereka sendiri. Mereka paling ‘besar kepala’ di mana-mana sahaja mereka berada terutama sekali di sekolah. Sehinggakan guru besar pun hampir putus asa dan membuat keputusan untuk menggantung mereka. Bukan menggantung leher mereka tetapi kedatangan mereka. Namun begitu, beliau mengambil satu keputusan yang penting bagi para pelajar ’seangkatan’ Ramli’. Para pelajar berisiko tinggi ini diberi peluang terakhir untuk menunjukkan komitmen mereka dengan menunjukkan perubahan dalam masa tiga hari. Dalam masa tiga hari, mereka harus menjadi pelajar berdisiplin atau mereka akan digantung sehingga akhir tahun. Program ‘Percaya Diri’ yang akan mereka ikuti bakal diadakan di sebuah pulau di utara Singapura.
     Hari pertama perkhemahan sama seperti perkhemahan-perkhemahan lain yang pernah dia tempuhi.
Ada sekelumit rasa kecurigaan dalam diri Ramli. Berkemungkinan dia tidak akan mempelajari apa-apa. Lebih-lebih lagi mengubah perangai. Program yang diaturkan memang mencabar tapi secara fizikal sahaja. Dia masih bersama teman-teman terejalnya. Sazali, Ishak, Hameed dan Naz. Dalam diam, kumpulan Ramli membuat keputusan yang bulat. Mereka akan memenangi semua pertandingan yang akan diadakan. Tentu para pelatih akan berpuashati dengan pencapaian mereka. Pencapaian sama seperti komitmen. Komitmen sama seperti perubahan sikap. Objektif mereka yang lebih besar ialah mendapat anggukan para pelatih yang akan menghantar laporan kepada pihak sekolah. Mudahan-mudahan menerusi laporan itu, mereka akan dibenarkan datang ke sekolah. Selepas dua tiga minggu di sekolah, mereka akan jadi samseng semula. Apabila guru besar putus asa, mereka akan dihantar ke sebuah perkhemahan lagi!
     Rancangan Ramli musnah pada malam terakhir perkhemahan.
Musnah dan mengubah segala-galanya. Kepercayaan dirinya luntur. Dulu, Ramli percaya hanya pada dirinya sendiri. Keperluan dirinya ialah pusat bagi segala tindakannya. Di rumah, ibunya hilang kawalan ke atas dirinya. Di sekolah, guru-gurunya jenuh cuba mendisiplinkannya. Di kalangan rakan-rakannya, dia kepala mereka. Namun pada malam kedua perkhemahan di sebuah pulau, pusat tersebut bubar dalam masa empat jam. EMPAT JAM SAHAJA!
     “Jaga Ramli. Jaga Ramli” suara itu masih terngiang-ngiang lagi. Ramli masih terlantar di atas katil. Badannya lemah. Sudah dua hari dia demam semenjak pulang dari perkhemahan ‘Percaya Diri’. Ironinya, kini dia hilang segala kepercayaan diri. Pelukan erat yang dialaminya pada malam itu menarik keluar segala keberaniannya. Menarik keluar segala keterejalannya sehinggakan untuk pulang ke rumah seusai perkhemahan pun dia minta ditemani oleh rakan-rakannya hingga di kolong blok. Dia perlu pula menelefon ibunya untuk mengambilnya. Dulu Ramli tidak perlukan sesiapa. Dia keluar bila dia suka dan pulang bila dia mahu.
     “Kau penakutlah Ramli. Kata ketua,” Nico masih tidak faham akan perubahan sikap Ramli.
     “Nico, kalau kau betul-betul kawan aku dan kau percaya aku memang kawan kau, dengar nasihat aku,”
     “Nasihat? Sejak bila kau pandai beri nasihat?”
     “Nico, dengar cakap aku. Setiap tempat ada undang-undangnya tersendiri. Aku dengan kau ada undang-undang. Dengan keluarga pula ada undang-undang yang lain. Di sekolah undang-undangnya berbeza Nico. Cuma kita langgar kesemua undang-undang tersebut. Kita berpandu undang-undang kita sendiri,”
     “Aku kecewa dengan perubahan kaulah Ramli. Mana ada undang-undang macam tu. Buat susah kita sahaja. Kau jangan pedulikan undang-undang lain. Tujuannya cuma satu iaitu mengongkong kita,”
     “Bukan mengongkong, memastikan kesejahteraan kita. Lain padang lain belalang. Masuk kandang lembu kita melenguh, masuk kandang kambing kita mengembek,”
     “Merepek lagi!”
Nico sudah hilang kesabaran.
     Sazali, Ishak, Hameed dan Naz berada di sisi Ramli juga. Ramli masih terbaring di atas katil. Suasana bungkam. Kesepian sebegini asing bagi mereka tetapi menenangkan. Selari, terpancar layar pengalaman mereka di pulau itu. Kepanikan yang bersusulan. Sazali dengan bacaan ayat ‘Kursi’, Ishak tidak henti menuding ke arah berbeza. Dia nampak beberapa bayangan. Naz, yang harus menanggalkan tangkal yang dibekalkan oleh ibunya. Ramli yang terputus kata. Hanya kengerian dan kedinginan yang amat sangat yang menyelimutinya sepanjang malam itu. Selama empat jam mereka menghadapi saat yang menakutkan. Lebih tepat lagi MENYERAMKAN! Calitan di lukisan. Calitan yang muncul entah dari mana. Calitan yang merasuk. Meracau. Yang menyentap kepercayaan diri mereka.

‘Jalan MOH’

Jun 3, 2006

"Pakcik ada orang nak jumpa pakcik tadi. Dia cari pakcik kat sini. Saya suruh tunggu lepas 8 pagi," laung Ahmad dari tapak mencuci di sebelah pejabat berdinding papan dan beratap genting merah pulasan.
"Siapa?" sungguhpun aku tahu apa tujuan orang itu hendak berjumpa dengan aku, pingin juga aku mengenalinya.
"Katanya guru sekolah menengah."
"Baik aku tunggu,"
basikal 'raleigh' tua ku dorong hingga ke hujung padang besar di tengah-tengah tiga bangunan besar di tapak perkhemahan NPCC di Kampung Noordin, Pulau Ubin.
Namaku dilaung lagi ketika aku sedang berkayuh untuk ke pondok rehat yang terletak di belakang pejabat. Ianya terletak betul-betul di atas bukit. Di belakang pagar di bukit ini ada sebuah tanah perkuburan orang-orang Bugis. Aku membelok ke kiri dan menuju ke arah laungan itu. Ahmad kelihatan bersama tiga orang lelaki bercelana tiga suku. Seorang daripada mereka jelas berbangsa India. Yang berbadan gempal dan tinggi tidak menunggu aku turun dari basikal. Dia bingkas mendekatiku. Aku pasti dia inginkan beberapa maklumat tentang pengalamannya berkhemah dipantai Noordin. Jawapannya seakan-akan sudah aku pastikan.
"Jangan berbual di sini, kita ke atas bukit. Di bahagian belakang ada tempat duduk menghadap laut. Angin kuat dan nyamuk tidak suka tempat itu," ajakku. Memang tempat itu tempat kegemaranku. Sudah bertahun aku berehat di situ setiap hari.
"Baiklah pakcik," lelaki berkemeja sukan berwarna merah dan berseluar tiga suku itu mengangguk. Dua orang kawannya mengekori dari belakang.
"Nama saya Morshid. Panggil saja CG," lelaki bermisai dan berjanggut itu berkulit cerah. Suaranya sedikit garau. Mungkin kerana kepenatan atau tidak cukup tidur malam tadi.
Kami berbual selama lebih kurang setengah jam di atas ambin beralaskan papan kayu himpit. Beberapa pertanyaan lazim diutarakan kepadaku. Namun inilah kali pertama ada pendatang dari Pulau Besar yang menemuiku untuk bertanya. Jelas daripada perbualan kami, dia dahagakan maklumat. Dia mahukan jawapan bagi persoalan yang menghantuinya. Aku serius, perkataan hantu memang tepat untuk menerangkan tentang pengalaman lelaki ini.
"Pakcik siapa yang mendiami kawasan itu?"
"Masyarakat orang halus."
Jawab ku tidak bersembunyi-sembunyi.
Pengalaman mereka lepas dinihari bersebab. Masyarakat orang halus di pantai tersinggung kerana kawasan mereka dicerobohi. Sebenarnya mereka tidak menghalang sesiapapun mengunjungi dan menginap se malam di situ. Namun ada beberapa syarat yang mereka kenakan. Pengunjung harus minta izin. Seberkah Fatehah dan tiga laungan azan sudah mencukupi untuk menandakan kawasan inapan sementara mereka. Bukan apa, ada di kalangan masyarakat orang halus yang memang suka mengganggu. Itulah cara mereka menampilkan keberadaan mereka sebagai syarat bahawa tempat tersebut tempat mereka. Para pengunjung masyarakat asing. Mereka harus mengakui hak milik siapakah tapak perkhemahan yang terkenal itu. Andai syarat utama ini tidak dipenuhi, bukan lagi tanggung jawab masyarakat tersebut jika ada di kalangan mereka yang mengganggu sepanjang malam. Satu pantang masyarakat halus tidak harus dilanggar. 'JANGAN BERCAKAP BESAR!" Tiada papan tanda yang boleh mereka tegakkan. Jika ini boleh dilakukan, tentu lebih mudah bagi masyarakat manusia bandar yang kurang prihatin itu memahami syarat-syarat tersebut. Sebagai amaran, masyarakat orang halus menandakan kawasan itu dengan beberapa alamat yang tidak boleh tidak pasti dialami oleh sesiapa sahaja yang bermalam di situ.
"Apakah tanda-tanda tersebut pakcik?" lelaki yang bernama CG Morshid tidak menghiraukan beberapa ekor nyamuk yang menyantap darah di betis kanan dan kirinya.
"Begini…."
Ada sebuah bilik air di atas bukit. Kemudahan ini kemudahan awam yang terdekat. Sebuah tangga beranak 13 disediakan betul-betul berhadapan bangunan berbumbung genting merah pulasan. Sesiapa sahaja yang mengunjungi tempat ini pada waktu malam pasti terdedah kepada satu fenomena! Satu alamat!
"Lampu di bahagian tengah bangunan ini akan berkelip-kelip sepanjang malam. Sudah dicuba beberapa kali untuk menggantikan lampunya tetapi ianya tetap berkelip-kelip. Pihak Taman Riadah Negara dah putus asa cuba membaikinya," jelas ku.
CG Morshid mendengar dengan tekun. Dia mengurut janggutnya yang baru tumbuh sedikit itu.
"Benar, saya perasan kelipan itu. Jadi…," belum sempat dia meneruskan aku meningkah.
"Itu salah satu papan tanda."
"Ada lagi amaran atau papan tanda yang pakcik ketahui?" tanya CG Morshid.
"Ada beberapa lagi. Tapi saya akan beritahu satu saja lagi. Kalau nak tahu selanjutnya harus ke rumah saya pada waktu kelapangan saya," masa rehatku hampir tamat. Seperti masyarakat orang halus di pantai Noordin, aku tampilkan satu alamat kepada CG Morshid bahawa aku harus beredar sekejap lagi.
"Saya faham pakcik harus meneruskan tugas. Tetapi saya perlu tahu. Apakah alamat yang kedua yang pakcik sebutkan tadi?"
CG Morshid meletakkan telapak tangan kanannya di atas belakang telapak tangan kiriku. Aku faham maksudnya. Dia meminta bantuan dengan cara lembut dan berbudi bahasa. CG Morshid tidak seperti kebanyakan warga Pulau Besar yang pernah aku temui. Bagi mereka aku hanya seorang pekerja biasa di tapak perkhemahan ini. Bagi CG aku sumber pengalaman yang tidak ternilai.
Ke mana sahaja kita pergi, ada sahaja papan pemberitahuan atau amaran. Di tepi kolam air di MacRitchie, kita diberi amaran agar jangan mandi keran tempat itu berbuaya. Di pinggir pantai East Coast, ada papan tanda yang mengarahkan agar kita berbasikal di lorong yang ditetapkan. Di pusat imigrasi pula kita diberi amaran keras agar tidak membawa masuk dadah, rokok, daging ayam segar dan sebagainya. Jika kira cuba menyorok, pegawai yang bertugas akan menangkap yang bersalah. Bagaimana pula masyarakat mahkluk halus menandakan pemberitahuan mereka?
"Mereka tidak suka kita menyorok tangkal atau azimat untuk melindungi diri kita. Itukan kira senjata. Kita masuk kampung orang dengan bersenjata. Mana orang suka. Kampung mereka aman. Jadi kalau ada orang masuk dengan senjata atau alat untuk melindungi diri, perbuatan itu tidak sesuai dengan kebiasaan mereka. Cukuplah sekadar minta izin masuk dan tinggal sementara waktu," jelasku kepada CG Morshid. CG Morshid mendengar setiap baris hujah ku dengan teliti. Berkerut dahinya. Mungkin sambil menerima maklumat, dia terus memprosesnya lalu membuat beberapa andaian. Betul jangkaanku.
"Jadi, jika ada di kalangan murid-murid saya yang membawa tangkal, masyarakat orang halus akan mengambil tindakan memeriksa atau merampasnya?" tanya CG Morshid. Matanya memandang tepat ke mataku.
"Sama juga dengan pihak kastam yang akan merampas barangan haram yang cuba diseludup masuk ke Singapura," aku tingkah lagi dengan seringkas-ringkasnya.
"Saya faham." CG Morshid mengangguk perlahan.
Masyarakat orang halus bijak. Setiap tindakan mereka berstrategi. Mereka akan bertindak dengan cekap tetapi tidak meninggalkan bekas atau jejak. Aku sendiri pernah menyaksikannya berkali-kali. Mendengarnya pula sudah cukup jenuh aku dibuatnya. Paling biasa didengar ialah kisah babi hutan di pangkal pohon. Begini kisahnya…..
Ramai yang melaporkan kejadian mereka terserempak babi hutan di pangkal pohon. Apabila mereka mendekatinya, ternyata ianya cuba sebungku beg plastik hitam. Ada yang melihat bahagian punggung babi hutan. Ada kepala. Ada bahagian tepi dan sebagainya. Itulah papan tanda masuk ke perkampungan masyarakat orang halus. Itu tanda jalan masuk.
'Jalan MOH'.