IKAN cEMAS
Mei 12, 2006
Lelaki gemuk itu memang kami kenali. Siapa tidak kenal dia. Dua hari sekali dia pasti akan datang dan membeli sebungkus ikan emas. Hari ini nasib aku memang baik. Ku kira-kira, ada sebanyak 22 ekor kawan-kawanku di dalam beg plastik berair jernih. Kami sedang dibawa ke satu tempat. Di manakah tempat itu, kami kurang pasti. Dengan perut gendut dan biji mata besar, kami memandang ke sekeliling. Kini kami berada di bawah sebuah bangunan batu yang tinggi. Cuaca di luar panas.
“Mok, ke mana kita nak dibawa ni?” tanya Dut. Berbuih-buih bola air keluar dari mulutnya yang besar.
“Kita tengok ajer,” jawab ku ringkas.
Sudah lama aku nantikan peluang ini. Sejak aku dimasukkan ke dalam tangki di kedai menjual pelbagai jenis ikan, saban hari aku berharap pencedok berjaring mengenaiku.
Dari bawah bangunan batu yang tinggi tadi, lelaki gemuk membawa kami masuk perkarangan sebuah kawasan yang besar. Kali ini bangunan batunya tidak begitu tinggi. Kelihatan ramai orang berlari ke sana dan ke mari mengejar sebiji benda bulat di sebuah kawasan lapang. Mereka mengenakan pakaian seragam.
Lelaki yang gendut macam kami mempercepatkan langkahannya. Kini dia menuju ke sebuah pintu kaca.
Sebenarnya, aku dan kawan-kawan ku telah lama memerhatikan lelaki ini. Setiap dua hari dia akan datang dan hanya membeli ikan emas jenis kami. Dia datang, bayar dan pergi. Desas-desus yang kami dengar agak menceriakan. Lelaki ini mempunyai sebuah tangki ikan yang besar dan airnya sentiasa jernih. Ikan-ikan emas yang dimasukkan ke dalam tangki itu giat dan cergas. Tidak seperti kami sewaktu berada dalam tangki sempit di kedai ikan.
Pelbagai kemungkinan yang kami timbulkan. Mungkin minat terhadap ikan emas semakin meningkat. Maklumlah bentuk kami memang genit, gendut dan menawan ketika berenang. Baiklah, kami sebenarnya tidak suka berenang. Sesekali kami ke permukaan untuk menyedut bekalan udara segar atau mengejar bongkah-bongkah makanan. Apabila perlu sahaja kami akan bergerak. Orang ingin lihat kecantikan kami bukan ketangkasan kami. Ketangkasan memenatkan dan bukan ciri-ciri semulajadi kami. Mungkin setelah dipindahkan ke dalam tangki emas yang besar kelak, barulah aku akan berenang sekeliling tangki tersebut. Itu pun jika perlu sahaja!
Kini kami berada di dalam bilik. Penghuninya dua tiga manusia sahaja. Mereka sedang duduk dan menghadap kotak kaca yang bercahaya. Jari-jemari mereka mengetik-ngetik tombol di atas sebuah alat.
Tidak semena-mena seorang lelaki bertubuh pendek dan gendut juga muncul dari sisi kami. Dia menekan-nekan bungkusan plastik tempat kami terkurung.
“Banyak sangat?” tanyanya.
“Kalau gitu saya pecahkan pada dua bahagian. Yang satu kita masukkan ke dalam takungan dulu. Jika perlu kita ambil,” jawab lelaki yang sedang menjinjit kami. Dia mengangkat takungan plastik ke paras mukanya. Mungkin ingin mengira-ngira jumlah kami. Kelihatan biji matanya yang membesar di dalam air jernih. Cukup melucukan.
Aku tidak sabar untuk mengintai tangki besar di belakang lelaki gemuk di depan kami. Pandangan kami terhadang. Memang besar lelaki ini. Saiz hidungnya berganda di balik air dan plastik.
Dia membuka ikatan pada takungan. Jarinya gemuk gedempol. Aku berenang ke sisi takungan untuk mendapatkan pandangan pertama sebuah tangki besar yang terkenal itu.
“Sudah kelihatan. Sudah kelihatan,” jeritku. Bebola buih berebut-rebut menuju ke permukaan air.
“Besar! Jernih! Ahhhhhhhhh!” Jeritku sekuat-kuatnya.
Lelaki itu memusingkan badan sepenuhnya. Kini kami berada betul-betul bertentangan dengan sebuah tangki besar. Di dalamnya kelihatan dua ekor kawan kami yang sedang berenang sekuat-kuat tenaga tidak henti-henti. Kini aku faham mengapa mereka giat dan cergas. Mengapa mereka berenang tidak henti-henti.
Lelaki gemuk mengangkat takungan di atas permukaan tangki. Dia mencurahkan isi kandungan takungan itu.
“Jangan jatuh ke dalam tangki Dut!” bola-bola buih memenuhi takungan air yang pantas berkurangan di dalam plastik.
Lelaki itu menghentikan perbuatannya. Dia menegakkan takungan. Matanya bersiapsiaga mengira-ngira bilangan kami di dalam takungan lalu mengangguk. Dengan segera dia berlalu.
Aku memandang di sekeliling.
“Dut..Dut!” Dut tiada.
Dut terjatuh di tangki itu!
Terbayang keadaan kawan-kawanku di dalam tangki celaka itu. Tangki maut. Tangki besar berair jernih dan berpenghuni kejam. Aku nampak kelibat para penghuni kejam itu. Aku kenal mereka. Mereka dipuja oleh manusia tetapi ditakuti oleh ikan-ikan yang lain.
Penyerakah menghuni tangki itu! Dua ekor Arowana yang lapar!



