Ceterpen Impian Seorang Nelayan
Mei 6, 2006
Kudus tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya. Seumur hidupnya, itu hanya satu impian sahaja. Impian seorang nelayan miskin sepertinya. Apakah dia sedang bermimpi?………………..
“Wahai nelayan kau anak laut. Di sini tempatmu. Di sini rezekimu. Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya,” secepat ia muncul di permukaan air, secepat itu juga Sang Duyung menghilang di perut segara yang luas itu.
“Nanti dulu! Apa maksud kau?”
Teriakan Kudus sia-sia sahaja. Duyung itu telah meninggalkannya. Meninggalkannya dengan satu pesanan yang menghantui fikirannya.
Kudus mendongak ke langit. Seekor camar kelihatan sedang berlegar-legar betul-betul di atas biduk tuanya. Kudus kenal camar itu. Camar itu sering mengikutinya. Apabila Kudus menghulurkan tangannya. Camar itu akan hinggap di jejarinya dengan penuh harapan. Kudus pasti memberinya ikan-ikan kecil yang ada dalam raga rotan. Kudus ingat pesan arwah ayahnya:
“Memberi makan kepada seekor camar akan membawa keuntungan,” suara garau ayahnya membisik ke cuping telinga Kudus ketika mereka berada di sebuah lubuk ikan beberapa dekad yang lalu.
Itulah harapan Kudus sejak keluar pada hujung senja semalam. Kudus impikan duyung. Kudus impikan untung.
Tanpa Kudus sedari, detik-detik yang berlalu ketika ia dibuai mimpi tentang duyung dan untung, biduknya semakin dibawa arus. Arus Laut China Selatan yang semakin bergelora.
Mega mendung laut pun bergoncang. Kudus tersentak! Biduknya sesat haluan. Sang mentari terlindung. Pantai tak kelihatan. Tawakal jalan akhirnya.
Dalam pondok kecil di hujung kampung nelayan. Seorang ibu memandang hari muka. Isteri Kudus semakin gelisah. Biasanya, Kudus sudah tiba. Biduk tuanya pasti sudah tertambat di gigi air. Senyuman Kudus pasti terukir apabila ia disambut di pesisiran pantai yang putih bergebu itu. Ramlimah, menyusukan bayinya yang kehausan di muka pintu pondok kecil yang beratap rumbia itu. Kudus pasti pulang. Kudus pasti datang.
Harapannya semakin meleset. Nun di kakilangit, ufuk timur hilang dari pandangan.
“Abang!”
“Terima kasih ibu,” Rahim mengucup pipi ibunya di hujung majlis penganugerahan ijazah. Rahim bin Kudus, berjaya meraih segulung ijazah dalam bidang sains perikanan dari Universiti Malaysia. Petang itu seorang ibu tua bersama anaknya berdiri di pesisiran pantai. Mereka mendongak ke atas. Seekor camar sedang berlegar-legar di angkasa. Rahim menghulurkan tangannya. Camar itu tidak teragak-agak. Ianya terus hinggap di jejari anak muda itu.
Berdasarkan lagu ‘Impian Seorang Nelayan’ karya Kumpulan KEMBARA.




September 21, 2006 at 1:15 am
i like stories that are a throwback to simpler, kinder times. enjoyed this one a lot (my favourite out of all the ones on this site), could literally see the entire scene play out in my head. Would love to see this one on tv
Januari 5, 2007 at 9:42 am
WTF? tiru bulat-bulat lagu kembara berjudul Impian Seorang Nelayan? Plagiat tak tau malu.
Januari 5, 2007 at 12:26 pm
Komen Sonicblues sonicblues@yahoo.com
“WTF? tiru bulat-bulat lagu kembara berjudul Impian Seorang Nelayan? Plagiat tak tau malu.”
Jawapan CG Karmin Bin Abbas
Salam Sejahtera,
Terima kasih kerana mengunjungi laman CETERPEN.
Saya faham perasaan anda.
Yang anda tak tahu saya bertemu M.Nasir dan berkongsi idea tentang usaha menjadikan lirik yang baik menjadi CETERPEN. M.Nasir memberi persetujuan.
Sila ke http://www.bmsiber.com/umbara untuk lihat kami dengan M.Nasir yang mengunjungi rumah seni kami. Saya berbaju kuning di sebelah M.Nasir. Kami bersembang sehingga 3 pagi memikirkan tentang bahan bacaan baru ini.
Saya mohon anda memohon maaf secara formal di laman ceterpen kerana saya akan muatkan ‘reply’ ini di laman tersebut sebagai jawapan kenyataan anda yang tidak bersopan dan tidak berasas sama sekali. Kalau tidak tahu sila bertanya terlebih dahulu.
Banyak lagi lirik lagu terbaik yang akan dijadikan CETERPEN dengan persetujuan pihak berkenaan.
Setiap ‘reply’ daripada anda akan saya siarkan di laman CETERPEN agar prosesnya telus untuk menjernihkan kekeruhan.
“Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata anda tahu akibatnya.”
CG Karmin Bin Abbas
Pengasas CETERPEN
http://www.nudaatoph.com
Januari 6, 2007 at 1:32 am
Assalamualaikum,
Saya Mohd Shahir memohon seribu kemaafan kerana terlalu beremosi dan melontarkan kata-kata kesat yg tidak sepatutnya. di dalam post sebelum ini. Tiada maksud apa-apa cuma tindakan refleks barangkali dan darah muda yang mudah panas. Sekian. Wassalam.
Januari 6, 2007 at 2:21 am
Wa’alaikumsalam,
Berdasarkan cadangan anda yang bernas saya telah nyatakan sumber lagu dan lirik CETERPEN ‘Impian Seorang Nelayan’. Terima kasih.
Januari 7, 2007 at 3:34 pm
Alhamdulillah, sudah damai.