Ceterpen Impian Seorang Nelayan
Mei 6, 2006
Kudus tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya. Seumur hidupnya, itu hanya satu impian sahaja. Impian seorang nelayan miskin sepertinya. Apakah dia sedang bermimpi?………………..
“Wahai nelayan kau anak laut. Di sini tempatmu. Di sini rezekimu. Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya,” secepat ia muncul di permukaan air, secepat itu juga Sang Duyung menghilang di perut segara yang luas itu.
“Nanti dulu! Apa maksud kau?”
Teriakan Kudus sia-sia sahaja. Duyung itu telah meninggalkannya. Meninggalkannya dengan satu pesanan yang menghantui fikirannya.
Kudus mendongak ke langit. Seekor camar kelihatan sedang berlegar-legar betul-betul di atas biduk tuanya. Kudus kenal camar itu. Camar itu sering mengikutinya. Apabila Kudus menghulurkan tangannya. Camar itu akan hinggap di jejarinya dengan penuh harapan. Kudus pasti memberinya ikan-ikan kecil yang ada dalam raga rotan. Kudus ingat pesan arwah ayahnya:
“Memberi makan kepada seekor camar akan membawa keuntungan,” suara garau ayahnya membisik ke cuping telinga Kudus ketika mereka berada di sebuah lubuk ikan beberapa dekad yang lalu.
Itulah harapan Kudus sejak keluar pada hujung senja semalam. Kudus impikan duyung. Kudus impikan untung.
Tanpa Kudus sedari, detik-detik yang berlalu ketika ia dibuai mimpi tentang duyung dan untung, biduknya semakin dibawa arus. Arus Laut China Selatan yang semakin bergelora.
Mega mendung laut pun bergoncang. Kudus tersentak! Biduknya sesat haluan. Sang mentari terlindung. Pantai tak kelihatan. Tawakal jalan akhirnya.
Dalam pondok kecil di hujung kampung nelayan. Seorang ibu memandang hari muka. Isteri Kudus semakin gelisah. Biasanya, Kudus sudah tiba. Biduk tuanya pasti sudah tertambat di gigi air. Senyuman Kudus pasti terukir apabila ia disambut di pesisiran pantai yang putih bergebu itu. Ramlimah, menyusukan bayinya yang kehausan di muka pintu pondok kecil yang beratap rumbia itu. Kudus pasti pulang. Kudus pasti datang.
Harapannya semakin meleset. Nun di kakilangit, ufuk timur hilang dari pandangan.
“Abang!”
“Terima kasih ibu,” Rahim mengucup pipi ibunya di hujung majlis penganugerahan ijazah. Rahim bin Kudus, berjaya meraih segulung ijazah dalam bidang sains perikanan dari Universiti Malaysia. Petang itu seorang ibu tua bersama anaknya berdiri di pesisiran pantai. Mereka mendongak ke atas. Seekor camar sedang berlegar-legar di angkasa. Rahim menghulurkan tangannya. Camar itu tidak teragak-agak. Ianya terus hinggap di jejari anak muda itu.
Berdasarkan lagu ‘Impian Seorang Nelayan’ karya Kumpulan KEMBARA.
Ceterpen Agnes dan Ayah
Mei 6, 2006
Aku membisu. Begitu juga dengan Mama. Kami biarkan Cik Agnes bicara sepuas-puas hatinya. Biar dia meluahkan apa yang menghantui jiwanya. Aku benar-benar ingin tahu tentang sesuatu yang selama ini menjadi segunung tanda tanya.
Yang aku tahu, ayah dan Cik Agnes mempunyai hubungan yang istimewa. Dalam keadaan kami sedang dirundung kesedihanpun, Cik Agnes muncul. Kehadirannya tidak diundang. Aku dan Mama tidak senang dengan kedatangannya.
Pusara ayah masih merah lagi. Wanita ini memang tidak mempunyai perasaan. Cik Agnes, itulah namanya, memang tidak berhati perut.
“Ada sesuatu yang ingin saya beritahu. Saya faham perasaan puan dan anak puan.” Berkata-kaca mata Cik Agnes.
Mama tetap membisu. Begitu juga aku. Aku faham perasaan Mama sekarang. Sudah lama Mama memendam perasaan marahnya terhadap Cik Agnes. Isteri mana yang tidak akan marah jika suaminya intim dengan perempuan lain. Namun aku kenal Mama semasak-masaknya. Mama sabar orangnya. Buat masa ini, kami mahu dengar sahaja luahan Cik Agnes.
“Encik Gomez saya anggap sebagai bapa ayah saya sendiri. Beliaulah yang telah menolong saya dahulu ketika saya belasan tahun.” Pecah bendungan air mata Cik Agnes ketika itu.
Menurut Cik Agnes, ayah yang mewakilinya di mahkamah ketika dia dibicarakan. Ayah yang telah menyelamatkannya dari menerima hukuman yang lebih berat. Cik Agnes telah kehilangan segala-galanya selepas itu. Dia tiada keluarga atau saudara mara lagi. Selama 5 tahun dia ditahan di pusat tahanan remaja nakal, hanya ayah sahaja yang mengunjunginya. Menurut Agnes baru tiga bulan dia dibebaskan. Selepas dibebaskan, Agnes mencari ayah kerana ayahlah satu-satunya manusia yang dipercayainya. Seorang peguam dan juga seorang ayah angkat.
Jelas Mama tersentuh dengan pengakuan Cik Agnes. Begitulah sikap Mama. Beliau prihatin akan nasib malang yang menimpa orang lain.
“Apa yang telah Agnes lakukan sehingga ditahan selama 5 tahun?”
“Secara tidak sengaja saya mengakibatkan kematian ibu kandung saya.”
“Apa?”
Mendiang ibu Cik Agnes seorang janda yang pemabuk. Cik Agnes menjadi mangsa kekejaman ibunya apabila dia kemabukan. Ibu Agnes selalu memukul bantainya semenjak bercerai dengan suaminya. Ayah Agnes pula menghilang setelah perceraian itu dan tidak pernah ditemui Cik Agnes lagi. Kematian ibu Cik Agnes disebabkan oleh pukulan bertubi-tubi di kepalanya dengan benda yang berat. Menurut Cik Agnes dia hilang akal ketika cuba mempertahankan diri.
Mulut aku dan Mama terkatup. Kami berdosa terhadap arwah ayah. Biar sebesar kuman kesangsian yang singgah di hati kami, kewibawaan ayah telah kami ragui. Sebenarnya ayah bersikap profesional. Kes Agnes tidak pernah diceritakan kepada kami kerana kami tidak perlu tahu dan itu bukan urusan keluarga. Kes Agnes urusan kerjayanya.
Mama menghulurkan kedua belah tangan ke arah Agnes yang menyambutnya dengan dakapan yang mesra.
Malam itu kami mengirim sekuntum doa buat roh ayah yang tercinta.



