IKAN cEMAS
Mei 12, 2006
Lelaki gemuk itu memang kami kenali. Siapa tidak kenal dia. Dua hari sekali dia pasti akan datang dan membeli sebungkus ikan emas. Hari ini nasib aku memang baik. Ku kira-kira, ada sebanyak 22 ekor kawan-kawanku di dalam beg plastik berair jernih. Kami sedang dibawa ke satu tempat. Di manakah tempat itu, kami kurang pasti. Dengan perut gendut dan biji mata besar, kami memandang ke sekeliling. Kini kami berada di bawah sebuah bangunan batu yang tinggi. Cuaca di luar panas.
“Mok, ke mana kita nak dibawa ni?” tanya Dut. Berbuih-buih bola air keluar dari mulutnya yang besar.
“Kita tengok ajer,” jawab ku ringkas.
Sudah lama aku nantikan peluang ini. Sejak aku dimasukkan ke dalam tangki di kedai menjual pelbagai jenis ikan, saban hari aku berharap pencedok berjaring mengenaiku.
Dari bawah bangunan batu yang tinggi tadi, lelaki gemuk membawa kami masuk perkarangan sebuah kawasan yang besar. Kali ini bangunan batunya tidak begitu tinggi. Kelihatan ramai orang berlari ke sana dan ke mari mengejar sebiji benda bulat di sebuah kawasan lapang. Mereka mengenakan pakaian seragam.
Lelaki yang gendut macam kami mempercepatkan langkahannya. Kini dia menuju ke sebuah pintu kaca.
Sebenarnya, aku dan kawan-kawan ku telah lama memerhatikan lelaki ini. Setiap dua hari dia akan datang dan hanya membeli ikan emas jenis kami. Dia datang, bayar dan pergi. Desas-desus yang kami dengar agak menceriakan. Lelaki ini mempunyai sebuah tangki ikan yang besar dan airnya sentiasa jernih. Ikan-ikan emas yang dimasukkan ke dalam tangki itu giat dan cergas. Tidak seperti kami sewaktu berada dalam tangki sempit di kedai ikan.
Pelbagai kemungkinan yang kami timbulkan. Mungkin minat terhadap ikan emas semakin meningkat. Maklumlah bentuk kami memang genit, gendut dan menawan ketika berenang. Baiklah, kami sebenarnya tidak suka berenang. Sesekali kami ke permukaan untuk menyedut bekalan udara segar atau mengejar bongkah-bongkah makanan. Apabila perlu sahaja kami akan bergerak. Orang ingin lihat kecantikan kami bukan ketangkasan kami. Ketangkasan memenatkan dan bukan ciri-ciri semulajadi kami. Mungkin setelah dipindahkan ke dalam tangki emas yang besar kelak, barulah aku akan berenang sekeliling tangki tersebut. Itu pun jika perlu sahaja!
Kini kami berada di dalam bilik. Penghuninya dua tiga manusia sahaja. Mereka sedang duduk dan menghadap kotak kaca yang bercahaya. Jari-jemari mereka mengetik-ngetik tombol di atas sebuah alat.
Tidak semena-mena seorang lelaki bertubuh pendek dan gendut juga muncul dari sisi kami. Dia menekan-nekan bungkusan plastik tempat kami terkurung.
“Banyak sangat?” tanyanya.
“Kalau gitu saya pecahkan pada dua bahagian. Yang satu kita masukkan ke dalam takungan dulu. Jika perlu kita ambil,” jawab lelaki yang sedang menjinjit kami. Dia mengangkat takungan plastik ke paras mukanya. Mungkin ingin mengira-ngira jumlah kami. Kelihatan biji matanya yang membesar di dalam air jernih. Cukup melucukan.
Aku tidak sabar untuk mengintai tangki besar di belakang lelaki gemuk di depan kami. Pandangan kami terhadang. Memang besar lelaki ini. Saiz hidungnya berganda di balik air dan plastik.
Dia membuka ikatan pada takungan. Jarinya gemuk gedempol. Aku berenang ke sisi takungan untuk mendapatkan pandangan pertama sebuah tangki besar yang terkenal itu.
“Sudah kelihatan. Sudah kelihatan,” jeritku. Bebola buih berebut-rebut menuju ke permukaan air.
“Besar! Jernih! Ahhhhhhhhh!” Jeritku sekuat-kuatnya.
Lelaki itu memusingkan badan sepenuhnya. Kini kami berada betul-betul bertentangan dengan sebuah tangki besar. Di dalamnya kelihatan dua ekor kawan kami yang sedang berenang sekuat-kuat tenaga tidak henti-henti. Kini aku faham mengapa mereka giat dan cergas. Mengapa mereka berenang tidak henti-henti.
Lelaki gemuk mengangkat takungan di atas permukaan tangki. Dia mencurahkan isi kandungan takungan itu.
“Jangan jatuh ke dalam tangki Dut!” bola-bola buih memenuhi takungan air yang pantas berkurangan di dalam plastik.
Lelaki itu menghentikan perbuatannya. Dia menegakkan takungan. Matanya bersiapsiaga mengira-ngira bilangan kami di dalam takungan lalu mengangguk. Dengan segera dia berlalu.
Aku memandang di sekeliling.
“Dut..Dut!” Dut tiada.
Dut terjatuh di tangki itu!
Terbayang keadaan kawan-kawanku di dalam tangki celaka itu. Tangki maut. Tangki besar berair jernih dan berpenghuni kejam. Aku nampak kelibat para penghuni kejam itu. Aku kenal mereka. Mereka dipuja oleh manusia tetapi ditakuti oleh ikan-ikan yang lain.
Penyerakah menghuni tangki itu! Dua ekor Arowana yang lapar!
Ceterpen Impian Seorang Nelayan
Mei 6, 2006
Kudus tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya. Seumur hidupnya, itu hanya satu impian sahaja. Impian seorang nelayan miskin sepertinya. Apakah dia sedang bermimpi?………………..
“Wahai nelayan kau anak laut. Di sini tempatmu. Di sini rezekimu. Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya,” secepat ia muncul di permukaan air, secepat itu juga Sang Duyung menghilang di perut segara yang luas itu.
“Nanti dulu! Apa maksud kau?”
Teriakan Kudus sia-sia sahaja. Duyung itu telah meninggalkannya. Meninggalkannya dengan satu pesanan yang menghantui fikirannya.
Kudus mendongak ke langit. Seekor camar kelihatan sedang berlegar-legar betul-betul di atas biduk tuanya. Kudus kenal camar itu. Camar itu sering mengikutinya. Apabila Kudus menghulurkan tangannya. Camar itu akan hinggap di jejarinya dengan penuh harapan. Kudus pasti memberinya ikan-ikan kecil yang ada dalam raga rotan. Kudus ingat pesan arwah ayahnya:
“Memberi makan kepada seekor camar akan membawa keuntungan,” suara garau ayahnya membisik ke cuping telinga Kudus ketika mereka berada di sebuah lubuk ikan beberapa dekad yang lalu.
Itulah harapan Kudus sejak keluar pada hujung senja semalam. Kudus impikan duyung. Kudus impikan untung.
Tanpa Kudus sedari, detik-detik yang berlalu ketika ia dibuai mimpi tentang duyung dan untung, biduknya semakin dibawa arus. Arus Laut China Selatan yang semakin bergelora.
Mega mendung laut pun bergoncang. Kudus tersentak! Biduknya sesat haluan. Sang mentari terlindung. Pantai tak kelihatan. Tawakal jalan akhirnya.
Dalam pondok kecil di hujung kampung nelayan. Seorang ibu memandang hari muka. Isteri Kudus semakin gelisah. Biasanya, Kudus sudah tiba. Biduk tuanya pasti sudah tertambat di gigi air. Senyuman Kudus pasti terukir apabila ia disambut di pesisiran pantai yang putih bergebu itu. Ramlimah, menyusukan bayinya yang kehausan di muka pintu pondok kecil yang beratap rumbia itu. Kudus pasti pulang. Kudus pasti datang.
Harapannya semakin meleset. Nun di kakilangit, ufuk timur hilang dari pandangan.
“Abang!”
“Terima kasih ibu,” Rahim mengucup pipi ibunya di hujung majlis penganugerahan ijazah. Rahim bin Kudus, berjaya meraih segulung ijazah dalam bidang sains perikanan dari Universiti Malaysia. Petang itu seorang ibu tua bersama anaknya berdiri di pesisiran pantai. Mereka mendongak ke atas. Seekor camar sedang berlegar-legar di angkasa. Rahim menghulurkan tangannya. Camar itu tidak teragak-agak. Ianya terus hinggap di jejari anak muda itu.
Berdasarkan lagu ‘Impian Seorang Nelayan’ karya Kumpulan KEMBARA.
Ceterpen Agnes dan Ayah
Mei 6, 2006
Aku membisu. Begitu juga dengan Mama. Kami biarkan Cik Agnes bicara sepuas-puas hatinya. Biar dia meluahkan apa yang menghantui jiwanya. Aku benar-benar ingin tahu tentang sesuatu yang selama ini menjadi segunung tanda tanya.
Yang aku tahu, ayah dan Cik Agnes mempunyai hubungan yang istimewa. Dalam keadaan kami sedang dirundung kesedihanpun, Cik Agnes muncul. Kehadirannya tidak diundang. Aku dan Mama tidak senang dengan kedatangannya.
Pusara ayah masih merah lagi. Wanita ini memang tidak mempunyai perasaan. Cik Agnes, itulah namanya, memang tidak berhati perut.
“Ada sesuatu yang ingin saya beritahu. Saya faham perasaan puan dan anak puan.” Berkata-kaca mata Cik Agnes.
Mama tetap membisu. Begitu juga aku. Aku faham perasaan Mama sekarang. Sudah lama Mama memendam perasaan marahnya terhadap Cik Agnes. Isteri mana yang tidak akan marah jika suaminya intim dengan perempuan lain. Namun aku kenal Mama semasak-masaknya. Mama sabar orangnya. Buat masa ini, kami mahu dengar sahaja luahan Cik Agnes.
“Encik Gomez saya anggap sebagai bapa ayah saya sendiri. Beliaulah yang telah menolong saya dahulu ketika saya belasan tahun.” Pecah bendungan air mata Cik Agnes ketika itu.
Menurut Cik Agnes, ayah yang mewakilinya di mahkamah ketika dia dibicarakan. Ayah yang telah menyelamatkannya dari menerima hukuman yang lebih berat. Cik Agnes telah kehilangan segala-galanya selepas itu. Dia tiada keluarga atau saudara mara lagi. Selama 5 tahun dia ditahan di pusat tahanan remaja nakal, hanya ayah sahaja yang mengunjunginya. Menurut Agnes baru tiga bulan dia dibebaskan. Selepas dibebaskan, Agnes mencari ayah kerana ayahlah satu-satunya manusia yang dipercayainya. Seorang peguam dan juga seorang ayah angkat.
Jelas Mama tersentuh dengan pengakuan Cik Agnes. Begitulah sikap Mama. Beliau prihatin akan nasib malang yang menimpa orang lain.
“Apa yang telah Agnes lakukan sehingga ditahan selama 5 tahun?”
“Secara tidak sengaja saya mengakibatkan kematian ibu kandung saya.”
“Apa?”
Mendiang ibu Cik Agnes seorang janda yang pemabuk. Cik Agnes menjadi mangsa kekejaman ibunya apabila dia kemabukan. Ibu Agnes selalu memukul bantainya semenjak bercerai dengan suaminya. Ayah Agnes pula menghilang setelah perceraian itu dan tidak pernah ditemui Cik Agnes lagi. Kematian ibu Cik Agnes disebabkan oleh pukulan bertubi-tubi di kepalanya dengan benda yang berat. Menurut Cik Agnes dia hilang akal ketika cuba mempertahankan diri.
Mulut aku dan Mama terkatup. Kami berdosa terhadap arwah ayah. Biar sebesar kuman kesangsian yang singgah di hati kami, kewibawaan ayah telah kami ragui. Sebenarnya ayah bersikap profesional. Kes Agnes tidak pernah diceritakan kepada kami kerana kami tidak perlu tahu dan itu bukan urusan keluarga. Kes Agnes urusan kerjayanya.
Mama menghulurkan kedua belah tangan ke arah Agnes yang menyambutnya dengan dakapan yang mesra.
Malam itu kami mengirim sekuntum doa buat roh ayah yang tercinta.
Ceterpen Pak Teh
Mei 3, 2006
Pak Teh berasa pilu melihat jasad yang diselubungi kain putih di depan matanya. Hatinya bertambah sebak. Nek Yem telah banyak mengorbankan harta-benda demi pendidikan Pak Teh.
Flat sebilik di Bukit Merah itu penuh sesak dengan kenalan dan sanak-saudara Pak Teh. Pak Teh tidak dapat menahan kesebakan di dada.
"Siapa waris jenazah ini?" tanya salah seorang saudaranya.
"Saya kurang pasti. Tapi Insya Allah kita akan tahu nanti," jawab Pak Teh ringkas. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu.
Kelihatan beberapa orang hadirin membaca surah yasin. Pak Teh berasa bersalah kerana tidak tahu waris jenazah Nek Yem. Keputusannya bulat, dia akan uruskan jenazah ini kerana dia menganggap Nek Yem sebagai nenek kandungnya sendiri. Pak Teh banyak terhutang budi kepada Nek Yem. Nek Yem rela menggadaikan rantai pusaka demi melihat dia maju dalam bidang pelajaran.
Seorang lelaki datang. Pak Teh ke muka pintu kerana ada orang yang ingin menemuinya.
" Saya Leman, cucu Nek Yem," lelaki di muka pintu itu membuat pengakuan tanpa didesak.
"Alhamdulillah. Silakan masuk." Pak Teh mengajak lelaki itu masuk.
Pak Teh lega kerana usahanya untuk mencari waris Nek Yem tidak sia-sia.Para hadirin kehairanan dan tertanya-tanya siapakah lelaki berbaju kurung merah dan bersongkok hitam itu. Leman menunjukkan sekeping dokumen; surat beranaknya. Ada perasaan sangsi dalam hati Pak Teh tetapi bukti itu telah melegakan perasaan tersebut.
"Jadi Nek Yem nenek Leman?" Pak Teh separuh berbisik ke telinga Leman.
"Ya, ini buktinya." Leman menghulurkan dokumen di tangannya.
Terpapar nama Yem binte Musirin. Ibu kandung Misrinah binte Kasri. Kasri ialah suami Nek Yem. Mujur Pak Teh menyiarkan berita kematian di akhbar setempat. Pak Teh rasa bertanggung jawab untuk mencari waris Nek Yem. Nek Yem tidak jemu membantu keluarganya menyara hidup. Pak Teh harus lakukan apa sahaja untuk menghubungi waris Nek Yem.
Jenazah Nek Yem sudah selamat dikebumikan. Selesai sahaja kenduri arwah, Pak Teh berbual dengan Leman di koridor flat sewa itu. Pak Teh bersyukur kerana dapat bertemu dengan keluarga kandung Nek Yem. Pak Teh dan Leman berkenalan lebih rapat. Leman menerangkan tentang keadaannya sekarang. Leman sedang menghadapi masalah kewangan untuk lanjutkan pelajaran anaknya. Dia kekurangan wang untuk membiayainya. Pak Teh menasihatkannya agar jangan khuatir. Pak Teh simpati akan keadaan Leman dan mahu membantunya.
"Jangan khuatir Leman. Saya akan bantu awak," terpancar kelegaan pada wajah Pak Teh.
"Saya akan bantu awak."
![OMG ! [ Explore #1 ] OMG ! [ Explore #1 ]](http://static.flickr.com/2631/4150305338_5dd4270c04_t.jpg)


