Ceterpen ‘Risiko’

April 28, 2006

        "Lirik lagu terbaik, 'Risiko'!"

        Tepukan gemuruh bergema di dewan itu. Keratan lagu 'Risiko' berkumandang. Adunan rentak paluan dram Fazly bertingkah gentaran tali gitar 'Gibson' Fred. Serentak, Khai pula menyajikan tempo yang bersahaja. Irama gitar 'Takamine'nya begitu mempesonakan . Cukup mempesonakan! Lantas, menerobos gentelan gitar 'Ibanez' solo Addy yang memacu irama risiko. 'Risiko' menyajikan halwa telinga yang menyegarkan dan membina minda.

        "…bukan ini yang kau mahu
        bukan ini pilihan dirimu
        mahumu agar kau sejahtera
        pilihanmu moga kau bahagia"

        Lirik lagu 'Risiko' begitu bermakna buat Kallas. Terasa kebanggaan dalam dirinya. Kallas mencari-cari punca kebanggaan itu ketika menuju ke atas pentas. Layar fikirannya kabur. Yang dicarinya tidak ditemui.

        Dinihari makin sepi. Scott Road lapang. Sebuah Honda Odessey melintas stesen MRT Newton perlahan-lahan. Di perut kereta kelabu itu, Kallas masih mencari-cari satu jawapan.

        '…segalanya hanyalah janji
        sehingga kau tahu erti
        sedia tempuhi risiko, berani
        kau harus berani…'

        Bait terakhir itu tiba-tiba memantulkan satu adegan 26 tahun yang lalu! Kallas telah mendapatkan jawapan yang dicarinya sejak tadi.

        Adegan di pejabat sebuah sekolah menengah itu jelas sekali. Ketika itu, Kallas berusia 16 tahun. Dia akhirnya memberanikan dirinya untuk mencari satu jawapan juga. Jawapan itu penting. Demi masa depannya, Kallas mesti mendapatkan jawapan.

        "Boleh saya tahu, bagaimana saya boleh masuk aliran sastera?"
        "Awak menengah berapa?"
        "Tahun ini menengah 4,"
        "Sekarang aliran apa?"
        "Teknikal,"
        "Kenapa nak tukar?"
        "Saya tak minat bidang teknikal,"
        "Dah tak boleh tukar lagi. Awak dah menengah 4,"

        Kallas tidak mahu berganjak selagi dia tidak dapatkan jawapan.

        "Beritahu saya macam mana nak masuk aliran sastera. Tolong saya cik,"
        "Hmm, tahun depan bolehlah,"
        "Tahun depan saya nak ke Pra-U,"
        "Itu saya tahu. Tapi kalau nak tukar ke aliran sastera, mesti 'stay back'. Maksud saya, mesti gagal dalam peperiksaan peringkat 'O'. Kemudian 'stay back'".

        Kereta Honda berada betul-betul di depan kedai makan 'Nikamaath' yang terletak di sepanjang River Valley Road. Kallas tersenyum sendirian. Risiko yang diambilnya berbaloi. Setelah masuk aliran sastera, Kallas tidak menoleh ke belakang lagi. Kata orang, ambil lajak beberapa langkah ke belakang untuk dapat lompat lebih jauh lagi.

        '..segalanya hanyalah janji
        sehingga kau tahu erti
        sedia tempuhi risiko, berani
        kau harus berani…'

        Gentelan gitar 'Ibanez' Addy menerobos lagi di corong pembesar suara 'JVC' yang terpasang di dalam kereta.

  1. Dapatkan CETERPEN 'RISIKO' D'Saku.
  2. Dengari CETERPEN 'Risiko' D'MP3