Ceterpen ‘Teraju’
April 27, 2006
Majlis malam itu cukup meriah. Lebih meriah daripada malam-malam pertandingan saringan, suku akhir dan separuh akhir. Malam itu adalah malam pertandingan akhir. Pertandingan JUARA sudah sampai ke kemuncak. Malam yang bakal menabalkan kemenangan dan malam yang akan menghampakan yang kalah. Helmi sedang duduk di barisan para peserta dalam bahagian mencipta lagu. Tiba-tiba bahunya dicuit orang.
"Helmi, jangan harap-harap sangatlah. Lagu kau tu tak seberapa," seperti biasa senyuman sinis Hasyim terpapar tiap kali dia bersemuka dengan Helmi.
Pengacara sudah selesai menamakan para pemenang hadiah sagu hati. Kini debaran hati Helmi semakin mengencang. Dia tetap akan puas hati jika tidak menang salah satu daripada tiga tempat pertama. Helmi orang baru dalam pertandingan mencipta lagu dalam JUARA. Sebelum ini dia pernah menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PERKAMUS da balai-balai rakyat . Setiap kali dia menemui kegagalan. Di dalam hatinya, kerdipan sinar harapan semakin malap.
Walau apapun keputusan malam ini, Helmi sudah bertekad bahawa dia akan mendalami bidang muzik secara bersungguh-sungguh. Helmi tidak tahu erti kekalahan. Setiap kekalahan bukan kekalahan baginya. Baginya, setiap kekalahan adalah maklum balas. Maklum balas yang sepatutnya diterima dengan sikap yang positif. Dengan sikap yang positif itu sahajalah dia dapat melengkapkan dirinya dengan kemahiran yang baru. Kemahiran baru yang boleh menjadikan dirinya setanding dengan Hasyim. Bukan dia cemburukan Hasyim, tetapi baginya Hasyim adalah model kejayaan baginya dalam bidang muzik. Dia juga ingin berjaya seperti Hasyim yang sudah dua kali merangkul hadiah kedua dan ketiga berturut-turut.
Sebaris di hadapannya, Hasyim menoleh dan memusatkan pandangannya ke arah Helmi sambil mendakap piala yang baru sahaja dimenanginya. Hasyim telah berjaya merangkul tempat ketiga. Sekuntum senyuman sini dilemparkan kepada Helmi dengan maksud yang Helmi sendiri tidak mahu tafsirkan. Hasyim sering memperkecil-kecilkan kemampuannya kerana Hasyim sudah lebih lama berkecimpung dalam bidang muzik. Helmi tidak ambil endah. Dia membalas senyuman itu sambil bibirnya mengucapkan tahniah. Walaupun tidak kedengaran tetapi Hasyim tentu faham isyarat dari bibirnya. Jelas Hasyim kelihatan terkejut. Dia jadi serba salah.
Helmi tidak putus harap. Tiba-tiba keyakinan mula menular ke seluruh tubuhnya. Entah dari mana dia mendapat tenaga itu? Entah dari mana dia mendapat harapan itu. Mungkin kerana dia yakin akan lagunya yang dipertandingkan tadi. Kini apabila dia fikirkan secara objektif;setelah dia saksi dan dengar sendiri kesemua lagu yang dicalonkan, Helmi mengukir senyuman harapan. Biarkan tipis senyuman itu, tapi cukup untuk membekalkan keyakinan yang selama ini gersang dari taman harapannya. Lagu 'Teraju' yang dihasilkannya sempena mengenang jasa seorang rakannya yang sudah setahun meninggalkannya untuk selama-lamanya adalah batu loncatan baginya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang yang sengit saingannya ini.
Sarjan Asri sukar dilupakannya. Kenangan sewaktu menjalani perkhidmatan negara mula mengetuk pintu fikirannya. Sarjan Asrilah yang banyak merangsangnya agar tidak putus asa sewaktu dia menjalani latihan BMT (Latihan Dasar Ketenteraan). Sarjan Asri juga yang mencungkil bakatnya dalam bidang muzik. Beliau juga yang berkorban demi menyelamatkan platoonnya. Helmi betul-betul ingat detik-detik terakhir. Detik penuh cemas itu. Sarjan Azri telah merampas sesuatu dari tangan salah seorang askar pelatih yang tergamam setelah menarik pin dalam satu sesi latihan melontar bom tangan. Sarjan Asri terkorban di tempat kejadian. Tapi di ruang hati Helmi, Sarjan Asri tatap akan hidup selama-lamanya.
"HELMI BIN RAHMAN!! Tempat pertama jatuh kepada Helmi bin Rahman dengan lagu 'TERAJU'."
Suzairee dan Azlin sama – sama menyebut nama pemenang hadiah pertama untuk kategori mencipta lagu. Dua orang pengacara handalan itu memang pandai menarik minat penonton. Bergemuruh studio rakaman di Caldecott Hills. Sewaktu melangkah ke arah pentas, bibir Helmi berkomat-kamit. Dalam kegembiraannya, dia sempat sedekahkan sekuntum fateha untuk Allahyarham Sarjan Asri. Kemenangan pada malam ini bukan untuk dirinya.
Helmi memang menjangkakan kemenangan tetapi bukan untuk tempat pertama. Di belakang pentas Helmi tidak dapat menahan kegembiraannya. Impiannya sudah tercapai. Berkat ketabahannya dalam menghadapi pelbagai dugaan.



