Ceterpen ‘Saat’

April 27, 2006

         "Aku sebenarnya tidak sengaja. Memang aku bantai dia habis-habisan. Masa itu aku mabuk dan ikutkan hati. Tapi aku tidak membunuhnya," pengakuan Haris terputus-putus. Dia tidak dapat menahan rasa kesalnya.
        "Jadi, bagaimana dia terbunuh?" tanya Jamal yang sentiasa sabar mendengar luahan hati rakannya itu.
        "Bukan terbunuh. Dia mati kerana cedera parah di bahagian belakang kepalanya,"
        "Bagaimana?"
Jamal berbisik supaya banduan-banduan yang lain tidak mendengar soalannya itu.
        "Dia jatuh ke belakang dan terhentak lantai, aku tak berniat langsung untuk membunuhnya," Haris sudah tidak dapat menahan airmata yang sudah lama bergenang di kelopak matanya. Sebelum bendungan airmatanya pecah, Haris cepat-cepat mengesatnya dengan pakaian seragam banduan yang menjadi pakaian hariannya.
        Loceng tanda masa makan sudah tamat berderingan. Seperti askar yang patuh pada segala perintah, banduan-banduan yang memenuhi dewan makan itu segera bangkit. Sebentar kemudian, mereka berbaris menuju ke sel tahanan masing-masing. Sudah hampir enam bulan Haris terkurung di penjara ini.
        Haris pulang ke sel tahanan. Dia rasa lega kerana telah meluahkan rahsia yang selama ini tersembunyi di lubuk hatinya. Dadanya lapang. Haris merebahkan badannya di atas katil lalu cuba melelapkan matanya. Dia mahu melupakan detik hitam itu. Saat dia hilang akal. Saat dia ditangkap polis. Saat dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Saat dijatuhi hukuman ro……….
        "Haris, ikut kami!"
        Haris tersentak dari lamunannya. Di luar sel tahanannya berdiri dua orang pegawai berpakaian seragam.
        "Ikut kami sekarang," kata salah seorang pegawai sambil membuka kunci pagar.
        Haris tidak berani bertanya. Dia hanya mengikut dua orang pegawai itu. Dalam perjalanan ke arah yang dia sendiri tidak pasti, Haris pasrah pada Tuhan.
        "Oh, Tuhan. Maafkan segala perbuatan hambamu yang lemah tidak berdaya ini. Lindungilah aku dari segala kejahatan," hati Haris merintih penuh syahdu.
        Mereka bertiga melalui koridor tanpa sebarang jendela. Haris tidak pasti di mana dia berada sekarang. Yang pasti baginya ialah dia akan tiba di satu tempat. Mahu sahaja dia bertanya kepada pegawai-pegawai itu. Tapi lidahnya kelu. Ketakutan semakin membelenggunya apabila mereka membelok ke kanan. Di hujung koridor kelihatan sebuah bilik yang terang. Semakin dekat, semakin kedengaran suara-suara rintihan diselangi laungan kesakitan. Haris mula dicengkam kepanikan. Mahu sahaja dia lari tetapi apakah dayanya?
        Kini mereka sudahpun berada di muka pintu bilik itu. Mata Haris terbeliak menyaksikan kejadian di hadapannya.
        "Astaghfirullah…" getus hatinya yang kini kecut sekali. Sekarang dia tahu mengapa dia dibawa ke situ.
        Kini Haris berada di bilik rawatan seorang diri. Luka yang dialaminya sungguh pedih.
Dia menahan kesakitan itu sekuat yang termampu. Air mata berjuraian luruh di lurah pipinya. Haris menyesali kesilapannya. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa dia akan terlibat sejauh ini.

Leave a Reply