Ceterpen ‘Impian Cikgu’
April 27, 2006
Sejak dari sekolah rendah, aku terhutang budi kepada Cikgu Adam. Tanpanya sudah tentu aku tercicir dari sekolah. Apakan tidak, seminggu sebelum tarikh tutup pembayaran untuk peperiksaan PSLE, ibuku buntu kerana tidak berduit. Cikgu Adamlah insan berhati pemurah yang melangsaikannya. Aku sendiri tertanya-tanya mengapa cikgu Adam begitu prihatin terhadap diriku.
"Min, cikgu ingin berterus-terang kepada kau. Sebenarnya cikgu mengganggap kau seperti anak cikgu sendiri. Lima tahun lalu, cikgu kehilangan satu-satunya anak kesayangan cikgu dalam suatu kemalangan jalanraya. Kaulah penggantinya Min," kelihatan mata cikgu Adam berkaca-kaca. Ketika itu dia menemaniku mengambil bahagian dalam satu peraduan mendeklamasi sajak di Balai Rakyat Kampong Ubi. Hari itu aku muncul sebagai juara. Kejayaan itu berkat ketekunan cikgu Adam. Beliau benar-benar mahukan aku berjaya sungguhpun aku sendiri tidak yakin akan kebolehanku sendiri pada mulanya. Sejak hari itu hubungan kami semakin erat.
Ibuku pada mulanya tidak menghiraukan pergaulanku dengan keluarga cikgu Adam. Namun begitu, ketika aku melangkah ke menengah 4, sikap ibu terhadap keluarga cikgu Adam berubah.
"Sudahlah Min. Jangan jumpa cikgu Adam lagi. Kau dah besar. Lagipun kita tidak perlukan pertolongannya lagi." Kata-kata ibu menyiat-nyiat hatiku.
Akhirnya aku sedar. Dalam diam, ibu telah mencari pengganti ayah. Karim namanya. Encik Karim, pengurus besar sebuah syarikat pelancongan. Secara sembunyi-sembunyi, aku bertemu cikgu Adam. Apabila cikgu Adam mendapat tahu tentang perkahwinan ibu dengan encik Karim, beliau menasihatiku agar mengikut nasihat ibu.
"Sudahlah Min, kau sudah punya ayah sekarang. Keluargamu lebih penting. Lupakan cikgu. Kita harus berpisah."
Ketika itu aku terlalu muda untuk memahami pengorbanan yang telah dilakukan oleh cikgu Adam.
Ketika menuntut di maktab rendah, aku rindukan cikgu Adam. Aku telah cuba menghubunginya menerusi telefon dan pelbagai cara yang lain tetapi gagal. Cikgu Adam juga sudah tidak bertugas sebagai guru lagi. Aku sangkakan cikgu Adam benar-benar telah melupakan aku. Mujurlah aku menemui Ifah……
Suatu petang selepas kuliah terakhir, Ifah kelihatan sedih sekali. Apabila ku tanya, jawapan yang ku terima menjadikan perasaanku berbelah-bagi. Aku turut bersedih kerana bapa saudaranya sakit kuat di hospital. Namunbegitu hatiku melonjak kegembiraan berbaur cemas apabila mendapat tahu bahawa bapa saudaranya ialah CIKGU ADAM!
"Cikgu Adam, rindukan awak Min. Dia sentiasa mendoakan awak berjaya. Dia mahu awak berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Cikgu Adam tidak mahu bertemu Amin kerana dia tidak sanggup merosakkan kebahagian keluarga awak," puan Helina kelihatan tabah menahan isakan.
Cikgu Adam jatuh sakit kerana terlalu lama menahan rindu terhadapku. Hari itu aku mengucup dahi cikgu Adam di dalam wad rawatan rapi. Aku berjanji akan menjadikan impian cikgu Adam suatu kejayaan. Aku sangkakan cikgu Adam sengaja menjauhiku selama ini. Rupa-rupanya beliau sanggup menanggung derita. Beliau sanggup berkorban demi kebahagian dan kejayaanku! Kini, barulah aku sedar betapa besarnya pengorbanan seorang guru. Tanpanya, aku belum pasti akan mencapai kejayaanku ini.




Februari 23, 2007 at 2:32 pm
dis cerita memang shiok…ni semuer CG yg tulis eh? sum1 answer me
Februari 23, 2007 at 2:44 pm
Ya Farhan, semua ceterpen di sini karangan saya. Syukur, awak suka membacanya.
CG Karmin Bin Abbas