Ceterpen ‘Eric’

April 27, 2006

         Sudah tiga minggu Eric terlantar di Hospital Tan Tock Seng akibat menghidapi jangkitan Sindrom Sesak Nafas yang Mendadak. Kini Eric sudah pulih dan perlu berehat selama beberapa hari di hospital. Jangkitan ini dikesan ketika Eric melangkahkan kaki keluar dari pesawat yang dinaikinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Pesawat dari Hong Kong itu dipenuhi ramai pelancong sepertinya dari Hong Kong dan Tanah Besar China.
        Eric merindukan Hong Kong; kerinduan pada ibu yang kini keseorangan di sana. Ibu Eric cacat di kaki akibat kemalangan dua tahun lalu. Kemalangan itu telah meragut nyawa ayahnya. Ibunya pula cedera parah.
        "Apa yang kau menungkan Eric?" suara lunak itu memang Eric dambakan sejak dia mula sedarkan diri seminggu lalu dan ditempatkan di sebuah wad biasa.
        "Puan Koh.saya terkenangkan Hong Kong," Eric bangkit dari keadaan berbaring.
        Puan Koh ialah pekerja pembersih di wad tersebut. Setiap pagi dan petang dia datang untuk membersihkan wad itu. Sejak seminggu yang lalu, hubungan Eric dengan Puan Koh semakin rapat.
        "Jangan berpuan-puan nak. Panggil saja 'Auntie'. Kan lebih mesra," 'Auntie' meneruskan tugasnya.
        Sejak dua hari lepas 'Auntie' mula membawa makanan untuk Eric. Sup ayam hitam masakan 'Auntie' cukup menyelerakan hari itu. Kata 'Auntie, dengan memakan sup itu,Eric akan cepat sembuh dan bertenaga.
        "Kau dari Hong Kong kan? Datang ke Singapura untuk apa?" soalan itu menerkam cuping telinga anak muda dua puluhan tahun kelahiran pulau kecil di selatan Tanah Besar.
        Eric menceritakan niatnya ke Singapura iaitu untuk mencari sesesorang. Menurut ibunya, beliau ada seorang kakak di Singapura. "Kau ada gambarnya?" suara lunak itu bertanya lagi.
        "Tidak. Tapi saya ada gambar ibu saya," Eric membuka sebuah laci di sisi katil lalu mengeluarkan sekeping gambar.     Gambar itu dihulurkan kepada wanita yang berumur hampir tiga suku dekad di depannya.
        Auntie Koh menyerahkan semula gambar itu kepada Eric. Dia hanya mengukir senyuman yang tipis.
        "Kau tunggu sebentar ya. 'Auntie' tahu siapa yang kau cari itu."
        Eric tidak menduga sama sekali bahawa pencariannya selama ini akan menemui hasil. Sejak kecil dia sering bertanyakan tentang sanak-saudaranya. Ayahnya selalu tiada di rumah kerana bekerja di Tanah Besar. Ibunya yang selalu berada di sisinya. Eric menanam satu tekad iaitu ingin mencari sanak -saudaranya walau sejauh manapun. Setelah ayahnya meninggal dunia, Eric mendesak ibunya supaya memberitahunya tentang perkara yang sebenar. Eric ingin tahu di mana sanak-saudaranya. Akhirnya ibu Eric mengalah.
        Petang itu seperti biasa, 'Auntie' Koh datang lagi. Kali ini beliau ditemani seorang gadis belasan tahun yang manis sekali. Eric merasakan seperti ada jalinan ketika dia menatap wajah gadis tersebut.
        "Eric, Ini May. Dia ingin tunjukkan kau sesuatu."
        May menghulurkan sekeping gambar kepada Eric. Dalam gambar itu kelihatan sepasang suami isteri dengan dua anak kecil. Eric kenal pasangan suami isteri itu.
        "Jadi, kau .." matanya Eric mula berkaca-kaca. Dia tidak dapat menahan kegembiraannya.
Eric dan May kini berdakapan. Yang dicarinya tidak ditemui. Namun yang ditemuinya lebih menggembirakan.
        "Ayah kau tidak mahu membawa May bersama kerana dia harus membuat satu pilihan sahaja. Antara kau atau May. Dia serahkan May kepada makcik mu.Sewaktu May berusia dua tahun, makcik mu meninggal dunia. 'Auntie' pun menjaga May seperti anak sendiri. 'Auntie' tidak bersuami. Jadi May lah yang menjadi teman hidup 'Auntie'. Kalau boleh Auntie hendak ke Hong Kong untuk mencari ibu kandung May. May selalu tanya siapakah ibu kandungnya. Apakan daya, 'Auntie' tidak mampu membiayai ongkos untuk keHong Kong. Sekarang inipun, May masih bersekolah di politeknik,"
kejernihan wajah 'Auntie' Koh memaparkan kemurnian hati dan keikhlasannya.
        Eric sungguh terhutang budi pada wanita tua itu. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia memeluk wanita tua yang berdiri di hadapannya itu.Inilah orang yang dicari-carinya selama ini. Sudah terbayang olehnya bagaimana untuk membalas budi wanita tersebut.

         "Cilaka, lukang lagi. Nanti lu, gua potong," Chin Keong menarik tangsi jorannya. Sekali sentap, dia tahu pemakan umpan di matakail.
        Begitulah gelagat Chin Keong setiap kali ia menarik ke darat anak belukang. Dengan marah Chin Keong memotong sengat-sengat anak belukang lalu menghumbaninya ke laut semula. Kasihan, ada di antara anak-anak belukang yang terhempas di atas batu-batu granit besar di tepi selat. Aduh, tentu sakit terhempas sebegitu. Chin Keong tidak peduli. Dia bencikan ikan belukang.
        "Semilang babut, lukang takla babut," gerutu Chin Keong.
        "Lu mesti ingat lor, ini tempat olang pancing," Chin Keong menaikkan cermin mata gelap 'Rayban' tiruannya dengan jari telunjuk. Hidungnya yang sebesar tomato tidak berbatang. Sudah berkali-kali 'Rayban'nya terlondeh ke bawah.
      "Ala tangsi putut. Olang kasi putut mah. Sangkut batu. Mana boleh angkat. Sudah manyak putut."
        Betul kata Chin Keong. Memang Endy pandai berenang dan menyelam. Namun, kemahirannya itu tidak dapat menyelamatkannya. Yang membunuh Endy ialah kepanikan. Kepanikan akibat tusukan matakail-matakail yang terbiar di dasar selat itu. Matakail-matakail yang terbiar itu telah menyangkuk betisnya. Itulah yang aku nampak. Bekas-bekas luka yang menjalar panjang di betis mayat Endy.
        Kini aku tahu. Aku tahu mengapa Endy mati lemas. Ada sesuatu di tempat kejadian itu. Sesuatu yang amat merbahaya. Tidak kira samada mahir berenang ataupun tidak, bahayanya boleh meragut nyawa.

         Sejak dari sekolah rendah, aku terhutang budi kepada Cikgu Adam. Tanpanya sudah tentu aku tercicir dari sekolah. Apakan tidak, seminggu sebelum tarikh tutup pembayaran untuk peperiksaan PSLE, ibuku buntu kerana tidak berduit. Cikgu Adamlah insan berhati pemurah yang melangsaikannya. Aku sendiri tertanya-tanya mengapa cikgu Adam begitu prihatin terhadap diriku.
        "Min, cikgu ingin berterus-terang kepada kau. Sebenarnya cikgu mengganggap kau seperti anak cikgu sendiri. Lima tahun lalu, cikgu kehilangan satu-satunya anak kesayangan cikgu dalam suatu kemalangan jalanraya. Kaulah penggantinya Min," kelihatan mata cikgu Adam berkaca-kaca. Ketika itu dia menemaniku mengambil bahagian dalam satu peraduan mendeklamasi sajak di Balai Rakyat Kampong Ubi. Hari itu aku muncul sebagai juara. Kejayaan itu berkat ketekunan cikgu Adam. Beliau benar-benar mahukan aku berjaya sungguhpun aku sendiri tidak yakin akan kebolehanku sendiri pada mulanya. Sejak hari itu hubungan kami semakin erat.
        Ibuku pada mulanya tidak menghiraukan pergaulanku dengan keluarga cikgu Adam. Namun begitu, ketika aku melangkah ke menengah 4, sikap ibu terhadap keluarga cikgu Adam berubah.
        "Sudahlah Min. Jangan jumpa cikgu Adam lagi. Kau dah besar. Lagipun kita tidak perlukan pertolongannya lagi." Kata-kata ibu menyiat-nyiat hatiku.
        Akhirnya aku sedar. Dalam diam, ibu telah mencari pengganti ayah. Karim namanya. Encik Karim, pengurus besar sebuah syarikat pelancongan. Secara sembunyi-sembunyi, aku bertemu cikgu Adam. Apabila cikgu Adam mendapat tahu tentang perkahwinan ibu dengan encik Karim, beliau menasihatiku agar mengikut nasihat ibu.
        "Sudahlah Min, kau sudah punya ayah sekarang. Keluargamu lebih penting. Lupakan cikgu. Kita harus berpisah."
Ketika itu aku terlalu muda untuk memahami pengorbanan yang telah dilakukan oleh cikgu Adam.
        Ketika menuntut di maktab rendah,
aku rindukan cikgu Adam. Aku telah cuba menghubunginya menerusi telefon dan pelbagai cara yang lain tetapi gagal. Cikgu Adam juga sudah tidak bertugas sebagai guru lagi. Aku sangkakan cikgu Adam benar-benar telah melupakan aku. Mujurlah aku menemui Ifah……
        Suatu petang selepas kuliah terakhir,
Ifah kelihatan sedih sekali. Apabila ku tanya, jawapan yang ku terima menjadikan perasaanku berbelah-bagi. Aku turut bersedih kerana bapa saudaranya sakit kuat di hospital. Namunbegitu hatiku melonjak kegembiraan berbaur cemas apabila mendapat tahu bahawa bapa saudaranya ialah CIKGU ADAM!
        "Cikgu Adam, rindukan awak Min. Dia sentiasa mendoakan awak berjaya. Dia mahu awak berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Cikgu Adam tidak mahu bertemu Amin kerana dia tidak sanggup merosakkan kebahagian keluarga awak," puan Helina kelihatan tabah menahan isakan.
        Cikgu Adam jatuh sakit kerana terlalu lama menahan rindu terhadapku. Hari itu aku mengucup dahi cikgu Adam di dalam wad rawatan rapi. Aku berjanji akan menjadikan impian cikgu Adam suatu kejayaan. Aku sangkakan cikgu Adam sengaja menjauhiku selama ini. Rupa-rupanya beliau sanggup menanggung derita. Beliau sanggup berkorban demi kebahagian dan kejayaanku! Kini, barulah aku sedar betapa besarnya pengorbanan seorang guru. Tanpanya, aku belum pasti akan mencapai kejayaanku ini.

Ceterpen ‘Saat’

April 27, 2006

         "Aku sebenarnya tidak sengaja. Memang aku bantai dia habis-habisan. Masa itu aku mabuk dan ikutkan hati. Tapi aku tidak membunuhnya," pengakuan Haris terputus-putus. Dia tidak dapat menahan rasa kesalnya.
        "Jadi, bagaimana dia terbunuh?" tanya Jamal yang sentiasa sabar mendengar luahan hati rakannya itu.
        "Bukan terbunuh. Dia mati kerana cedera parah di bahagian belakang kepalanya,"
        "Bagaimana?"
Jamal berbisik supaya banduan-banduan yang lain tidak mendengar soalannya itu.
        "Dia jatuh ke belakang dan terhentak lantai, aku tak berniat langsung untuk membunuhnya," Haris sudah tidak dapat menahan airmata yang sudah lama bergenang di kelopak matanya. Sebelum bendungan airmatanya pecah, Haris cepat-cepat mengesatnya dengan pakaian seragam banduan yang menjadi pakaian hariannya.
        Loceng tanda masa makan sudah tamat berderingan. Seperti askar yang patuh pada segala perintah, banduan-banduan yang memenuhi dewan makan itu segera bangkit. Sebentar kemudian, mereka berbaris menuju ke sel tahanan masing-masing. Sudah hampir enam bulan Haris terkurung di penjara ini.
        Haris pulang ke sel tahanan. Dia rasa lega kerana telah meluahkan rahsia yang selama ini tersembunyi di lubuk hatinya. Dadanya lapang. Haris merebahkan badannya di atas katil lalu cuba melelapkan matanya. Dia mahu melupakan detik hitam itu. Saat dia hilang akal. Saat dia ditangkap polis. Saat dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Saat dijatuhi hukuman ro……….
        "Haris, ikut kami!"
        Haris tersentak dari lamunannya. Di luar sel tahanannya berdiri dua orang pegawai berpakaian seragam.
        "Ikut kami sekarang," kata salah seorang pegawai sambil membuka kunci pagar.
        Haris tidak berani bertanya. Dia hanya mengikut dua orang pegawai itu. Dalam perjalanan ke arah yang dia sendiri tidak pasti, Haris pasrah pada Tuhan.
        "Oh, Tuhan. Maafkan segala perbuatan hambamu yang lemah tidak berdaya ini. Lindungilah aku dari segala kejahatan," hati Haris merintih penuh syahdu.
        Mereka bertiga melalui koridor tanpa sebarang jendela. Haris tidak pasti di mana dia berada sekarang. Yang pasti baginya ialah dia akan tiba di satu tempat. Mahu sahaja dia bertanya kepada pegawai-pegawai itu. Tapi lidahnya kelu. Ketakutan semakin membelenggunya apabila mereka membelok ke kanan. Di hujung koridor kelihatan sebuah bilik yang terang. Semakin dekat, semakin kedengaran suara-suara rintihan diselangi laungan kesakitan. Haris mula dicengkam kepanikan. Mahu sahaja dia lari tetapi apakah dayanya?
        Kini mereka sudahpun berada di muka pintu bilik itu. Mata Haris terbeliak menyaksikan kejadian di hadapannya.
        "Astaghfirullah…" getus hatinya yang kini kecut sekali. Sekarang dia tahu mengapa dia dibawa ke situ.
        Kini Haris berada di bilik rawatan seorang diri. Luka yang dialaminya sungguh pedih.
Dia menahan kesakitan itu sekuat yang termampu. Air mata berjuraian luruh di lurah pipinya. Haris menyesali kesilapannya. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa dia akan terlibat sejauh ini.

Ceterpen ‘Teraju’

April 27, 2006

         Majlis malam itu cukup meriah. Lebih meriah daripada malam-malam pertandingan saringan, suku akhir dan separuh akhir. Malam itu adalah malam pertandingan akhir. Pertandingan JUARA sudah sampai ke kemuncak. Malam yang bakal menabalkan kemenangan dan malam yang akan menghampakan yang kalah. Helmi sedang duduk di barisan para peserta dalam bahagian mencipta lagu. Tiba-tiba bahunya dicuit orang.    
        "Helmi, jangan harap-harap sangatlah. Lagu kau tu tak seberapa," seperti biasa senyuman sinis Hasyim terpapar tiap kali dia bersemuka dengan Helmi.            
        Pengacara sudah selesai menamakan para pemenang hadiah sagu hati. Kini debaran hati Helmi semakin mengencang. Dia tetap akan puas hati jika tidak menang salah satu daripada tiga tempat pertama. Helmi orang baru dalam pertandingan mencipta lagu dalam JUARA. Sebelum ini dia pernah menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PERKAMUS da balai-balai rakyat . Setiap kali dia menemui kegagalan. Di dalam hatinya, kerdipan sinar harapan semakin malap.               
        Walau apapun keputusan malam ini,
Helmi sudah bertekad bahawa dia akan mendalami bidang muzik secara bersungguh-sungguh. Helmi tidak tahu erti kekalahan. Setiap kekalahan bukan kekalahan baginya. Baginya, setiap kekalahan adalah maklum balas. Maklum balas yang sepatutnya diterima dengan sikap yang positif. Dengan sikap yang positif itu sahajalah dia dapat melengkapkan dirinya dengan kemahiran yang baru. Kemahiran baru yang boleh menjadikan dirinya setanding dengan Hasyim. Bukan dia cemburukan Hasyim, tetapi baginya Hasyim adalah model kejayaan baginya dalam bidang muzik. Dia juga ingin berjaya seperti Hasyim yang sudah dua kali merangkul hadiah kedua dan ketiga berturut-turut.
        Sebaris di hadapannya, Hasyim menoleh dan memusatkan pandangannya ke arah Helmi sambil mendakap piala yang baru sahaja dimenanginya. Hasyim telah berjaya merangkul tempat ketiga. Sekuntum senyuman sini dilemparkan kepada Helmi dengan maksud yang Helmi sendiri tidak mahu tafsirkan. Hasyim sering memperkecil-kecilkan kemampuannya kerana Hasyim sudah lebih lama berkecimpung dalam bidang muzik. Helmi tidak ambil endah. Dia membalas senyuman itu sambil bibirnya mengucapkan tahniah. Walaupun tidak kedengaran tetapi Hasyim tentu faham isyarat dari bibirnya. Jelas Hasyim kelihatan terkejut. Dia jadi serba salah.
        Helmi tidak putus harap. Tiba-tiba keyakinan mula menular ke seluruh tubuhnya. Entah dari mana dia mendapat tenaga itu? Entah dari mana dia mendapat harapan itu. Mungkin kerana dia yakin akan lagunya yang dipertandingkan tadi. Kini apabila dia fikirkan secara objektif;setelah dia saksi dan dengar sendiri kesemua lagu yang dicalonkan, Helmi mengukir senyuman harapan. Biarkan tipis senyuman itu, tapi cukup untuk membekalkan keyakinan yang selama ini gersang dari taman harapannya. Lagu 'Teraju' yang dihasilkannya sempena mengenang jasa seorang rakannya yang sudah setahun meninggalkannya untuk selama-lamanya adalah batu loncatan baginya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang yang sengit saingannya ini.            
        Sarjan Asri sukar dilupakannya. Kenangan sewaktu menjalani perkhidmatan negara mula mengetuk pintu fikirannya. Sarjan Asrilah yang banyak merangsangnya agar tidak putus asa sewaktu dia menjalani latihan BMT (Latihan Dasar Ketenteraan). Sarjan Asri juga yang mencungkil bakatnya dalam bidang muzik. Beliau juga yang berkorban demi menyelamatkan platoonnya.             Helmi betul-betul ingat detik-detik terakhir. Detik penuh cemas itu. Sarjan Azri telah merampas sesuatu dari tangan salah seorang askar pelatih yang tergamam setelah menarik pin dalam satu sesi latihan melontar bom tangan. Sarjan Asri terkorban di tempat kejadian. Tapi di ruang hati Helmi, Sarjan Asri tatap akan hidup selama-lamanya.
        "HELMI BIN RAHMAN!! Tempat pertama jatuh kepada Helmi bin Rahman dengan lagu 'TERAJU'."           
        Suzairee dan Azlin sama – sama menyebut nama pemenang hadiah pertama untuk kategori mencipta lagu. Dua orang pengacara handalan itu memang pandai menarik minat penonton. Bergemuruh studio rakaman di Caldecott Hills. Sewaktu melangkah ke arah pentas, bibir Helmi berkomat-kamit. Dalam kegembiraannya, dia sempat sedekahkan sekuntum fateha untuk Allahyarham Sarjan Asri. Kemenangan pada malam ini bukan untuk dirinya.
        Helmi memang menjangkakan kemenangan tetapi bukan untuk tempat pertama. Di belakang pentas Helmi tidak dapat menahan kegembiraannya. Impiannya sudah tercapai. Berkat ketabahannya dalam menghadapi pelbagai dugaan.